Translate

Monday, December 17, 2012

Parti Komponen BN Yang Kecil Penting Untuk Pastikan Kemenangan Besar Dalam PRU-13

Datuk Seri Najib Tun Razak.
SANDAKAN, 16 Dis (Bernama) -- Semua parti komponen Barisan Nasional (BN), termasuk yang kecil adalah penting bagi memastikan kemenangan besar pada pilihan raya umum akan datang, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Dalam tempoh berbaki (yang singkat) ini...tidak ada lagi masa untuk kita bertelagah. Kita mestilah bergerak sebagai satu pasukan bagi mencapai kemenangan," kata Perdana Menteri.

Berucap pada majlis perasmian Kongres Parti Liberal Demokratik (LDP) di sini Ahad, Pengerusi BN itu berkata dalam hal ini, beliau menghargai kesetiaan LDP yang menjadi anggota BN sejak dua dekad lepas.

Turut hadir pada majlis itu ialah isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman, presiden LDP Datuk VK Liew dan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.


Najib menyambut baik kehadiran Mahathir ke kongres itu yang menurutnya menunjukkan "beliau adalah seorang pemimpin yang sanggup berkorban dan sayang kepada BN yang memperjuangkan kepentingan rakyat".

"Sebagai bekas perdana menteri, Tun Mahathir boleh memilih beriadah pada hari minggu namun beliau datang ke Sandakan bersama kita. Mesejnya ialah meskipun tiada jawatan...meskipun tidak terpilih calon kita tetap menyokong BN," katanya.

Sambil menyifatkan 13 anggota parti komponen BN itu sebagai anak, beliau berkata bukan mudah untuk mengurus segala-galanya terutama memberi kepuasan kepada semua.

"Namun dengan adanya tolak ansur maka 13 orang anak ini hidup dalam keadaan aman damai. Inilah kelebihan BN berbanding pembangkang, kita kuat kerana kita bersatu dan bekerjasama sebagai sebuah keluarga," katanya.

Najib berkata kawasan Sandakan, yang merupakan pinta masuk (gateway) ke Kawasan Pertumbuhan Asean Timur Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina BIMP-EAGA, mempunyai masa depan yang cerah di bawah BN.

"Seperti yang dicadangkan oleh presiden LDP (VK Liew), tiada masalah kita naiktaraf lapangan terbang Sandakan...cadangan bina jalan pintas Libaran pun saya setuju. Namun, pada masa yang sama, rakyat di sini harus memberi sokongan kepada kerajaan BN," katanya.

Sehubungan itu, beliau mengajak rakyat Sandakan memberi sokongan padu kepada BN, sekaligus mempertahankan kerusi Parlimen Sandakan pada pilihan raya umum akan datang.

Beliau berkata BN merupakan pilihan terbaik untuk rakyat negara ini terutama di Sabah.

"Apa juga janji BN, kita akan deliver (tunaikan). Misalnya dalam pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi yang lalu, janji kita...kita deliver. Saya gembira kerana Sabah memberi respon yang baik kepada BN.

"Sebelum ini, apabila saya kata Sabah adalah 'fixed deposit' untuk BN...pihak pembangkang ajak rakyat Sabah simpan di tempat lain, namun the best interest is still the Barisan Nasional," katanya.

-- BERNAMA

No comments: