Translate

Thursday, January 3, 2013

SALLEH MAHU RAKYAT SABAH WASPADA PENDIRIAN POLITIK YANG SERING BERUBAH WAJAH

KOTA BELUD, 30 Dis (Bernama) -- Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah Datuk Seri Salleh Said Keruak mahu rakyat Sabah berwaspada dengan pendirian politik pihak tertentu yang sering berubah wajah semata-mata untuk mengekalkan kelangsungan politik mereka.

Beliau berkata semasa memegang jawatan dalam kerajaan Barisan Nasional (BN), mereka sentiasa mendukung agenda pembangunan negeri dan negara serta memuji keprihatinan kerajaan terhadap permasalahan rakyat namun nada mereka kini berubah apabila berada dalam kem pembangkang.

"Kini kita lihat mereka menyerang agenda pembangunan yang pernah mereka dukung dan menabur pelbagai janji manis atau luar biasa semata-mata untuk meraih sokongan rakyat.

"Sebenarnya ada di kalangan pemimpin pembangkang ini yang pernah menjadi pembantu menteri, menteri dan timbalan ketua menteri dalam barisan kabinet negeri Sabah selama bertahun-tahun sebelum menyeberang ke pakatan pembangkang. Bolehkah rakyat mempercayai "political chameleon" (pendirian politik berubah wajah) ini," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis bersama anggota

Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA) di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Salleh berharap rakyat Sabah tidak mudah termakan janji manis pakatan, sebaliknya menilai kualiti kepemimpinan tokoh politik yang menyokong pakatan pembangkang sewaktu mereka masih berkuasa dan "bukan sewaktu mereka tidak lagi memegang apa-apa jawatan dalam kerajaan".

Sambil mengetepikan dakwaan pakatan pembangkang kononnya kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak ada membawa apa-apa pembangunan untuk rakyat Sabah, Salleh berkata pemimpin pakatan rakyat sudah ketandusan isu, dan kini hanya bersandarkan kepada janji manis dan pembohongan untuk mendapatkan sokongan rakyat menjelang pilihan raya yang ke-13.

"Saya percaya rakyat bijak menilai kemajuan yang dibawa oleh kerajaan BN dan tidak mudah terpengaruh dengan dakyah dan taktik kotor pembangkang," katanya.

Beliau yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri yakin BN yang kini berada di tahap yang kuat akan mencapai kemenangan yang cemerlang pilihan raya umum akan datang.

Mengenai RELA, Salleh berkata anggota RELA seharusnya menjadi menjadi 'mata dan telinga' kepada kerajaan terutama dalam aspek keselamatan termasuk yang berkaitan dengan isu kehadiran pendatang tanpa izin.

No comments: