Translate

Monday, January 28, 2013

Malaysia Antara Negara Yang Menyinar Dalam Kemelut Ekonomi Dunia – Najib

Datuk Seri Najib Tun Razak
SEPANG, 27 Jan – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Malaysia dianggap sebagai antara beberapa negara yang menyinar dalam keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu sekarang.

Beliau berkata pendapat itu disuarakan oleh para pemimpin yang menghadiri Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2013 di Davos, Switzerland yang berlangsung selama lima hari bermula Rabu lalu.

“Ini bererti mereka mengiktiraf kejayaan kita memperjuangkan agenda transformasi negara,” katanya di hadapan kira-kira 10,000 rakyat yang menyambut kepulangan beliau dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor dari Davos di Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.

Sambutan itu diadakan bagi menyatakan sokongan terhadap lawatan kemanusiaan beliau ke Semenanjung Gaza sebelum berlepas ke Davos.


Najib berkata majlis Malam Malaysia yang diadakan pada forum itu turut menerima sambutan yang luar biasa, di mana ia dihadiri oleh 1,000 orang berbanding jangkaan 400 orang, yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai negara ini.

“Saya beritahu mereka bahawa saya bersama Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan menteri-menteri Kabinet akan berusaha segigih mungkin untuk mencapai Wawasan 2020, negara maju menjelang tahun 2020, InsyaAllah,” katanya.

Najib turut berkata bahawa beliau tidak pergi ke luar negara untuk memperlekehkan negara, sebaliknya untuk menjulang nama negara kerana ia bukannya mengenai kepentingan peribadi namun untuk kepentingan rakyat.

Beliau berkata rakyat Malaysia layak menerima kepimpinan yang sentiasa melakukan yang terbaik, bukan pemimpin yang menidakkan segala-galanya atas kepentingan politik.

“Kita mesti mengakui bahawa bumi Malaysia ini Alhamdulillah, Tuhan telah memberi kita segala rahmat yang begitu banyak, dan rahmat ini kerana rakyat Malaysia telah membuat keputusan yang tepat untuk bersama kita dari dulu hingga sekarang.

“Dan InsyaAllah, masanya akan tiba tidak lama lagi untuk kita melakukan satu lagi keputusan, dan InsyaAllah bumi Malaysia ini rahmatnya Tuhan akan terus limpahkan pada kita kalau kita semua bersatu dan tahu membuat pilihan yang tepat, dan kalau kita semua melakukan apa yang dituntut oleh agama, kita akan dapat masa depan yang jauh lebih gemilang untuk Malaysia yang tercinta ini,” katanya.

No comments: