Translate

Sunday, July 29, 2012

Gesaan Supaya Lajim Keluar Umno

Salleh Said Keruak
29 Julai, 2012 14:58 PM

KOTA KINABALU, 29 Julai (Bernama) -- Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah Datuk Seri Salleh Said Keruak hari ini meminta Datuk Seri Lajim Ukin keluar daripada Umno selepas meletakkan jawatan sebagai Anggota Majlis Tertinggi, Ketua Umno Bahagian Beaufort dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Beaufort.

"Beliau (Lajim) tidak boleh mendapat kedua-duanya. Jika beliau secara terbuka tidak bersetuju dengan pendirian parti atau pendirian kerajaan dan sebaliknya beliau secara diam-diam mahu bekerja dengan pembangkang, dengan itu beliau patut keluar daripada Umno sepertimana yang akan dilakukan oleh seorang yang 'gentleman'," katanya kepada Bernama.

Salleh mengulas pengumuman Lajim semalam yang beliau meletakkan semua jawatan tetapi tetap menjadi anggota Umno dan kekal memegang jawatan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Beliau berkata Lajim patut keluar Umno secara bermaruah kerana beliau tidak lagi berpegang kepada perjuangan dan dasar parti dan tidak sepatutnya menunggu untuk dipecat.

"Inilah sebenarnya apa yang beliau mahu pucuk pimpinan parti lakukan. Beliau mahu bertindak sebagai seorang wira dan beliau dapat (kemudiannya) memberitahu rakyat yang beliau dipecat ketika sedang memperjuangkan hak rakyat.

"Tampaknya inilah rancangannya, tetapi rakyat tidak akan terperdaya," katanya.

Salleh juga menyangkal dakwaan Lajim bahawa Umno dan BN tidak berbuat apa-apa untuk kebajikan rakyat Sabah.

Beliau berkata Lajim telah menjadi sebahagian daripada sistem itu selama kira-kira 18 tahun dan amat arif mengenai hasrat dan komitmen kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju menjelang 2020.

"Anehnya, beliau tidak merungut sebelum ini. Saya percaya rakyat tidak "buta" dan tahu apa yang sebenarnya telah dilakukan oleh BN. Mereka cukup bijak untuk membuat penghakiman sendiri mengenai prestasi baik BN dalam melaksanakan tugasnya.

"Sebab itu kenapa BN menang besar di Sabah pada pilihan raya umum 2008. Jadi adalah tidak betul untuk menyatakan sekarang bahawa BN tidak berbuat apa-apa untuk rakyat, khususnya di Sabah," katanya.

Lajim, 57, semalam mengumumkan peletakan jawatan sebagai Anggota Majlis Tertinggi Umno, Ketua Umno Bahagian Beaufort dan Pengerusi BN Beaufort berkuat kuasa serta merta. Beliau sebelum itu meletakkan jawatan sebagai Ketua Umno Cawangan Kerambai Kebatu.

Beliau juga menyatakan menyerahkan kepada Majlis Tertinggi Umno untuk memutuskan mengenai keanggotaannya dalam parti dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung jawatannya sebagai Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Lajim juga mengumumkan penubuhan Pakatan Perubahan Sabah (PPS) atau Sabah Reform Front dan barisan 17 wakil - seorang bagi setiap kawasan Parlimen - di negeri ini.

Di CYBERJAYA, Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin meminta Lajim bersikap 'gentleman' dengan melepaskan jawatan sebagai Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan juga sebagai anggota Umno.

Beliau turut menolak tindakan Lajim itu akan menjejaskan pengaruh Umno di Sabah dan menegaskan bahawa Umno Sabah dan Pemuda Umno Sabah akan tetap kuat.

Khairy bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan pada majlis Sidang Kemuncak Pelajar India 1Malaysia di Universiti Limkokwing.

-- BERNAMA

PM Putuskan Kedudukan Lajim Ukim Isnin Ini


Datuk Seri Najib Tun Razak
PEKAN: Datuk Seri Najib Tun Razak pada malam Sabtu berkata kedudukan Datuk Lajim Ukim sebagai Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan diputuskan, Isnin ini.

Perdana Menteri berkata keputusan Lajim melepaskan jawatannya sebagai ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Ketua Umno Bahagian Beaufort dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Bahagian Beaufort adalah sesuatu yang telah dijangkakan oleh beliau dan parti. "Keputusan beliau itu sudah dijangkakan akan berlaku kerana tindakan dan ucapan beliau yang bertentangan dengan dasar parti sebelum ini.

"Saya tidak terperanjat dengan keputusan itu kerana tiada sesiapa yang lebih besar dari parti melainkan kesetiaan. "Kita terima hakikat di antara kita ada yang berbeza pendapat tetapi boleh diselesaikan dengan saluran yang betul sama ada cepat atau lambat," katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Tarawih di Masjid Ubudiah Kampung Mambang, Chini di sini, Sabtu.

Najib berkata dalam sejarah parti peletakan jawatan seumpama itu bukanlah sesuatu yang baru kerana pengasas parti, Datuk Onn Jaafar pernah bertindak demikian. "Namun, sebagai parti yang berpengalaman kita mampu menghadapi cabaran itu," katanya.Lajim hari ini mengumumkan peletakan jawatan sebagai ahli MT Umno, Ketua Umno Bahagian Beaufort dan pengerusi BN Beaufort berkuatkuasa serta-merta.

Beliau bagaimanapun masih kekal sebagai ahli Umno. 

-BERNAMA

Wednesday, July 25, 2012

Dapat beribadah dalam suasana negara aman...satu rahmat yang perlu disyukuri-PM


Kecuali peristiwa berdarah 13 Mei 1969,Malaysia telah menikmati keamanan berpanjangan hingga ada yang 'anggap biasa' saja situasi ini dan bukan satu rahmat perlu disyukuri.

Melihat dalam konteks pergolakan di beberapa negara lain ,Datuk Seri Najib Tun Razak berharap rakyat negara ini tidak mengambil mudah keamanan yang dikecapi hari ini.

Katanya umat Islam di negara ini harus merasa bersyukur kerana dapat menunaikan ibadah puasa dalam keadaan yang aman, selamat dan tanpa rasa takut.

"Bagi umat Islam, kita berasa bersyukur bahawa dalam bulan yang penuh kemuliaan dan kerahmatan Allah SWT, kita dapat lakukan ibadah dalam keadaan yang begitu selamat dan tenang tanpa rasa gentar dan takut.

"Inilah satu rahmat yang Allah telah beri kepada kita….."Seperti mana yang kita tahu, satu demi satu negara Islam tidak melalui kenikmatan yang sama yang kita (rakyat Malaysia) anggap biasa... hingga kita tidak anggap ini (keamanan) sebagai satu rahmat yang harus disyukuri," katanya.

Perdana Menteri berucap pada majlis berbuka puasa dan penyampaian sumbangan Aidilfitri serta pelajar cemerlang daripada Persatuan Kebajikan Anak-anak Yatim Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (Perkayatim) di Dewan Besar Tabung Haji di Kuala Lumpur.

Turut hadir isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, yang juga Penaung Perkayatim, dan Pengerusi Tabung Haji Tan Sri Abi Musa Asa'ari Mohamed Nor, yang juga Yang Dipertua Perkayatim.

Menyentuh pergolakan yang berlaku di Syria, Najib berkata kerajaan telah membuat keputusan untuk membawa pulang rakyat Malaysia di Syria.

"Ini satu lagi iktibar yang kita boleh ambil sekiranya keamanan dan keselamatan tidak terpelihara. Apa akan jadi kepada kita?

"Mudah-mudahan keamanan dan perpaduan ini berpanjangan, berkat daripada perlakuan kita sebagai umat Islam yang cintakan keamanan dan keharmonian," katanya. Mengenai kebajikan anak yatim, Najib berkata umat Islam hendaklah terus membantu golongan anak yatim kerana mereka mempunyai kedudukan mulia di sisi Allah SWT.

Perdana Menteri turut mengingatkan anak yatim agar tidak menganggap kehilangan ibu bapa sebagai satu kekurangan.

"Ujian itu tinggi darjatnya di sisi Allah. Jadikan ini satu cabaran yang akan mencetuskan daya juang yang lebih tinggi di kalangan adik-adik sekalian," katanya.

Sejurus berbuka, Najib menunaikan solat Maghrib di Surau Tabung Haji sebelum menikmati makan malam dan menyampaikan sumbangan kepada anak yatim.

Perdana Menteri kemudian memotong kek ulang tahun ke-59 kelahirannya dengan disaksikan Rosmah dan anak yatim sambil diiringi nyanyian 'Allah Selamatkan Kamu'.

Wednesday, July 18, 2012

PM Lancar Skim Persaraan Swasta


Wednesday, 18 July 2012 19:18
Datuk Seri Najib Tun Razak
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah melancarkan Skim Pesaraan Swasta (PRS) pada Rabu, yang membolehkan mereka yang bekerja sendiri dan pekerjanya berpeluang membuat simpanan untuk persaraan mereka.

Bagi menggalakkan simpanan di bawah skim tersebut, mereka akan diberi pelepasan cukai sehingga RM3,000 dan majikan pula mendapat pengurangan cukai bagi setiap caruman kepada PRS untuk pekerja mereka dengan kadar yang ditetapkan iaitu 19 peratus.

Sejumlah 24 dana akan diuruskan oleh lapan penyedia Skim Persaraan Swasta yang boleh didapati untuk orang ramai pada September ini.

Lapan Penyedia PRS adalah AmInvestment Management; American International Assurance; CIMB-Principal Asset Management; Hwang Investment Management; ING Funds; Manulife Unit Trust; Public Mutual and RHB Investment Management.

Najib, yang juga Menteri Kewangan berkata, PRS merupakan sebahagian daripada inisiatif kerajaan untuk memberi peluang kepada tenaga kerja untuk mendapatkan simpanan jangka panjang untuk persaraan mereka selaras dengan langkah untuk membangunkan Malaysia sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi.

“Wawasan 2020 bukan sekadar mencapai sasaran pertumbuhan KDNK atau meningkatkan pendapatan per kapita di Malaysia, malah menambah baik kualiti kehidupan rakyat.

“Sebuah negara yang berpendapatan tinggi perlu mampa dan kukuh dari segi rangka kerja sosialnya bagi memastikan simpanan persaraan yang mencukupi.

“Ini melibatkan penyertaan kedua-dua sektor awam dan swasta bagi memastikan negara bersedia menghadapi cabaran terhadap populasi yang semakin menua,” katanya ketika berucap ketika melancarkan Skim Persaraan Swasta dan Pentadbir Pencen Swasta di Suruhanjaya Sekuriti di sini, Rabu.

Beliau menyatakan bahawa negara ini mempunyai penduduk yang muda dengan purata umur rakyat Malaysia adalah 26 tahun dengan jangka hayat meningkat kepada 80 tahun.

“Dengan kata lain, generasi masa depan kita akan hidup lebih 20 tahun selepas bersara.

“Mesej ini adalah jelas. Rakyat Malaysia sebagai pengguna bijak perlu membuat simpanan,” tambahnya.

Belia berkata, langkah untuk menubuhkan PRS merupakan sebahagian daripada objektif kepada rangka kerja persaraan yang komprehensif pelbagai tunggak untuk negara.

“Ini merupakan tunggak yang ketiga pembangunan bagi skim persaraan swasta secara sukarela di mana ia merupakan sebahagian daripada komitmen saya untuk memperbaharui dan mengukuhkan landskap persaraan dan pencen secara menyeluruh di Malaysia,” kata beliau sambil menjadikan peningkatan umur persaraan kepada 60 tahun baru-baru ini sebagai contoh... - MSTARONLINE

Sunday, July 15, 2012

Anggota Umno Diminta Utamakan Kesetiaan Kepada Parti

Salleh Said Keruak ketika memotong kek sempena Persidangan ke-12, Umno Bahagian Kota Belud.
Mesyuarat perwakil UMNO Bahagian Kota Belud Meluluskan USUL IKRAR SUMPAH TAAT SETIA kepada parti
KOTA BELUD, 15 Julai (Bernama) -- Timbalan Ketua Badan Perhubungan Umno Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak meminta anggota Umno supaya memberi keutamaan kepada kesetiaan dan perpaduan bagi memastikan kelangsungan perjuangan parti.

Beliau berkata ini adalah penting kerana partilah yang akan membentuk kerajaan dan bukannya individu.

"Kita mesti setia kepada perjuangan kita dan tidak mengkhianati parti. Kesetiaan perlu dikekal sepanjang masa bagi memastikan kekuatan parti," katanya semasa merasmikan mesyuarat perwakilan Umno bahagian Kota Belud di sini hari ini.

Salleh yang juga Ketua Umno Kota Belud berkata setiap anggota mesti menunjukkan kesetiaan kepada parti dan bukan bukan berjuang separuh hati demi kepentingan sendiri.

"Kita tidak mahu orang yang bermuka-muka dalam parti kita," katanya dan menambah perjuangan untuk parti perlu berterusan di samping mengutamakan kepentingan parti daripada segala-galanya.

Salleh turut menyeru anggota parti bersikap proaktif untuk menegakkan reputasi baik Umno.

"Kita mahu mereka mengamalkan pendekatan mesra rakyat, mengenepikan ego dan amalan mementingkan diri sendiri. Kita mesti menunjukkan kesederhanaan agar parti sentiasa dilihat oleh rakyat sebagai mementingkan kebaikan.

"Kita jangan memandang rendah kebijaksanaan dan pengetahuan pengundi kita. Kita mesti serba boleh, bertimbang rasa dan profesional dalam pendekatan kita tanpa emosi terutama dalam menjelaskan wawasan dan polisi parti," katanya.

Beliau yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah mahu anggota Umno lebih agresif dalam peranan mereka bagi memenangi hati dan minda rakyat menjelang pilihan raya umum penting akan datang.

Beliau berkata Sabah menikmati pembangunan ekonomi pesat di bawah Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman yang berjaya meningkatkan kedudukan kewangan negeri dengan jumlah simpanan lebih RM3 bilion selain memainkan peranan merangka pelan induk agenda pembangunan negeri dan Koridor Pembangunan Sabah (SDC).

Salleh berkata Umno bahagian Kota Belud menyokong pucuk pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Musa di peringkat negeri.

-- BERNAMA

Saturday, July 14, 2012

PM brings politics of hope for Malaysians – Salleh

Salleh Said Keruak
Posted on July 14, 2012, Saturday

TONGOD: Sabah Umno Liaison deputy chief Datuk Seri Salleh Said Keruak today launched the Barisan Nasional (BN) election machinery in Kinabatangan and said Prime Minister Datuk Seri Najib Tun Razak has brought a politics of hope for the people of Malaysia.

He said Najib had proven his mettle at the helm of the country’s administration by introducing numerous initiatives, notably the national transformation agenda and the 1Malaysia concept.

“Although Najib took over the premiership about four years ago, his initiatives are bearing fruit and Malaysians are generally happy with his administration,” he said in his speech at the launch, here. Also present were Kinabatangan MP Datuk Bung Mokhtar Radin and Kuamut Assemblyman Masiung Banah.

Salleh, who is Sabah Legislative Assembly Speaker, said: “I believe that with a new brand of politics of moderation advocated by Najib and, with most of the people’s grievances having been heard, the Barisan Nasional is on the right track to face the next general election.”

Salleh said the prime minister’s focus on ensuring peace, development and democracy in the country would also help win the hearts and minds of the people. He said the Sabah BN election machinery was now on standby and ready to be mobilised for the 13th general election.

Salleh urged the people to reject issues propagated by the opposition, especially in the rural areas, and instead rally behind the BN government to ensure a better future for themselves. -Bernama

Thursday, July 12, 2012

Kepimpinan Najib Bawa Sinar Baharu Bagi Golongan Muda, Kata Salleh

Salleh Said Keruak
KOTA BELUD, 7 Julai (Bernama) -- Kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memberi harapan baharu kepada golongan muda di negara ini untuk menikmati masa depan yang lebih cerah, kata Timbalan Ketua Perhubungan Umno Sabah Datuk Seri Salleh Said Keruak pada Sabtu.

Sambil menyebut bantuan RM100 kepada pelajar dan baucer buku bernilai RM200 untuk pelajar institusi pengajian tinggi sebagai contoh, beliau berkata generasi muda menyambut baik dasar yang diperkenalkan Najib sejak beliau mula mengambil alih teraju pentadbiran negara.

"Jelas sekali, dasar yang diperkenalkan Najib memberi manfaat kepada golongan muda. Mereka melihatnya sebagai praktikal untuk dilaksanakan, sejajar dengan agenda transformasi kerajaan," kata Salleh ketika berucap merasmikan konvensyen Puteri Umno Kota Belud di sini.

Sejajar dengan itu, Salleh, yang, juga Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, menyeru golongan muda, termasuk anggota Puteri Umno supaya memahami dasar kerajaan dan menerangkannya kepada rakan sebaya mereka, terutama tentang misi Najib untuk menjadikan Malaysia negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Beliau berkata penerimaan golongan itu amat penting bagi Barisan Nasional (BN) kerana pengundi muda merangkumi lebih 40 peratus daripada jumlah pemilih pada pilihan raya umum akan datang.

-- BERNAMA

Tuesday, July 10, 2012

Penjawat Awam Perlu Lebih Kreatif Dan Inovatif – PM

Datuk Seri Najib Tun Razak
PUTRAJAYA: Penjawat awam perlu menampilkan pelaksanaan tugas yang lebih kreatif dan inovatif bagi menyahut cabaran untuk memenuhi jangkaan rakyat yang semakin bertambah kompleks, pelbagai dan sentiasa berubah.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata perkhidmatan awam merupakan tonggak kepada usaha memastikan dasar negara dilaksanakan, demi mencapai matlamat kerajaan untuk menjadi negara maju berpendapatan tinggi pada tahun 2020.

Beliau berkata persekitaran hari ini jauh lebih berbeza berbanding satu ketika dahulu, yang menuntut kerjasama dan komitmen padu serta jitu daripada segenap lapisan pentadbiran.

“Kita berdepan dengan rakyat Malaysia yang mempunyai jangkaan dan harapan yang tidak macam dahulu dan perubahan ini disebabkan kejayaan kita menyediakan peluang pendidikan yang semakin tinggi, akses kepada pendidikan yang cukup luas. Pendedahan maklumat kini mungkin sudah terlalu banyak,” katanya semasa berucap pada majlis Dialog Perdana Perkhidmatan Awam di sini, Isnin.

Najib berkata sebagai pendukung sebuah pentadbiran, penjawat tidak ada pilihan selain daripada memacu kemampuan untuk menghasilkan sistem penyampaian yang lebih berkesan, pantas dan efektif.

Saturday, July 7, 2012

Generasi muda aset bernilai kepada negara, kata Najib

Perdana Menteri Najib Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor menghadiri “Program Ekspresi Remaja bersama Perdana Menteri” di Stadium Negara, 7 Jul, 2012.
KUALA LUMPUR, 7 Jul — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini berkata generasi muda di negara ini adalah aset yang paling bernilai kepada negara dan kerajaan sentiasa mengambil berat terhadap pembangunan modal insan demi masa depan negara.

Malah, beliau turut menjelaskan, perbelanjaan yang dikeluarkan kerajaan kepada generasi muda di negara ini juga bukanlah satu pembaziran, sebaliknya ia adalah pelaburan jangka panjang kepada negara.

“Perbelanjaan untuk generasi muda ini bukanlah suatu pembaziran, tetapi ia adalah satu pelaburan,” kata perdana menteri ketika berucap merasmikan majlis Ekspresi Remaja bersama Perdana Menteri di Stadium Negara di sini.

“Kalau kerajaan atau syarikat korporat mengeluarkan perbelanjaan untuk belia, itu adalah pelaburan untuk masa depan negara.”

Justeru, Najib turut memberikan peringatan bahawa, jika pemimpin negara tidak menyediakan negara yang bergerak maju menjadi lebih baik, generasi ini pastinya akan berasa kecewa.

“Sebagai pewaris kepada kepimpinan negara, tentu golongan belia ini mengharapkan agar masa depan negara ini akan menjadi lebih baik.

“Kamu tentu kecewa sekiranya mendapati apa yang diimpikan tidak akan menjadi realiti kerana kepimpinan negara tidak dapat menyediakan sebuah negara yang akan bergerak menjadi hari ini lebih baik dari semalam, dan hari esok lebih baik daripadahari ini,” katanya lagi.

Najib turut menambah, setakat ini, kerajaan pimpinannya telah berjaya mengorak langkah menjadikan negara ini bertambah baik dan selamat untuk diduki.

“Kita tidak mungkin berjaya kalau kita tidak memberi tumpuan terhadap pebangunan modal insan.

“Malaysia telah melakarkan gambaran bahawa melalui dasar dan perancangan yang begitu rapi dan pelaksanaan yang berkesan, rasa kehampaan belia di Malaysia dapat diatasi dengan wujudnya keyakinan belia terhadap negara kita,” tambahnya dihadapan hampir 4,000 ahli persatuan Pandu Puteri dari seluruh negara.

Beliau turut menegaskan, “inilah perjalanan yang sedang kita lalui, agenda transformasi negara. Kami pemimpin hari ini berjanji akan bekerja kuat dan bersungguh-sungguh supaya kami akan memberikan yang terbaik kepada anda.

Pembangkang ajar perkara tidak baik... - DS Najib

Datuk Seri Najib Tun Razak
KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata pihak pembangkang di negara ini dilihat suka mengajar perkara-perkara yang tidak baik kepada rakyat termasuk perkara yang bertentangan dengan agama.

Beliau berkata tiga perkara tidak baik yang begitu nyata diajarkan kepada rakyat ialah "hutang tak perlu dibayar", "budi tak perlu dikenang" dan "janji tak perlu ditepati".

"Janji banyak dibuat (pembangkang) semasa pilihan raya (umum) lepas, tapi akhirnya (selepas mereka berkuasa di beberapa negeri) mereka tidak tepati pun," katanya.

Perdana Menteri berkata kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) pula bukan sahaja menepati semua janji yang dibuat, malah "perkara-perkara" yang tidak dijanjikan sebelum ini seperti pelbagai jenis bantuan untuk rakyat, turut diberikan.

Friday, July 6, 2012

PM melakukan kunjungan hormat ke atas Presiden Republik Czech

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, pada Khamis melakukan kunjungan hormat ke atas Presiden Republik Czech Vaclav Klaus serta isteri Livia Klausova
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, pada Khamis melakukan kunjungan hormat ke atas Presiden Republik Czech Vaclav Klaus serta isteri Livia Klausova di hotel penginapan beliau di sini.

Najib, tiba bersama isteri Datin Seri Rosmah Mansor pada pukul 10.30 pagi, meluangkan masa kira-kira setengah jam bertemu Klaus dan isteri.

Turut hadir Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Douglas Uggah Embas, selaku menteri pengiring.

Rosmah dan Klausova pula mengadakan pertemuan berasingan di hotel berkenaan.

Selesai pertemuan itu, Klaus dan rombangan bertolak ke The Ritz-Carlton di Jalan Imbi untuk menghadiri perbincangan meja bulat anjuran Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (Asli).

Klaus tiba di sini semalam untuk lawatan negara selama lima hari ke Malaysia.

Ini merupakan lawatan negara kali pertama Klaus sebagai Presiden Republik Czech bagi memenuhi jemputan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Terdahulu, Klaus dan isteri turut menerima kunjungan hormat daripada Tuanku Abdul Halim dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah di hotel itu selepas upacara sambutan negara di Dataran Parlimen di sebelah pagi.

Seri Paduka berdua meluangkan masa bersama Klaus dan isteri pada majlis santapan ringan selama setengah jam di hotel berkenaan.

Malam ini Tuanku Abdul Halim dan Tuanku Hajah Haminah akan meraikan Presiden Republik Czech itu pada majlis santapan negara di Istana Negara, Jalan Duta.

DARI UMNO ONLINE

Thursday, July 5, 2012

Musa mahu guru agama lebih proaktif

DS Musa Aman


4th July, 2012
KOTA KINABALU: Para guru agama di negeri ini digesa bersikap lebih proaktif, efisien dan melengkapkan diri dengan pelbagai disiplin ilmu dan kemahiran, kata Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Hj. Aman. Katanya, hanya guru versatile dan berilmu sahaja yang akan dapat menghasilkan generasi pelajar berkualiti dan cemerlang, seterusnya memberi sumbangan bermakna kepada agama, bangsa dan negara.

“Tanggungjawab guru bukan sahaja terhad kepada penguasaan ilmu dan kemahiran, tetapi turut menekankan aspek nilai moral, etika serta jati diri yang mampu menjana modal insan secara menyeluruh,” katanya dalam teks ucapan sempena Perasmian Majlis Hari Guru Peringkat Negeri Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (Jheains) Tahun 1433H/2012M, di Wisma Muis, di sini, kelmarin.

Teks ucapannya dibacakan oleh Menteri di Jabatan Ketua Menteri, Datuk Sri Nasir Tun Sakaran yang juga selaku Menteri yang bertangungjawab mengenai hal ehwal agama Islam negeri Sabah. Musa berkata, oleh itu guru-guru perlu meningkatkan tahap keilmuan di samping memperbaiki pencapaian aka- demik seterusnya melaksanakan agenda penting negara iaitu membangunkan sistem pendidikan yang berkualiti dan bertaraf dunia.

Sebagai seorang pendidik, katanya, tangungjawab yang besar dan semakin mencabar harus dipikul di dalam mengasuh dan mendidik serta melengkapkan diri para pelajar dalam semua bidang ilmu. Situasi ini memberi isyarat jelas bahawa guru pada masa kini bukan sahaja berperanan mendidik pelajar dari segi teori tetapi juga dari segi praktikal, katanya.

Justeru, katanya, para pelajar perlu dibimbing dan diasuh berlandaskan matlamat pembangunan negara yang perlu diselarikan dengan kemajuan kerohanian. Ini bererti penghayatan nilai-nilai murni wajar diterapkan dalam membangunkan modal insan yang berkualiti dan sempurna,katanya. Katanya, guru juga perlu mempelbagaikan kaedah dan kreativiti di bilik darjah bagi melahirkan pelajar yang berpendidikan, berkemahiran, berilmu, bertakwa dan berakhlak mulia sekaligus meningkatkan lagi mutu pendidikan khususnya dalam bidang keagamaan.

“Selain guru, ibu bapa juga perlu bersama-sama memikul tangungjawab ini dengan mendidik dan membentuk sahsiah dan keperibadian yang mulia dalam kalangan anak-anak,” katanya. Ini penting kerana institusi kekeluargaan merupakan jalan terbaik dan berkesan bagi membantu kejayaan para pelajar sekaligus mengelakkan mereka terjebak dalam aktiviti yang tidak bermanfaat, katanya.

Turut hadir pada majlis berkenaan, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Sabah, Datuk Amri A. Suratman, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan Jheains, merangkap pengerusi sambutan hari guru Jheains Tahun 2012, Saifuddin Daud.

-New Sabah Times 

Tuesday, July 3, 2012

PM Umum Dana Strategik Pelaburan Domestik RM1 Bilion Untuk Industri Sasaran

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak

Selasa Julai 3, 2012- KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Selasa mengumumkan pembentukan Dana Strategik Pelaburan Domestik bernilai RM1 bilion.

Dana itu bertujuan meningkatkan penyertaan syarikat milik Malaysia dalam rangkaian bekalan global, dalam industri sasaran iaitu bernilai tinggi tambahan, berintensifkan pengetahuan dan industri berasaskan inovasi.

Beliau berkata, dana itu akan diurus oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) dan akan diluluskan pada asas rundingan, berdasarkan permintaan syarikat dan merit setiap kes, dengan objektif untuk meningkatkan keupayaan teknologi pelabur domestik.

Katanya, dana itu bermatlamat meningkatkan dan memanfaatkan peluang-peluang penyumberan luar yang diwujudkan oleh syarikat multinasional yang beroperasi di Malaysia, meningkatkan penguasaan teknologi oleh syarikat milik Malaysia dan membolehkan syarikat brekenaan memperoleh standard/pensijilan antarabangsa dalam industri strategik.

Perdana Menteri juga berkata kerajaan memperkenal semula insentif cukai untuk mengambil alih syarikat asing berteknologi tinggi bagi membolehkan syarikat milik Malaysia memperoleh teknologi canggih menerusi pendekatan lonjakan bagi meningkatkan rangkaian nilai atau mempelbagai ke dalam bidang baru.

"Inisiatif ini akan memudahkan aktiviti inovasi dalam kalangan syarikat milik Malaysia," kata Najib pada perasmian ibu pejabat korporat baharu Mida dan pelancaran logo baru.

Najib berkata, syarikat pembuatan milik Malaysia yang sudah beroperasi selama setahun atau kurang dan menjalankan promosi produk atau aktiviti menerusi Akta Promosi Pelaburan 1986,, layak memohon insentif cukai itu.

Kerajaan juga meningkatkan insentif cukai untuk syarikat kecil milik Malaysia supaya memohon insentif cukai menerusi akta berkenaan dengan meningkatkan dana pemegangan daripada RM500,000 kepada kurang daripada RM2.5 juta.

"Kadar khas cukai itu untuk menggalakkan penyedia kecil perkhidmatan Malaysia supaya bergabung menjadi entiti yang lebih besar, dan usaha juga sedang dilakukan bagi meningkatkan daya saing entiti kecil selari dengan usaha kerajaan untuk meliberalisasikan lagi sektor perkhidmatan.

"Inisiatif ini berkuat kuasa serta-merta, bersempena wajah baharu korporat Mida dan arah tuju strategiknya," kata Najib.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata langkah itu yang berkuat kuasa pada Selasa bertujuan menjadikan pelaburan langsung domestik menyumbang sebanyak 73 peratus pelaburan dalam ekonomi menjelang 2020, dengan 27 peratus lagi disumber menerusi pelaburan langsung asing.- BERNAMA