Oleh SALLEH SAID KERUAK
PADA 25
Mei lepas, saya diundang merasmikan Bengkel Cyber Troopers Pemuda
Barisan Nasional (BN) Sabah di sebuah hotel di Kota Kinabalu. Seperti
biasa, saya berucap tanpa menggunakan teks. Topik bengkel berkaitan
langkah menangani cabaran dunia siber. Luas dan umum sifatnya.
Dalam
ucapan selama kira-kira 30 minit itu, saya menyentuh banyak perkara.
Antaranya, Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai isu pendatang
asing. Slogan `Sabah for Sabahan' yang dicanangkan pembangkang.
Perjanjian 20 Perkara. Juga saya sentuh mengenai pembangunan.
Saya
katakan, semua isu itu perlu diberi perhatian oleh generasi muda. Lebih
penting, ia perlu diperjelaskan kepada rakyat. Supaya rakyat tidak
keliru atau dikelirukan oleh pihak pembangkang.
Esoknya, sebuah
akhbar tempatan berbahasa Inggeris mengambil isu 20 Perkara sebagai
tajuk utama di muka hadapan. Terkejut juga saya bila melihatnya. Sebab
seingat saya, saya cuma menyentuh hal itu secara sepintas lalu,
kira-kira lima minit. Saya mendapatkan akhbar lain. Ternyata tiada satu
pun tulis mengenai 20 Perkara. Akhbar lain mengambil topik politik
biasa dan isu pembangunan.
Di
situlah bermulanya polemik dan kontroversi. Akhbar yang sama menyiarkan
reaksi dan susulan, komen dan ulasan pelbagai pihak. Semuanya
menghentam saya secara peribadi.
Saya mengingati kembali ucapan
saya. Saya langsung tidak menyentuh soal `kesahihan' 20 Perkara
sebagaimana yang tergambar dalam laporan akhbar itu. Saya berucap dalam
Bahasa Melayu, tetapi apabila ditulis dalam Bahasa Inggeris, ia
barangkali dibuat berasaskan persepsi wartawan yang menulis, yang
kemudian dirumuskan mengikut kefahaman editor ketika membuat tajuknya.
Sebab itulah, tajuk yang dibuat tidak sama dengan isi yang ditulis
dalam laporan tersebut.
Saya memahami kebebasan media
dalam konteks sistem demokrasi. Sebab itu, saya tidak membuat penafian
atau menyalahkan sesiapa. Dua hari selepas itu, saya sekadar membuat
penjelasan menerusi Bernama mengenai kedudukan dokumen 20 Perkara itu,
setelah membaca bermacam-macam komen negatif mengenainya, yang semuanya
bersifat emosi dan peribadi.
Di dalam penjelasan itu, saya
nyatakan bahawa penjelasan sebenar berhubung dokumen 20 Perkara bagi
melindungi Sabah berikutan pembentukan Malaysia perlu dibuat bagi
mengelak parti pembangkang memperalatkannya untuk kepentingan politik.
Soal
kesahihan sebenarnya tidak berbangkit kerana pada hakikatnya, 20
Perkara itu hanya memorandum dan bukan perjanjian yang ditandatangani.
Dan ada antara perkara tersebut yang telah pun dimasukkan ke dalam
dokumen perjanjian Malaysia dan Perlembagaan Negara.
Secara
peribadi, saya menerima dan menghormati segala pandangan dan komen yang
diberikan. Tapi apa yang boleh saya katakan bahawa sebahagian besar
komen tersebut bersifat emosional dan peribadi, bukan bersandarkan
fakta atau prinsip perundangan. Dalam isu serius seperti 20 Perkara
ini, kita tidak seharusnya tenggelam dalam emosi sehingga lupa apa
sebenarnya yang diungkapkan.
Saya
berasa agak sedih juga sebab ulasan-ulasan yang diberikan kebelakangan
ini sudah terkeluar daripada topik asal, sehinggakan ada yang meminta
saya memohon maaf, malah ada yang mendesak saya meletakkan jawatan. Itu
semua tidak masuk akal, dan didorong elemen politik.
Jika
diamati penjelasan yang saya telah berikan bahawa soal kesahihan 20
Perkara tidak pernah berbangkit, maka komen atau ulasan hendaknya tidak
berulang-ulang mengenai `kesahihan' lagi. Lebih penting, komen
seharusnya lebih fokus dan mereka yang mengulas hendaklah memahami
bahawa dokumen 20 Perkara itu bukannya perjanjian, cuma memorandum.
Di
sini elok barangkali saya ringkaskan terjemahan saya mengenai apa yang
disebut dalam dokumen 20 Perkara.Terjemahan saya ini mungkin
dipersetujui ataupun tidak oleh pembaca. Ini adalah perkara biasa dalam
sebuah masyarakat yang mengamalkan kebebasan memberi pandangan sesuai
dengan sistem demokrasi. Saya hormati sebarang terjemahan dan mungkin
kita boleh "bersetuju untuk tidak bersetuju."
Pada
saya secara umum, Perkara 20 merupakan memorandum yang dibentangkan
oleh pakatan parti-parti politik utama Sabah kepada Jawatankuasa Antara
Kerajaan (Inter-Governmental Committee) yang telah ditubuhkan untuk
mengenal pasti dan merangka draf Perlembagaan baru untuk Persekutuan
Malaysia yang baru dengan mengambil kira perlindungan dan kedudukan
khas Sabah dan Sarawak.
Memorandum 20 Perkara ini merupakan
perlindungan perlembagaan yang paling minima yang Pakatan parti-parti
politik Sabah mahukan. Wakil-wakil Sarawak juga telah bentangkan
Perkara 18 mereka untuk tujuan yang sama.
Saya mendapati Jawatankuasa IGC sudah
menggabungkan atau memasukkan perlindungan-perlindungan Perkara 20 dan
18 ini bila mereka membuat pindaan-pindaan relevan terhadap
Perlembagaan Malaya ketika itu. Semua pindaan-pindaan perlembagaan ini
boleh dilihat di dalam Bab 3 Laporan Jawatankuasa IGC ini.
Dari
sisi undang-undang, saya rasakan Perkara 20 sebagai memorandum
perkara-perkara minima untuk perlindungan khas Sabah di dalam
Perlembagaan bukanlah dokumen undang-undang yang boleh mengikat atau
berkuasa. Ianya cuma relevan untuk menjadi bahan rujukan apabila
Mahkamah tidak boleh menafsirkan Perlembagaan Malaysia ataupun
Perjanjian Malaysia secara tepat.
Artikel 8 dalam Perjanjian
Malaysia pula teramat penting kerana ia mewajibkan Kerajaan Malaya,
Sabah dan Sarawak untuk mengambil langkah-langkah perundangan ataupun
eksekutif untuk merealisasikan pengesyoran Bab 3 Laporan IGC (Lampiran
A dan B) sekiranya ia tidak dilindungi atau didapati dalam Perlembagaan
Malaysia.
Oleh
itu, sekiranya salah satu Perkara 20 tidak diambil kira oleh
Jawatankuasa IGC dan tidak tertulis di dalam pengesyoran Bab 3 Laporan
IGC, maka Perkara 20 tidak lagi relevan ke tahap itu. Hak-hak yang
termaktub di dalam Perkara 20 bergantung kepada Laporan IGC yang
menjadi sumber asas untuk Perjanjian Malaysia dan seterusnya
Perlembagaan Malaysia.
Kita seharusnya mengkaji Bab 3 dari
Laporan IGC untuk mengenal pasti pengesyoran mana yang belum lagi
dikuatkuasakan untuk melindungi hak dan kedudukan Sabah dalam Malaysia.
Dan bukannya menguatkuasakan Perkara 20 kerana ia bukannya dokumen
undang-undang yang relevan untuk masa kini.