Translate

Tuesday, December 11, 2012

Peluang Cerah Raih Majoriti 2/3, BN Bawa Kestabilan dan Kemajuan

Datuk Seri Najib Tun Razak
Oleh: Wan Hafiz Wan Hamzah

KUALA LUMPUR, 10 Dis – Peluang Barisan Nasional(BN) untuk memenangi majoriti 2/3 pada PRU ke-13 dilihat cerah berdasarkan beberapa faktor, termasuk dasar transformasi kerajaan yang dilakukan oleh BN semenjak diterajui oleh Datuk Seri Najib Tun Razak kira-kira tiga tahun yang lepas.

Menurut Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Idris Haron, tranformasi di dalam pentadbiran kerajaan, termasuk di dalam UMNO yang dilakukan oleh Datuk Seri Najib telah menambahkan keyakinan rakyat terhadap kemampuan BN untuk terus mentadbir negara.

“Kita dapat lihat hari ini, dengan kepimpinan Datuk Seri Najib kestabilan politik dan ekonomi bertambah baik. Kewibawaan kepimpinan beliau, serta dasar kerajaan yang menepati janji merupakan faktor-faktor utama yang saya yakin, bahawa BN mempunyai peluang besar untuk memperolehi majoriti 2/3 pada PRU yang akan datang.

“Berdasarkan faktor tersebut, termasuk juga dengan beberapa faktor tambahan lagi seperti sistem yang tersusun, pengalaman dalam pentadbiran, mengekalkan kestabilan dan keharmonian merupakan elemen-elemen penting yang memberikan kelebihan kepada BN berbanding dengan pakatan pembangkang,” jelasnya kepada UMNO-Online di sini hari ini.
Tambahnya lagi, jika dilihat daripada struktur pentadbiran pula, UMNO dan BN lebih tersusun bermula daripada peringkat cawangan sehinggalah ke peringkat pengurusan tertinggi.

“UMNO dan BN sudah lebih 50 tahun mentadbir negara, sudah tentulah ia mempunyai sistem yang lebih tersusun dan sistematik berbanding pembangkang. Perkara ini tidak wujud dalam Pas, DAP dan PKR. Kita boleh lihat di dalam Pas sebagai contoh, alih-alih tiba-tiba saja sudah ada muktamar pusat. Kita tak nampak bila masa cawangan-cawangan Pas di peringkat akar umbi bersidang. Begitu juga dengan DAP. PKR apatah lagi.

“BN dan UMNO juga dilihat mempunyai strategi pentadbiran yang lebih baik berbanding dengan pakatan pembangkang. BN merangka strategi jangka masa panjang untuk memakmurkan negara dan rakyat di negara ini. Tetapi pembangkang pula, hanya mendendangkan janji-janji yang tidak munasabah kepada rakyat semata-mata untuk meraih undi. Namun bila sudah berkuasa, mereka lupa akan janji-janji mereka pada rakyat,” ujarnya.

Justeru itu beliau menaruh keyakinan, berdasarkan faktor-faktor kestabilan, keharmonian dan pengalaman yang dimiliki oleh BN dalam mentadbir negara, BN mempunyai peluang yang amat baik untuk meraih majoriti 2/3 dalam PRU yang akan datang tidak lama lagi.

“Perlu diingatkan juga, ahli-ahli BN, khususnya UMNO perlu akur kepada keputusan tertinggi parti terutama dalam bab calon. Kita tidak boleh berbalah sesama sendiri di mana ia akan merugikan parti yang mana akan memberi kesan terhadap agama, bangsa dan negara. Sekiranya tidak berlaku sebarang sabotaj, InsyaAllah BN akan mendapat semula majoriti 2/3 pada PRU kali ini,” tegas beliau. – MediaUMNO

No comments: