Translate

Monday, January 23, 2012

SETIA KEPADA PARTI DAN BUKAN PEMIMPIN

PAGI Ahad lalu, saya telah menghadiri perjumpaan bersama pemimpin utama Kadazandusun Umno di kawasan Kadamaian, salah satu DUN dalam bahagian Kota Belud di mana saya menjadi Ketua Bahagian Umno.

Kawasan DUN Kadamaian merupakan kubu Barisan Nasional. Ia diwakili parti PBS, salah satu komponen Barisan Nasional. Majoriti penduduk dan pengundi di sini adalah Kadazandusun.

Saya pun terfikir-fikir apakah mesej yang harus saya sampaikan pagi itu. Lalu saya fikir, elok mengambil jalan tengah. Maka dalam amanat ringkas, saya tekankan tentang erti kesetiaan kepada parti dalam perjuangan politik.

Saya nyatakan kepada mereka bahawa kesetiaan kepada parti harus lebih utama daripada kesetiaan kepada pemimpin atau individu.Saya mengajak mereka menoleh sejarah lampau, kemudian melihat jauh ke hadapan.

Saya nyatakan bahawa ramai pemimpin telah datang dan pergi, tapi parti Barisan Nasional kekal berkuasa. Dan memberi khidmat kepada rakyat.

Kesetiaan kepada parti penting kerana yang membentuk kerajaan adalah parti dan bukannya individu.

Saya ingatkan kepada mereka bahawa kejayaan yang dicapai sehingga hari ini adalah hasil dari keberkesanan perlaksanaan pelbagai dasar parti yang telah dipilih menjadi parti yang memerintah sejak merdeka lagi.

Pemimpin datang dan pergi tapi parti harus terus memberi khidmat kepada masyarakat.Oleh yang demikian, saya nasihatkan mereka supaya sentiasa waspada dan berhati-hati. Dalam suasana politik hari ini, tentu ada yang cuba mengambil kesempatan. Atau menanguk di air keruh. Untuk tujuan tertentu. Ada agenda dan kepentingan peribadi.

Maka itu, saya tegaskan kepada mereka bahawa pemimpin yang sekadar mempopularkan diri dan membelakangkan parti harus diketepikan. Dengan cara itu, maka kita akan dapat menapis dan memilih hanya pemimpin yang benar-benar komited dan setia dalam perjuangan.

Jika ahli dan pemimpin komited serta meletakkan kepentingan parti mengatasi segalanya, sudah pasti Barisan Nasional akan terus kekal relevan dan berkuasa. Rakyat hari ini cukup bijak menilai.

Saya turut menyentuh sedikit mengenai kawasan Kadamaian. Saya nasihatkan pemimpin Kadazandusun Umno di Kadamaian supaya bekerja keras untuk menentukan calon Parti Bersatu Sabah (PBS) yang mewakili BN akan mempertahankan kawasan ini dengan peningkatan majoriti dalamPRU-13 nanti, demi meneruskan agenda transformasi kerajaan.

Friday, January 20, 2012

MUHYIDDIN YAKIN SABAH KEKAL JADI SIMPANAN TETAP BN

Salleh bersalaman dengan Muhyiddin ketika mesyuarat Badan Perhubungan Umno Sabah di Kota Kinabalu sempena lawatan rasmi Timbalan Perdana Menteri.

SEMPORNA: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata sokongan rakyat Sabah terhadap Barisan Nasional (BN) masih baik dan cukup mantap.
Dalam hal ini, katanya, BN masih yakin dalam mengekalkan Sabah sebagai "simpanan tetap" untuk parti gabungan itu.
"Berdasarkan apa yang dimaklumkan kepada saya dan maklumat yang diperoleh daripada pertemuan dengan pemimpin Umno dan BN Sabah (di Kota Kinabalu) pada Isnin, sokongan rakyat Sabah terhadap BN masih bagus.
"Namun BN tidak berhenti setakat itu kerana tugas kita ialah memperbaiki hidup rakyat dan program Bantuan Rakyat IMalaysia (BRIM) yang kita lakukan merupakan permulaan kepada banyak perkara yang kita buat untuk mengurangkan beban rakyat," katanya kepada pemberita selepas menghadiri perjumpaan khas dengan penjawat awam di Dewan Masyarakat Semporna di sini pada Selasa.
Muhyiddin berkata demikian ketika diminta mengulas situasi politik terkini di Sabah, negeri yang dianggap sebagai kubu kuat BN.
"Kita bukan angkuh. Berdasarkan maklum balas yang kita terima termasuk daripada Ketua Menteri dan pemimpin BN yang lain, sokongan untuk BN di Sabah masih baik," katanya.
Mengenai penubuhan parti baru termasuk di Sabah, beliau berkata sistem demokrasi yang diamalkan di negara ini membenarkan sesiapa sahaja menubuhkan parti baru asalkan memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan.
"Kita tidak risau dengan kewujudan parti baru kerana kita sudah melalui proses ini banyak kali tetapi syukurlah rakyat masih menyokong BN dan Umno kerana mereka tahu BN dan Umno benar-benar memperjuangkan nasib mereka," katanya.
Ditanya mengenai ramalan pihak tertentu tentang pelbagai kemungkinan yang berlaku menjelang pilihan raya umum akan datang, Muhyiddin berkata BN tidak "terganggu" dengan apa juga kemungkinan kerana BN lebih fokus untuk membela nasib rakyat jelata".
Terdahulu, dalam ucapannya, Muhyiddin berkata Kementerian Pelajaran sedia mengkaji cadangan untuk menaikkan kadar elaun yang diberikan kepada guru-guru yang bertugas di kawasan pedalaman Sabah.
"Perkara ini perlu dikaji secara mendalam kerana ia membabitkan kos pengurusan yang mungkin menelan belanja yang agak besar,' katanya.
Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata kementerian akan terus membantu membina dan menambah baik infrastruktur pendidikan di Sabah.

Friday, January 13, 2012

UMNO SABAH SEDIA HADAPI PILIHAN RAYA MENGEJUT

KOTA BELUD, 13 Jan (Bernama) -- Umno Sabah di bawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman, sudah bersedia menghadapi pilihan raya umum walaupun jika diadakan secara mengejut, kata Timbalan Ketua Badan Perhubungan Umno Sabah Datuk Seri Salleh Said Keruak.
Beliau berkata Umno Sabah akan berhempas pulas memberi kemenangan bagi membolehkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memperoleh mandat jelas dalam pilihan raya akan datang untuk terus mentadbir negara.
"Jentera peringkat bawah Umno Sabah sangat teguh. Jentera kami di bahagian bawah sudah bersedia mempertahankan Sabah, dan bersama-sama parti komponen lain menjadi benteng kepada Barisan Nasional," katanya kepada Bernama selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa pilihan raya Umno Bahagian Kota Belud di sini hari ini.
Salleh, yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, diminta mengulas laporan agensi berita AFP semalam yang memetik Najib sebagai berkata bahawa beliau berharap untuk mengadakan pilihan raya tidak lama lagi.
Bagaimanapun, Najib juga dipetik dalam temu ramahnya dengan Dow Jones Newswires bahawa beliau tidak akan mengadakan pilihan raya umum sehinggalah dapat menunaikan janji yang dibuat baru-baru ini untuk memperkenalkan pembaharuan demokratik.
Selain parti-parti komponen terdiri Parti Bersatu Sabah (PBS), Pertubuhan Bersatu Pasokmomogun Kadazandusun Murut (Upko) dan Parti Bersatu Rakyat Sabah, semuanya parti yang berasaskan kaum Dusun, dan Parti Liberal Demokratik berasaskan kaum Cina, BN Sabah juga mengandungi parti-parti berpangkalan di Semenanjung seperti Umno, MCA, MIC dan Gerakan.
Dalam pilihan raya 2008, BN Sabah memperoleh kemenangan di hampir kesemua 25 kerusi Parlimen dan 60 kerusi negeri, tewas hanya bagi kerusi Parlimen Kota Kinabalu dan kerusi negeri Sri Tanjung.

Thursday, January 5, 2012

KRISMAS SEBAGAI WADAH JALINAN PERPADUAN

Johnny (enam kiri), Salleh (tengah), Pairin (enam kanan) serta tetamu kehormat lain sedang memotong kek di majlis itu.

Salleh (tujuh dari kanan) bersama Sapawi (enam dari kanan) bergambar kenang-kenangan bersama Lichong (tujuh dari kiri), pengamal media dan tetamu lain yang menghadiri majlis rumah terbuka Krismas beliau.

KOTA KINABALU: Keunikan masyarakat berbilang kaum di negeri ini terus menyerlah dengan kunjungan berterusan ke rumah-rumah terbuka yang diadakan sempena sambutan Krismas.

Masyarakat pelbagai kepercayaan, berlainan budaya dan latarbelakang berkunjung ke rumah terbuka Krismas yang diadakan penganut agama Kristian sebagaimana juga sambutan rumah terbuka perayaan lain seperti Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina dan Deepavali.

Kelmarin, Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Seri Panglima Salleh Tun Said Keruak dan isteri Datuk Raya Erom, mengunjungi rumah terbuka Eksekutif Editor Utusan Borneo, Lichong Angkui di kediamannya di Taman Seri Permai, Ketiau, Putatan.

Hadir sama Pembantu Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat, Datuk Jainab Ahmad, Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Sapawi Haji Ahmad, Ketua Editor The Borneo Post, Chiu Nai Wen, Setiausaha Akhbar Timbalan Ketua Menteri, Liaw Sin Kuang, Ketua Biro Utusan Malaysia Sabah, Ahmad Tarmizi Abd.Rahman, pengurusan dan kakitangan See Hua Marketing (Sabah) Sdn. Bhd.

Sementara itu, Salleh turut mengunjungi rumah terbuka Krismas Timbalan Speaker DUN Sabah, Datuk Johnny Mositun di Papar.

Turut hadir dalam majlis rumah terbuka itu Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan dan Naib Presiden PBS, Datuk Edward Yong Oui Fah.