Translate

Wednesday, December 19, 2012

SABAH ALU-ALUKAN INISIATIF K'JAAN PUSAT SEDIA KEMUDAHAN KEPADA RT

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri amat mengalu-alukan inisiatif Kerajaan Persekutuan dalam menyediakan pelbagai kemudahan kepada Jawatankuasa Rukun Tetangga.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Musa Aman berkata, inisiatif itu termasuklah geran tambahan Rukun Tetangga dan juga Skim Rondaan Sukarela (SRS) bagi memelihara keamanan dan keharmonian di kawasan penduduk masing-masing.

Selain itu, Musa turut menyarankan agar semangat kerjasama dan koordinasi antara Rukun Tetangga dengan pemimpin dan institusi akar umbi seperti ketua kampung, pengerusi JKKK dan JKDB, ketua masyarakat dan persatuan penduduk terus ditingkatkan.

"Hal Ini amat penting kerana ia terbukti memberi kesan yang amat postif kepada masyarakat dari segi kerjasama dan perpaduan dalam kawasan masing-masing.


"Bagi menjayakan hasrat itu, semua pihak termasuk para pemimpin, jabatan dan agensi kerajaan, sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) diminta supaya terus berganding bahu dan memberikan sokongan.

"Ini amat penting untuk mengukuhkan lagi agenda nasional seiring dengan gagasan 1Malaysia dan dasar-dasar kerajaan," katanya dalam ucapan perasmiannya sempena pelancaran Program Sayangi Komuniti peringkat negeri Sabah, di sini kelmarin.

Dalam pada itu, Musa meluahkan rasa gembira kerana jumlah Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di Sabah kini telah mencapai sebanyak 558 buah.

Majlis itu turut dihadiri seramai 2,200 ahli Rukun Tetangga daripada 28 daerah seperti Tambunan, Keningau, Sook, Sandakan dan Tawau.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Seri Salleh Tun Said, Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Sabah, Nurul Akmalina Shamsuddin, dan menteri-menteri Kabinet yang lain.

No comments: