Translate

Saturday, September 29, 2012

BELANJAWAN: Beri Mandat Pada BN Untuk Teruskan, Tambah Baik Apa Yang Ada - Najib

Datuk Seri Najib Tun Razak
KUALA LUMPUR, 28 Sept (Bernama) -- Datuk Seri Najib Tun Razak berkata masanya hampir tiba apabila rakyat akan membuat pilihan bagi menentukan masa depan mereka dan anak-anak mereka sambil menggesa rakyat memberikan mandat kepada kerajaan yang ada untuk meneruskan dan menambahbaik apa yang ada.

Perdana Menteri berkata persoalan yang perlu ditanya semasa membuat keputusan ialah sama ada kehidupan mereka hari ini lebih baik berbanding semalam dan sama ada hari esok menjanjikan harapan yang sarat dengan peluang serta potensi.

"Jika jawapannya ya, maka tanpa ragu-ragu berilah mandat kepada kerajaan yang ada untuk meneruskan dan menambahbaik apa yang ada," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2013 berjumlah RM251.6 bilion di Dewan Rakyat, di sini, pada Jumaat.

Najib yang mengumumkan bahawa Belanjawan 2013 sebagai yang terakhir sebelum pilihan raya umum ke-13, berkata ia merupakan antara siri-siri belanjawan yang akan mendorong negara tercinta ke arah pencapaian wawasan nasional.

Friday, September 28, 2012

LAPORAN: Kerajaan Fokus Usaha Tingkatkan Kualiti Hidup Rakyat

Datuk Seri Najib Tun Razak,
KUALA LUMPUR, 28 Sept (Bernama) -- Kerajaan akan menambah bilangan anggota polis dengan menyediakan peruntukan tambahan bagi pengambilan pegawai polis baharu dan pembelian peralatan canggih untuk mengurangkan kejadian jenayah.

Menurut Laporan Ekonomi 2012/2013 yang dikeluarkan Jumaat, peruntukan turut disediakan bagi melaksanakan program yang dapat meningkatkan kesedaran dan kerjasama awam dalam usaha membanteras jenayah.

Disediakan oleh Kementerian Kewangan sempena pembentangan Belanjawan 2013 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, laporan menyatakan belanjawan itu menyediakan peruntukan bagi inisiatif baharu untuk membekalkan lebih banyak rumah mampu milik kepada rakyat.

Thursday, September 27, 2012

George Kent-Lion Pacific JV Layak Dianugerahi Kontrak LRT

Datuk Seri Najib Tun Razak
27 September, 2012 18:10 PM

PARLIMEN:  - Najib KUALA LUMPUR, 27 Sept (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata syarikat George Kent-Lion Pacific JV (GKLP JV) layak diberikan kontrak penyambungan laluan Sistem Transit Aliran Ringan (LRT) aliran Ampang kerana mematuhi syarat teknikal, kewangan, perundangan dan syarat kontrak.

Beliau berkata syarikat pembida harga kedua terendah itu merupakan gabungan syarikat tempatan yang berkeupayaan dari segi kewangan dan telah tersenarai di Bursa Malaysia.

Katanya GKLP JV juga telah lulus penilaian teknikal dan menawarkan harga kedua terendah dalam kalangan lapan pembida yang mengemukakan tawaran.

"Pembida yang menawarkan harga lebih rendah daripada GKLP JV tidak dipertimbangkan kerana didapati tidak mematuhi sepenuhnya syarat-syarat kontrak," katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Tony Pua Kiam Wee (DAP-Petaling Jaya Utara) di Dewan Rakyat Khamis.

Wednesday, September 26, 2012

Taib Tarik Balik Saman Fitnah Terhadap Dua Pemimpin PKR

YAB. Tan Sri Abdul Taib Mahmud
KUCHING, 25 Sept (Bernama) -- Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud menarik balik saman fitnah beliau terhadap dua pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Mahkamah Tinggi di sini Selasa selepas mereka memohon maaf kerana menyebabkan reputasi beliau tercemar dan diaibkan.

Hakim Datuk David Wong Dak Wah membenarkan permohonan Taib untuk menarik balik saman terhadap Timbalan Pengerusi (Komunikasi) PKR Sarawak Wan Zainal Abidin Wan Senusi dan Naib Presidennya See Chee How, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Batu Lintang, selepas mendengar hujahan pihak plaintif dan defendan.

Saturday, September 22, 2012

SALLEH: PERMOHONAN MAAF NGEH HANYA LANGKAH PSKILOGI UNTUK `KAWAL KEROSAKAN'

KENINGAU: Timbalan Ketua Umno Sabah Datuk Seri Salleh Said Keruak hari ini menyifatkan tindakan pengerusi DAP Perak Datuk Ngeh Koo Ham yang memohon maaf melalui akaun Tweeternya berhubung komennya mengenai bantahan terhadap penyiaran sebuah filem anti-Islam, sebagai langkah psikologi untuk mengawal kerosakan, dan tidak ikhlas.

Beliau berkata Ngeh sepatutnya segera memohon maaf selepas menyiarkan komennya yang menyifatkan perbuatan umat Islam di negara ini membantah penyiaran filem berkenaan sebagai tindakan membuang masa, bukan mengambil masa untuk berbuat demikian.

Katanya walaupun Ngeh memohon maaf kemudiannya, hakikat yang tidak boleh diubah ialah beliau pada mulanya berdegil dan enggan memohon maaf berhubung kenyataannya yang mempersoal reaksi umat Islam terhadap filem bertajuk "Innocence of Muslims" itu.

Sambil menyelar Ngeh kerana tidak peka terhadap perasaan umat Islam, Salleh berkata Ngeh hanya memohon maaf selepas dikritik banyak pihak, khususnya umat Islam.

Wednesday, September 19, 2012

Buat pilihan tepat: Musa

Sementara itu, YAB Ketua Menteri mengucapkan takziah kepada anak-anak Allahyarham Taminsin dan isteri yang terbabit dalam nahas di Jalan Sulaman. Turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri SabahYB. DS Salleh Tun Said.
YAB DS Musa Aman dan Barisan kepimpinan UMNO bahagian Beaufort menyanyikan Lagu Resmi UMNO. Turut hadir, Tim Ketua perhubungan UMNO Sabah DS Salleh Tun Said, DS Yahya Hussin Timbalan Ketua Menteri Sabah dan Dt, Azizah Mohd Dun, Menteri Pembagunan Masyarakat dan hal Ehwal pengguna.

BEAUFORT: Rakyat Beaufort diminta membuat pilihan tepat dan terus menyokong sesiapa sahaja calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang.

Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman berkata ini penting bagi memastikan pembangunan dan kebajikan rakyat khususnya di kawasan ini terus terpelihara.

“Saya berjanji akan memajukan Beaufort kerana ini kampung saya. Kita rancang dan majukan Beaufort, Insyallah kita akan berjaya.

Puteri Umno, JATI Kecam Kenyataan Ngeh Koo Ham Dalam Twitter

Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin
KUALA LUMPUR, 19 Sept (Bernama) -- Pergerakan Puteri UMNO dan pertubuhan bukan kerajaan, Jalur Tiga (JATI) mengecam kenyataan Pengerusi DAP Perak,Datuk Ngeh Koo Ham dalam laman sosial twitternya yang mempertikaikan tindakan umat Islam membantah dan menentang filem 'Innocence Of Muslims'.

Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, tindakan Ngeh yang menyatakan bahawa umat Islam membuang masa kerana memprotes tayangan video dan filem tersebut sebagai biadab dan tidak sensitif terhadap perasaan umat Islam di negara ini.

"Di saat umat Islam di Malaysia dan seluruh dunia merasa marah dengan penghinaan dalam filem tersebut, terlalu malang untuk seorang pemimpin di negara ini yang mengaku memperjuangkan nasib rakyat berbilang bangsa dan agama membuat kenyataan sebegitu rupa," kata Rosnah dalam satu kenyataan di sini, pada Rabu.

Katanya, kenyataan Ngeh itu juga memperlihatkan perangai sebenar pemimpin DAP yang tidak menghormati Islam selepas Pengerusi Kebangsaannya, Karpal Singh, menolak hukum hudud sebelum ini.

Menurut Rosnah lagi, lebih malang apabila tiada seorang pun pemimpin PAS bersuara terhadap kenyataan tersebut dan parti yang mengakui memperjuangkan Islam ini seolah-olah 'reda' dengan apa sahaja kenyataan pemimpin DAP yang menghina agama Islam.

-- BERNAMA

Sunday, September 16, 2012

BN Sabah Tidak Tergugat Tindakan Yahya Lampong Sertai PKR

Datuk Seri Musa Aman
BEAUFORT, 16 Sept (Bernama) -- Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman menegaskan kekuatan dan sokongan rakyat terhadap Barisan Nasional (BN) di Sabah tidak terjejas berikutan tindakan bekas Timbalan Menteri persekutuan Datuk Yahya Lampong dan tokoh korporat terkenal Tan Sri Ibrahim Menudin menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).

"Itu hak masing-masing. Kita akan terus kuat dan mantap serta bersatu padu. Apa yang penting kami akan menghadapi pilihan raya umum dengan semangat berkobar-kobar bagi memastikan kejayaan besar BN di Sabah dan di seluruh negara," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Beaufort di Dewan Pa Musa Beaufort, di sini hari ini.

Musa yang juga Pengerusi BN negeri berkata demikian ketika diminta mengulas perkara itu. Semalam, Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Ibrahim dan Yahya masing-masing menyertai PKR di Labuan dan Dalit, Tuaran.

Saturday, September 15, 2012

Najib Mahu Rakyat Pastikan Kelangsungan Keharmonian Dan Kesejahteraan Malaysia

Datuk Seri Najib Tun Razak
15 Sept (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan seluruh rakyat Malaysia agar terus menggenggam kuat kejayaan menyatupadukan rakyat berbilang kaum, pegangan agama dan kebudayaan di negara ini.

Beliau berkata ini demi memastikan kelangsungan keharmonian dan kesejahteraan di Malaysia dapat terus dinikmati oleh generasi akan datang.

"Kepelbagaian sosio budaya inilah yang menjadi aset utama negara dan perlu dipelihara dan terus disemarakkan di bawah gagasan 1Malaysia," katanya dalam kata-kata aluan dalam buku Program Sambutan Hari Malaysia yang akan disambut di Bintulu, Sarawak Ahad.

Selain itu, Perdana Menteri turut mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk menjenguk semula hasrat dan aspirasi pemimpin-pemimpin terdahulu yang bertindak matang dan berpandangan jauh.

Beliau berkata hasil daripada tindakan para pemimpin terdahulu itu adalah apa yang dikecapi dan dinikmati oleh seluruh warga negara ini pada hari ini.

"Marilah sama-sama kita bulatkan tekad, satukan azam, teguhkan pegangan dan bergerak seiringan demi kelangsungan satu kehidupan negara bernama Malaysia untuk dulu, kini dan seterusnya," katanya.

Menyorot kembali sejarah penubuhan negara Malaysia, Najib berkata, pastinya rakyat tidak boleh menidakkan peranan yang telah dimainkan oleh pemimpin terdahulu dalam menyatukan Semenanjung Tanah Melayu dengan Sabah dan Sarawak di Pulau Borneo.

Beliau berkata ia adalah untuk mewujudkan sebuah negara baru selain bertujuan untuk membantu mempercepatkan proses kemerdekaan Sabah dan Sarawak di samping mengekang pengaruh komunisme yang semakin berleluasa pada ketika itu.

"Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra bersama pembesar-pembesar dari Sabah dan Sarawak telah bersepakat untuk menyatukan negeri-negeri yang dipisahkan oleh Laut China Selatan sebagai sebuah negara baru yang dinamakan Malaysia.

"Semestinya usaha ini tidak mudah dan menuntut pengorbanan yang bukan sedikit. Tentangan daripada pihak-pihak tertentu pada ketika itu sedikit sebanyak memberi kesan kepada penubuhan negara Malaysia, namun berkat kesabaran dan kesungguhan serta keinginan yang jitu untuk mencapai kemerdekaan, segala rintangan berjaya diatasi," katanya.

Perdana Menteri berkata sambutan Hari Malaysia yang disambut pada 16 Sept merupakan kesinambungan kepada sambutan ulang tahun Hari Kemerdekaan yang disambut pada 31 Ogos setiap tahun.

Beliau berkata kedua-dua tarikh ini akan kekal dalam lipatan sejarah sebagai tarikh penuh bermakna lambang kemajuan, kemakmuran dan kestabilan negara Malaysia.

"Alhamdulillah, saya amat bersyukur ke hadrat Allah S.W.T. kerana dengan limpah kurnia dan rahmat-Nya, sekali lagi kita bersama-sama menyambut peristiwa yang penuh bermakna ini iaitu sambutan perayaan Hari Malaysia.

"Saat inilah 49 tahun yang lalu lahir negara Malaysia, hari di mana permuafakatan melibatkan keluarga besar Malaysia mula terjalin," katanya.

Beliau berkata, Sarawak merupakan tuan rumah pada sambutan Hari Malaysia tahun ini dan semestinya rakyat di negeri itu yang kaya dengan kepelbagaian budaya amat berbangga dan berbesar hati untuk sama-sama menyambutnya di mana kegembiraan itu turut dikongsi penduduk di Semenanjung dan Sabah. "Semoga sambutan seperti ini akan meninggalkan kesan yang mendalam di hati setiap rakyat Malaysia bagi mengingati betapa pentingnya mengekalkan keamanan, keharmonian dan toleransi sesama kita," katanya.

Beliau turut mengucapkan tahniah dan penghargaan kepada kerajaan negeri Sarawak selaku tuan rumah kepada sambutan Hari Malaysia tahun ini serta seluruh anggota Jawatankuasa Induk Sambutan atas komitmen yang berterusan bagi memastikan sambutan berjalan lancar.

-- BERNAMA

JANGAN AMAL `POLITIK BISIK-BISIK': SALLEH

Musa diberi sambutan ketika tiba pada majlis Aidilfitri BN Kota Belud kelmarin.
KOTA BELUD: Semua ahli parti komponen Barisan Nasional (BN) diingatkan supaya tidak mengamalkan `politik bisik-bisik' kerana ia hanya akan mencetuskan perpecahan yang akhirnya merugikan parti.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah merangkap Pengerusi BN Kota Belud, Datuk Seri Salleh Tun Said, ketika membuat gesaan itu berkata setiap ahli parti komponen sebaliknya perlu mengamalkan prinsip politik yang telus dan terbuka.

"Jangan amal politik bisik-bisik, menikam dari belakang atau seperti gunting dalam lipatan," katanya berucap pada majlis rumah terbuka Aidilfitri BN Kota Belud di sini kelmarin.

Ketua Menteri merangkap Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Panglima Musa Hj Aman menjadi tetamu kehormat majlis itu. Hadir sama Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Hajiji Hj Noor; dan Menteri Pelancongan Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Masidi Manjun serta Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Dahlan dan Adun Tempasuk, Datuk Musbah Jamli dan Adun Usukan, Datuk Japlin Akim.

Salleh yang juga Ketua Umno Bahagian Kota Belud turut mengingatkan setiap ahli BN supaya sentiasa bersikap konsisten dalam perjuangan kerana ia menentukan kredibiliti kepemimpinan mereka.

Katanya, rakyat kini tahu menilai kredibiliti seseorang pemimpin.

"Jangan hanya apabila kita sudah berada di luar BN barulah semua yang dibuat oleh BN itu tidak baik, sedangkan kita lupa ketika kita bersama BN kita banyak memuji mengenai kebaikan yang dibawa BN," katanya.

Salleh yang juga Speaker DUN Sabah menegaskan tidak dinafikan kini bahawa BN telah banyak membawa kemajuan dan perubahan kepada negeri ini.

Katanya, hasil daripada pemerintahan kerajaan BN keadaan politik semakin stabil dan ekonomi bertambah makmur.

"Ia terhasil daripada kepemimpinan pragmatik Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Musa Hj Aman yang menggariskan halatuju dan pembangunan negeri ini," katanya, sambil menyatakan pendirian BN Kota Belud menyokong kepemimpinan beliau.

Beliau berkata kehadiran ribuan masyarakat Kota Belud pada majlis itu bukan untuk berdemonstrasi, sebaliknya menunjukkan kesyukuran dan kesepaduan mereka untuk bersama-sama kepemimpinan negeri.

Pilihan Raya Umum Ke-13 Penentu Survival Orang Melayu

Datuk Seri Najib Tun Razak
PEKAN, 15 Sept (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata pilihan raya umum ke-13 nanti bukanlah sebarang pilihan raya tetapi penentu kepada survival bangsa Melayu.

Beliau berkata orang Melayu perlu sedar bahawa hanya Umno yang menjadi parti teras dalam Barisan Nasional (BN) yang akan dapat meneruskan perjuangan bangsa dan agama.

Presiden Umno itu berkata oleh yang demikian orang Melayu dan anggota Umno perlu bersatu hati dalam menangani cabaran pada pilihan raya umum akan datang.

Pilihan raya umum ke-13 ini bukan sekadar soal menang atau kalah tetapi soal survival orang Melayu, tanah air kita, katanya ketika berucap pada majlis penutup persidangan perwakilan Umno Bahagian Pekan di sini, hari ini.

"Kalau nak kekalkan teras pemerintahan, pastikan Umno menang, (dan sekiranya) sebaliknya berlaku, buruk padahnya," kata Najib yang juga Ketua Umno Bahagian Pekan.

Najib berkata sekiranya kerajaan sedia ada kini digantikan pasti sesuatu yang buruk akan menimpa bangsa Melayu.

"Barisan Nasional, terasnya Umno. Pembangkang siapa terasnya?, PAS, DAP atau PKR?. PKR lemah, kalau sekiranya mereka bergabung, DAP dapat banyak kerusi, adakah orang Melayu dapat bergantung harap kepada DAP?

"DAP (selama ini) tidak ada rasa senang hati terhadap kedudukan orang Melayu dan orang Islam...hati perut tak sama dengan kita (BN)," katanya.

Dalam pada itu, Najib berkata anggota Umno perlu memperkukuhkan kekuatan dan tidak sesekali berpecah apatah lagi selepas calon parti bagi pilihan raya umum ke-13 diumumkan nanti.

"Yang penting sekali bukan individu tapi parti, perjuangan mesti diteruskan, kalau parti kalah, tirai akan jatuh, kita akan lihat masa depan tidak menentu," katanya.

Beliau berkata dengan izin Allah s.wt, kejayaan pasti dapat dicapai sekalipun berdepan dengan apa juga cabaran.

-- BERNAMA

Friday, September 14, 2012

Sabah Government Will Not Tolerate Insults To Cultural Heritage, Says Musa

Datuk Seri Musa Aman.
KOTA KINABALU, Sept 13 (Bernama) -- The Sabah government will not tolerate insults to cultural heritage, says Chief Minister Datuk Seri Musa Aman.

"I am compelled to publicly criticise the ignorant and irresponsible parties behind the blog post that has insulted the Sumazau dance that is very much a part of Sabah's rich cultural heritage.

"We in Sabah are proud of our cultural diversity. We are home to 32 different ethnic groups, each with its own unique identity. Though different from each other and with different backgrounds and religious beliefs, there has always been above it all, respect," he said in a statement, here, today.

Musa said every culture had its own identity, steeped in tradition and history, and the Sumazau was no different as the dance had its own distinctive meaning.

"It is also for all occasions and for everybody. Modern day Sabah is known around the world as a vibrant melting pot of cultures.

"Our people are peace loving and harmonious. Many families, my own included, have members that are of different races and religions.

We are like one big family here in Sabah," he said.

As chief minister tasked with the responsibility of leading the state, Musa said his administration "works hard to ensure this precious peace and racial harmony is protected and safeguarded".

"Such preservation is vital to developing Sabah and steering our homeland to a brighter future for our children.

"I join the outrage voiced by the people of Sabah against any slur to our culture by irresponsible parties with selfish or malicious agendas," he said.

Musa said the state government would not tolerate such disrespect "for our cultural values, and those who have no respect for our cultural values are not welcome here".

-- BERNAMA

Najib Umum Tujuh Projek Di Bawah ETP Bernilai RM5.607 Bilion

Datuk Seri Najib Tun Razak
PUTRAJAYA, 13 Sept (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak Khamis mengumumkan tujuh projek di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP), dengan nilai pelaburan RM5.607 bilion.

Secara kolektifnya, ketujuh-tujuh pelaburan projek itu dijangka dapat melonjakkan Pendapatan Negara Kasar (GNI) negara sebanyak RM2.361 bilion dan mewujudkan 18,522 pekerjaan baharu.

Dalam taklimat mengemaskinikan kedua perkembangan untuk tahun ini, Najib berkata: "Dalam pencarian kita untuk mendapatkan pelaburan langsung asing, kita lebih bersikap memilih (selective) dengan penekanan diberikan kepada pelaburan positif GNI yang akan memudahkan peralihan kita kepada ekonomi berpendapatan tinggi.

"Pelaburan-pelaburan ini (hari ini) menepati bidang-bidang fokus kita, yang termasuklah teknologi tinggi, teknologi hijau dan alternatif dan industri berintensifkan pengetahuan."

Perdana Menteri berkata kerajaan terus kekal fokus dalam mewujudkan situasi yang mesra pelabur bagi membolehkan perniagaan berkembang maju.

Pelaburan terbesar dalam pengemasan terkini hari ini ialah dalam sektor minyak dan gas Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA).

Satu konsortium terdiri daripada Dialog Group, Kerajaan Negeri Johor dan Royal Vopak akan melabur RM4.08 bilion untuk memajukan Projek Terminal Gas Asli Cecair (LNG) Pengerang -- terminal penyimpanan, muat turun dan regasifikasi LNG untuk mengimport LNG bagi tujuan urus niaga dan penggunaan domestik.

Dalam penjagaan kesihatan NKEA, Ranbaxy Laboratories Limited, syarikat farmaseutikal terbesar India dengan usaha sama rakan-rakan tempatan, akan melabur RM125 juta untuk membina kilang pengeluaran kedua di Malaysia, yang akan menjadi salah sebuah daripada lapan hab pembuatan global Ranbaxy untuk eksport ubat-ubatan generik.

Dalam Perkhidmatan Perniagaan NKEA, konsortium 1Progres merancang melabur RM947.125 juta dalam penyelesaian alternatif pemulihan sisa, sementara di bawah minyak sawit dan getah NKEA, United Plantations Bhd dan Oleon Sdn Bhd akan melabur RM96.33 juta untuk membina kilang pengeluaran oleo-derivatif berkapasiti 25,000 tonne setahun di Hab Halal Selangor.

Malaysia akan turut melabur RM4.7 juta dalam tiga klinik percubaan yang mahu menghasilkan penemuan perubatan dengan menggunakan "tocotrienols" dalam minyak sawit.

Dalam pendidikan NKEA, Medical Devices Corporation Sdn Bhd akan melabur RM88.55 juta untuk mewujudkan hab pembuatan kontrak dan di bawah elektrik dan elektronik, National Instrument Malaysia akan melabur RM270 juta bagi membentuk dua Akademi Instrumen Negara dan Nukleus Inovasi.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala berkata pengemaskinian perkembangan selanjutnya ke atas ETP dijadual diadakan pada bulan November dan seterusnya, pada bulan Januari.

Setakat ini, sejumlah 28 projek telah diumumkan di bawah NKEA, kata beliau.

Secara kolektifnya, para pelabur telah komited untuk melabur RM26.07 bilion dan mewujudkan 51,130 pekerjaan menjelang 2020, kata beliau.

"Projek-projek ini akan mewujudkan RM6.96 bilion dalam GNI," tambah Idris yang juga merupakan ketua pegawai eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu).

-- BERNAMA

Tuesday, September 11, 2012

Musa Bakal 'Pecahkan Badi' Pentadbiran Ketua Menteri Sabah Hanya 10 Tahun Sahaja

Datuk Seri Musa Aman
KOTA KINABALU, 11 Sept (Bernama) -- Sabah, yang memperoleh kemerdekaan 49 tahun lepas menerusi pembentukan Persekutuan Malaysia, mempunyai sejarah yang panjang dan penuh warna-warni, khususnya dalam arena politik.

Dalam hampir lima dekad, sekurang-kurangnya 14 ketua menteri telah berjaya memegang jawatan penting itu yang juga menyaksikan kerajaan negeri bertukar tangan beberapa kali dalam suasana penuh dramatik.

Bagaimanapun, semua ketua menteri hanya memegang jawatan itu kurang 10 tahun atau sedekad, kecuali Ketua Menteri sekarang iaitu Datuk Seri Musa Aman yang kini telah memegang jawatan itu hampir sembilan tahun.

Ketua Menteri Sabah yang pertama selepas negeri ini menyertai untuk membentuk Malaysia pada 1963 ialah Datuk Donald Stephens (1963-1964), diikuti Datuk Peter Lo Sui Yin (1965-67), Datu (kemudiannya Tun) Mustapha Datu Harun (1967-1975), Datuk (kemudiannya Tun) Mohd Said Keruak (1975-1976), Tun Mohd Fuad Stephens (1976 - 44 hari), Datuk (kini Tan Sri) Harris Salleh (1976-85), Datuk (kini Tan Sri) Joseph Pairin Kitingan (1985-1994) dan Datuk (kemudiannya Tun) Sakaran Dandai (1994-1995).

Amalan Mensabotaj Calon BN Satu 'Penyakit' Mudaratkan Parti - Rosnah

Rosnah Abdul Rashid Shirlin
KOTA KINABALU, 11 Sept (Bernama) -- Ketua Puteri Umno Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin menyifatkan amalan mensabotaj calon Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum sebagai satu 'penyakit' yang boleh memudaratkan parti.

Beliau berkata Puteri Umno menyokong amaran Timbalan Perdana Menteri yang juga Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa mana-mana anggota atau pemimpin Umno yang didapati mensabotaj calon akan disingkir daripada parti.

"Pergerakan Puteri Umno menyokong penuh kenyataan ini. Bagi saya ini merupakan satu penyakit yang perlu kita pulihkan.

"Perkara ini tidak seharusnya berlaku iaitu menikam dari belakang dan sabotaj sesama sendiri. Ini satu penyakit yang menyebabkan kita lemah dalam parti," katanya ketika ditemui pemberita pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri yang dihoskan bersama Hospital Ratu Elizabeth 11 dan Pusat Perubatan Sabah di Damai, Luyang dekat sini pada Selasa.

Pada Ahad lepas, Muhyiddin berkata bahawa amaran keras itu disuarakan terhadap mereka yang kecewa kerana tidak terpilih menjadi calon.

-- BERNAMA

Sunday, September 9, 2012

Salleh Mahu Umno Rampas Kerusi Sepanggar Daripada SAPP

Datuk Seri Salleh Said Keruak
KOTA KINABALU, 9 Sept (Bernama) -- Timbalan Ketua Umno Sabah Datuk Seri Salleh Said Keruak hari ini mencabar Umno Sepanggar supaya berusaha bersungguh-sungguh mengembalikan kerusi Parlimen kepada Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum akan datang bagi memastikan kedua-dua kerusi negeri, Karambunai dan Inanam, kekal dengan parti gabungan itu.

"Sebenarnya, lakukan apa saja dalam kerangka undang-undang dan jadikannya sebagai slogan untuk merampas Sepanggar daripada pembangkang," katanya apabila merasmikan persidangan perwakilan bahagian itu di sini.

Sepanggar disandang Parti Maju Sabah (SAPP) yang memenangi kerusi itu pada pilihan raya umum 2008 atas tiket BN. Parti itu keluar daripada gabungan itu selepas itu dan Anggota Parlimennya Datuk Eric Majimbun, kini adalah wakil pembangkang.

Karambunai dan Inanam kekal sebagai kubu kuat BN dengan Datuk Jainab Ahmad dari Umno dan Datuk Johnny Goh dari Parti Bersatu Sabah (PBS) sebagai wakil yang dipilih.

Salleh berkata ia akan menjadi tugas yang mudah untuk merampas Sepanggar jika anggota Umno memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada calon BN dalam pilihan raya umum akan datang.

-- BERNAMA

Saturday, September 8, 2012

Pemimpin Pembangkang Jangan "Mengajar Itik Berenang" Kepada Sabah - Musa

Datuk Seri Musa Aman
TENOM, 8 Sept (Bernama) -- Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman membidas pemimpin pembangkang khususnya dari Semenanjung yang cuba berlagak umpama 'mengajar itik berenang' kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) negeri bagi mengurus negeri dengan baik.

Beliau berkata pemimpin pembangkang itu seharusnya menoleh ke belakang melihat pentadbiran di negeri yang diperintah oleh pakatan yang menurutnya diurus secara 'lintang pukang'.

Sebaliknya, Musa yang juga Pengerusi BN negeri, berkata tahap kepesatan pembangunan di Sabah kini jauh lebih baik berbanding di negeri pembangkang terutama Pulau Pinang dan Selangor.

Katanya sebagai perbandingan, jumlah bajet yang diluluskan oleh kerajaan pembangkang di Pulau Pinang tidak sampai RM1 bilion, begitu juga dengan di Selangor jumlah bajet mereka tahun ini hanya sekitar RM1.6 bilion.

"Ini jauh lebih rendah berbanding dengan bajet kerajaan Sabah yang menjangkau lebih RM4 bilion. Selain itu, Sabah juga mempunyai rekod baik dalam mengurus kewangan negeri sehingga mempunyai rizab kewangan yang besar," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian mesyuarat perwakilan Umno Sabah bahagian Tenom dan Pensiangan, di Dewan Datuk Seri Panglima Antanom, di sini, pada Sabtu.

-- BERNAMA

Umno Akan Singkir Anggota Yang Sabotaj Parti - Muhyiddin

Tan Sri Muhyiddin Yassin
MUAR, 8 Sept (Bernama) -- Mana-mana anggota atau pemimpin Umno yang didapati bertindak mensabotaj calon dalam pilihan raya umum (PRU) akan disingkir daripada parti.

Amaran keras itu disuarakan oleh Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin terutama terhadap mereka yang kecewa kerana tidak terpilih menjadi calon.

"Dalam pilihan raya akan datang kalau dia sabotaj, kita akan singkir dia keluar daripada parti, kita tidak perlukan orang sebegini, minta maaf..."

"Presiden pun telah bersetuju, kami tidak memerlukan orang yang mensabotaj calon kerana kalau kalah calon, kalahlah kita," katanya ketika berucap merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Bakri di sini pada Sabtu.

-- BERNAMA

Thursday, September 6, 2012

Lawatan Najib Ke Kota Belud Perangsang Kepada BN - Salleh

Salleh Said Keruak ketika bersama rombongan Perdana Menteri ke Kg. Rampayan Laut Kota Belud. Turut kelihatan ialah TS Joseph Pairin Kitingan, Timbalan Ketua Menteri Sabah selaku Presiden PBS.
KOTA BELUD (Sabah), 4 Sept (Bernama) -- Lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke Kota Belud Ahad lepas untuk menghadiri majlis Aidilfitri dianggap sebagai perangsang untuk gabungan parti pemerintah dan penghargaan kepada rakyat di kubu kuat Barisan Nasional (BN) itu.

Presiden Pertubuhan Bajau Bersatu Sabah (Usbo) Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata mesej yang disampaikan Najib pada perhimpunan raksaksa itu telah menaikkan semangat rakyat tempatan yang hadir pada majlis itu.

Najib dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, telah menghadiri majlis rumah terbuka Aidilfitri anjuran bersama Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan Usbo, di mana Pandikar adalah timbalan pengerusinya.

"Perdana menteri melawat tempat kelahiran Umno Sabah dan beliau memberi penghargaan kepada penduduk Kota Belud yang mengundi calon Umno pada pilihan raya kecil 1991 yang menyaksikan parti itu bertapak di negeri ini," kata Salleh kepada Bernama, di sini pada Selasa.

Salleh, yang juga timbalan pengerusi perhubungan Umno Sabah, berkata lawatan itu juga akan memberi semangat kepada parti-parti komponen BN untuk berjuang habis-habisan bagi memastikan BN kekal di semua empat kerusi di sana selepas pilihan raya umum akan datang.

Tiga kerusi negeri di kawasan parlimen Kota Belud ialah Usukan, Tempasuk dan Kadamaian. Pada pilihan raya umum lepas, pada 2008, semua kerusi negeri dan kerusi parlimen Kota Belud dimenangi calon BN

Mengenai laporan bahawa pilihan raya umum mungkin diadakan pada November, beliau berkata adalah lebih baik perkara itu diserah kepada kebijaksanaan Najib dan kepimpinan BN tetapi pada masa sama anggota parti perlu sentiasa bersedia untuk menghadapi pengundi apabila tiba masanya.

Salleh turut bersetuju dengan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman mengenai perlunya rakyat mengekalkan BN terus berkuasa, bukan hanya di Sabah, tetapi juga di Putrajaya.

Musa, dalam ucapannya pada persidangan perwakilan Umno bahagian Libaran, Kinabatangan, Sandakan, Batu Sapi dan Beluran yang dirasmikan Najib pada Ahad, berkata rakyat memerlukan pembangunan, kemakmuran, kemanan dan keharmonian.

"Beliau (Najib) telah membantu nelayan, petani dan pesawah. Beliau juga telah membantu rakyat di kampung-kampung dan di bandar, kanak-kanak, orang tua, orang pencen, malah pemandu teksi," kata Musa dalam ucapannya.

Salleh berkata ketika pembangkang terus membohongi pengundi dengan membuat pelbagai janji, Najib sibuk melaksanakan pelbagai projek dan program yang memberi manfaat sebenar kepada rakyat.

Beliau juga berkata bahawa Sabah di bawah kepimpinan Musa turut mendapat faedah hasil inisiatif kerajaan negeri, terutama dalam program-program untuk meningkatkan ekonomi dan taraf kehidupan rakyat.

"Saya bersetuju dengan (Datuk) Musa bahawa Sabah dan rakyatnya akan menderita jika mereka memilih parti dan pemimpin yang salah untuk membentuk kerajaan selepas pilihan raya umum," katanya.

Mengenai majlis bersama rumah terbuka Aidilfitri itu, Salleh dengan rendah hati memohon maaf atas segala kekurangan memandangkan penganjur tidak menjangka kehadiran yang amat besar.

-- BERNAMA

Monday, September 3, 2012

Najib Yakin Kota Belud Terus Jadi Kubu Kuat BN Di Sabah

DS Najib Tun Razak dan Isteri DS Rosmah Mansor teruja menaiki Usunan semasa Kunjungan mereka ke Majlis Terbuka Hari Raya Tan Sri Pandikar Amin Haji Mulia dan USBO
DS Musa Aman, Ketua Menteri Sabah dan DS Salleh Tun Said Speaker DUN Sabah, merangkap Presiden USBO turut bersama Perdana Menteri dalam Usunan
DS Salleh Tun Said dan Tan Sri Joseph Pairin kitingan Timbalan Ketua Menteri Sabah, Merangkap Presiden PBS
KOTA BELUD, 2 Sept (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak optimis bahawa Kota Belud, yang merupakan tempat kelahiran Umno di Sabah menerusi pilihan raya kecil pada tahun 1991, akan terus menjadi kubu kuat Barisan Nasional (BN).

Sehubungan itu, beliau yakin tiga kawasan Dewan Undangan Negeri iaitu Usukan, Tempasuk dan Kadamaian dalam Parlimen Kota Belud akan kekal dalam genggaman BN pada pilihan raya umum akan datang.

Pada pilihan raya lepas, semua kerusi di kawasan itu dimenangi calon BN.

Najib juga berkata Umno, yang berasal dari Semenanjung, berjaya memecah tembok kesukuan di negeri ini.

"Sebenarnya, sejarah Umno Sabah bermula dari Kota Belud selepas parti itu dibawa masuk oleh Tun Datu Mustapha (Datu Harun) (bekas presiden Usno) yang mana beliau sendiri membubarkan Usno.

"Oleh itu, kita harus bersatu-padu di bawah panji-panji Umno dan BN supaya Sabah boleh menjadi kubu kuat BN," katanya ketika berucap pada majlis rumah terbuka Aidilfitri anjuran Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia bersama Pertubuhan Bajau Bersatu Sabah (USBO) di Kampung Rampayan Laut dekat sini.

Turut hadir, isteri Perdana Menteri Datin Rosmah Mansor, Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman dan Isteri, Datin Hajjah Faridah Tussin  dan presiden Usbo, yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak dan  Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS).

Najib berkata walaupun rakyat Sabah mempunyai perbezaan dari segi budaya, namun ia tidak seharusnya menjadi halangan kepada mereka untuk bersatu-padu dalam arena politik demi masa depan rakyat yang lebih baik.

"Kalau zaman penjajahan dahulu, mereka mendapat menguasai kita selama 400 tahun kerana mereka mengamalkan dasar pecah dan perintah.

"Kita tahu kalau kita berpecah dalam kelompok yang kecil dan membiarkan sentimen kesukuan mengatasi pertimbangan yang lebih bersifat nasional dan rasional, maka kita akan menjadi masyarakat yang lemah," katanya.

Perdana Menteri turut mengingatkan rakyat Sabah supaya tidak terpengaruh dengan hasutan dan janji manis pembangkang kerana 'masa depan rakyat bukan di tangan pembangkang, tetapi di tangan kerajaan BN'.

Beliau berkata rakyat seharusnya memberi sokongan padu dan terus bersama BN yang mentabdir negara ini dengan baik, serta mengamalkan keadilan secara keseluruhan.

"Hanya kerajaan BN boleh mencorakkan masa depan ke arah yang lebih maju, dan bukan pihak pembangkang yang tidak berupaya di samping penuh dengan banyak pembohongan.

"Sebagai contoh, Menteri Besar Selangor sebut manifesto (parti itu) bukan satu perjanjian yang perlu ditunaikan. Kita dalam BN sebut manifesto itu sebagai satu perjanjian untuk kita tepati. Sebab itu, mereka kritik hebat apabila kita pilih tema Hari Merdeka Janji ditepati," katanya.

Sementara itu, Musa menasihati rakyat supaya tidak terperangkap dengan pembangkang.

"Kita akan teruskan perjuangan sehingga ke peti undi sampai kerajaan diterajui BN. Malaysia sudah ada Perdana Menteri yang bagus dan banyak program serta dasar dilakukan," katanya.

-- BERNAMA

Saturday, September 1, 2012

Pelajar IPT Perlu Cipta Kecemerlangan Akademik

Datuk Seri Najib Tun Razak
KUALA LUMPUR, 1 Sept (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mahu golongan pelajar yang berjaya melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT) supaya mengambil peluang itu untuk mencipta kecemerlangan akademik serta meningkatkan pengetahuan sedia ada.

Beliau turut menggesa mereka supaya memupuk budaya inovasi, kreativiti serta memenuhi aspirasi universiti selain menyemat perasaan cintakan agama, bangsa dan negara.

"Semoga saudara dan saudari akan terus mencipta kejayaan akademik di universiti dan seterusnya menjadi generasi muda pewaris negara yang boleh menjadi pengganti kepimpinan negara di masa hadapan," katanya dalam blog 1Malaysia beliau ditujukan kepada pelajar-pelajar baharu IPT 2012

Najib berkata kemajuan negara yang dikecapi sejak tahun 1957 bukan terbina dengan sekelip mata tetapi ia dibina atas pergorbanan dan usaha berterusan oleh kepimpinan kerajaan sejak Merdeka.

Sambil mengucapkan tahniah kepada pelajar yang berjaya melanjutkan pengajian ke IPT, Perdana Menteri menyifatkannya sebagai episod bersejarah kepada pelajar berkenaan.

"Saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada saudara dan saudari atas kejayaan ini dan juga tahniah kepada ibu bapa saudara dan saudari yang semestinya menjadi orang yang paling gembira ketika ini.

"Marilah kita bersama-sama teruskan masa depan yang lebih cemerlang untuk kita semua," katanya.

-- BERNAMA