Translate

Saturday, February 16, 2013

BIRUKAN BUMI PAPAR, SOKONG BN: PM

PAPAR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan masyarakat di daerah ini agar terus memberi sokongan padu kepada Barisan Nasional (BN) dan memastikan bumi Papar dibirukan. 

Katanya, jika rakyat sokong kerajaan BN pelbagai produk akan diteruskan dan ia termasuklah Bantuan Rakyat 1Malaysia, Klinik 1Malaysia dan Bantuan Persekolahan 1Malaysia. 

Beliau berkata, pembangkang hanya menjanjikan bulan dan bintang, janji syurga dan janjikan pelbagai jawatan tetapi beliau (Datuk Seri Anwar Ibrahim) sudah termakan janji. 

Najib berharap agar rakyat Sabah terus menyokong BN untuk masa depan yang baik dan lebih terjamin. 

“Kita mahu perubahan yang menjanjikan masa depan yang lebih baik dan positif. Kita tidak mahu perubahan yang masa depannya tidak menentu dan penuh dengan persoalan. 

“Pakatan Rakyat (PR) tidak boleh berpakat kerana kepala-kepala mereka berlainan dan mimpi mereka lain-lain. Ini bukan pakatan yang boleh menjanjikan masa depan yang terjamin untuk rakyat Sabah dan Malaysia. 

“Kita sudah nampak Sabah sudah maju dalam BN dan kita mahu Sabah lebih maju tetapi ia memerlukan masa. Ada kawasan parlimen di Sabah yang lebih besar daripada negeri Pahang,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Padang Papar, di sini kelmarin. 

Seramai 30,000 orang penyokong BN hadir memeriahkan majlis berkenaan dan kebanyakan mereka memakai baju bewarna biru yang tertera tulisan ‘Papar tatap BN’. 

Najib berkata, beliau yakin bahawa orang Papar juga pandai dan tahu bahawa mereka mahukan orang yang boleh menentukan bahawa perjuangan yang dekat di hati, iaitu BN. Banyak tempat di negeri ini yang mahu kerajaan teruskan pembelaan terhadap rakyat. 

Katanya, Ketua Pembangkang (Anwar) selama dua penggal pernah jadi Menteri Kewangan dan Timbalan Perdana Menteri, tetapi dahulunya beliau datang ke Sabah untuk meminta sesuatu yang bukan untuk rakyat Sabah. 

Namun, kini beliau datang ke Sabah dengan muka sedih untuk meminta belas kasihan daripada rakyat Sabah. Najib turut mengumumkan bahawa Jalan Papar-Lok Kawi akan diperbesarkan secara berperingkat tidak lama lagi. 

Kemudian semasa sidang media, ketika ditanya sama ada senarai pendek seramai 727 orang calon sudah betul-betul dipilih, beliau berkata buat masa ini pemilihan calon sudah hampir selesai. 

“Cuma sekarang ini kita mesti melalui proses untuk melakukan verifikasi dari segi latar belakang masing-masing dan juga dari segi keselamatan dan apa-apa laporan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan sebagainya sebelum kita memuktamatkan senarai itu,” katanya. 

Apabila ditanya bila Parlimen akan dibubarkan, beliau berkata apabila parti dan rakyat semuanya sudah bersedia pasti Parlimen akan dibubarkan.

Namun buat masa ini, tugas beliau adalah turun padang berjumpa rakyat dan terangkan tentang dasar dan halatuju yang dibawa oleh kerajaan BN supaya rakyat faham bahawa satu undi untuk BN ialah satu undi untuk menjayakan agenda transformasi negara, satu undi untuk keamanan dan kestabilan negara dan untuk masa depan yang lebih cerah lagi. 

No comments: