Translate

Wednesday, January 9, 2013

Tsunami Politik Atau Kebangkitan Rakyat Tidak Akan Terjadi Di Sabah, Kata Salleh

KOTA BELUD, 8 Jan (Bernama) -- Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak menyangkal dakwaan pembangkang akan berlaku tsunami politik atau kebangkitan rakyat di Sabah, menegaskan Barisan Nasional (BN) berada di landasan betul untuk memenangi pilihan raya umum akan datang.

Menyifatkan dakwaan itu sebagai khayalan dan tokok tambah, beliau berkata ia bertujuan menunjukkan kekuatan politik pembangkang dan mempengaruhi sokongan di negeri ini yang merupakan kubu kuat BN.

"Yang pastinya, BN mungkin menghadapi cabaran hebat, terutama sekali di kawasan bandar dan sub bandar tetapi majoriti rakyat di Sabah masih lagi menyokong BN untuk mentadbir negeri ini dan negara.

"Sudah tentu tidak akan terjadi tsunami politik atau kebangkitan rakyat di Sabah. Ia semata-mata propaganda politik untuk mewujudkan kesangsian atau kekeliruan di kalangan pengundi. Hakikatnya BN masih utuh dan padu," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan pemimpin-pemimpin akar umbi setempat di sini Selasa.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dipetik sebagai berkata di Sabah baru-baru ini bahawa akan berlaku "kebangkitan rakyat Sabah' dalam pilihan raya umum yang datang.

Salleh, yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, yakin BN akan memperoleh kemenangan dalam pilihan raya umum yang akan datang ini.

Beliau mengingatkan rakyat supaya tidak mudah terpengaruh dengan propaganda pembangkang dan sebaliknya terus menyokong pelbagai program transformasi yang diusahakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak demi masa depan yang lebih baik.

"Saya percaya apa yang terjadi di Semenanjung dalam pilihan raya umum 2008 tidak akan berlaku di Sabah. Yang nyata, landskap politik seluruh negara telah jauh berubah dalam masa empat tahun yang lepas di bawah pimpinan Najib.

"Yang jelas, Najib telah merubah kedudukan BN selaku parti pemerintah ke arah lebih baik. Najib, yang telah menerapkan pendekatan mesra rakyat dalam menangani pelbagai masalah, amat disukai rakyat. Beliau bersedia mendengar kesusahan dan rungutan rakyat serta sanggup turun padang untuk melihat keadaan yang sebenar," katanya.

Salleh berkata ini pastinya satu kelebihan bagi BN dalam memperjuangkan kebajikan rakyat.

No comments: