Translate

Tuesday, January 29, 2013

MUSA MINTA MASYARAKAT SABAH PILIH PERUBAHAN KE ARAH LEBIH BAIK

KOTA KINABALU, 28 Jan (Bernama) -- Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman meminta masyarakat Sabah termasuk penjawat awam agar memastikan perubahan yang dipilih pada pilihan raya umum akan datang adalah ke arah lebih baik

Ini kerana katanya, tidak ada kerajaan yang sempurna dan semua yang dilakukan kerajaan sedia ada adalah demi kebaikan rakyat agar mereka dapat menikmati masa depan lebih gemilang.

"...sebagai negara yang demokrasi terpulang kepada rakyat menilai dalam menentukan kerajaan masa depan kerana apa juga pertukaran yang dilakukan diharapkan 'change for the better' (perubahan ke arah lebih baik)," katanya ketika berucap pada perhimpunan anggota perkhidmatan awam dan badan berkanun persekutuan, di sini hari ini.

Menurut Musa, berdasarkan lawatannya ke seluruh Sabah, masyarakat di negeri itu amat menghargai dan bersyukur dengan pembangunan yang dilaksana kerajaan.

Katanya kerajaan Barisan Nasional (BN) telah dan sedang melaksanakan pelbagai perancangan menerusi Program Transformasi Kerajaan dan Program Transformasi Ekonomi. 

"Negara dan negeri kita aman damai, Sabah kaya-raya dengan pelbagai khazanah alam yang menyaksikan ramai pelabur berminat melabur di mana nilai pelaburan di Sabah meningkat kepada RM10 bilion dan kita tidak ketinggalan dalam bidang pelancongan yang semakin maju," katanya.

Musa turut meluahkan penghargaan kerajaan negeri kepada lebih 100,000 penjawat awam negeri dan persekutuan di Sabah yang terbabit menyumbang kepada kemajuan negeri itu.

"Terima kasih penjawat awam negeri dan persekutuan yang membantu merancakkan ekonomi negeri melalui peruntukan belanja mengurus yang mencecah hampir RM7 bilion pada tahun lepas.

"Kita sebagai anggota perkhidmatan awam persekutuan dan negeri adalah sama sahaja. Kita saling memerlukan antara satu sama lain untuk berganding bahu melipat ganda usaha untuk mencapai kecemerlangan demi memastikan segala perancangan kerajaan negeri dan persekutuan berjaya dilaksanakan dengan baik untuk faedah rakyat Sabah," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Persekutuan Sabah Datuk Abu Bakar Hassan yang turut hadir berkata beliau dan ketua jabatan persekutuan mengambil pendekatan turun padang bagi menyampaikan dasar kerajaan persekutuan selain mengeratkan hubungan antara agensi pusat dan negeri.

"Saya telah melawat dan berjumpa dengan penjawat awam Persekutuan di daerah-daerah seperti Tawau, Keningau, Kudat, Kota Marudu, Pitas, Kota Belud dan Semporna untuk menerang dan mendengar permasalahan mereka semasa melaksanakan dasar dan program kerajaan Persekutuan di daerah tersebut," katanya.

No comments: