Translate

Tuesday, December 11, 2012

Malaysia jadi negara maju 2018


KUALA LUMPUR 3 Dis. - Malaysia dijangka menjadi negara maju dan berpendapatan tinggi dengan mencapai sasaran perkapita penduduk sebanyak AS$15,000 (RM45,637) menjelang 2018.

Sasaran itu diyakini dapat direalisasikan sebelum tempoh akhir Wawasan 2020 kerana statistik menunjukkan pendapatan perkapita penduduk negara ketika ini ialah AS$9,500 (RM28,903).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata, matlamat itu dapat direalisasikan kerana kadar pertumbuhan ekonomi negara yang kekal tinggi dan peningkatan trend pelaburan sektor swasta yang konsisten.

"Malaysia mencatatkan pertumbuhan pelaburan swasta 15.5 peratus pada 2010 dan 12.2 peratus pada 2011.
"Melihat kepada perkembangan semasa, pelaburan sektor swasta mencatatkan prestasi yang baik dan kukuh, ia menunjukkan isyarat positif menjelang 2020," katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas majlis perasmian mesin cetak 8 warna, Heidelberg Speedmaster Sx102-8p di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Urusan Permodalan Percetakan Nasional Berhad, Izham Yusof dan Ahli Lembaga Pengarah PNMB, Datuk Zaaba Che Ros.

Pembelian mesin tersebut merupakan yang pertama di Asia dengan nilai melebihi RM7 juta, bertujuan untuk menangani keperluan syarikat untuk pertumbuhan dan cabaran pasaran PNMB.

Dalam pada itu, Izham berkata, beliau menyasarkan peningkatan segmen pelanggan swasta sebanyak 20 peratus pada tahun depan berbanding 13 peratus pada tahun ini.

"Kita yakin dengan adanya mesin pencetak bermutu dan berteknologi ini, kita dapat menarik lebih ramai lagi pelanggan swasta.

"PNMB juga merancang untuk membeli satu lagi mesin baru 8-warna pada tahun depan bagi memenuhi pelanggan agensi swasta yang semakin meningkat," katanya.

Izham menambah, pelaburan dalam mesin cetak ini dilakukan selaras dengan pelan lima tahun PNMB yang memberi tumpuan terhadap kualiti dan penyampaian bagi memastikan syarikat kekal berdaya saing dan relevan dalam membangunkan pelbagai produk yang inovatif.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Ekonomi/20121204/ek_01/Malaysia-jadi-negara-maju-2018#ixzz2EjAnyTD8 
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments: