Translate

Thursday, February 28, 2013

RAKYAT SABAH MAHU NAJIB KEKAL SEBAGAI PERDANA MENTERI: SALLEH SAID KERUAK

SINGAPURA, 28 Feb (Bernama) -- Datuk Seri Najib Tun Razak, arkitek pelbagai program transformasi kerajaan dan konsep 1Malaysia, adalah pilihan rakyat Sabah untuk terus kekal sebagai Perdana Menteri Malaysia, kata Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah Datuk Seri Salleh Said Keruak, sambil mengulangi bahawa "tidak akan berlaku tsunami politik yang akan melanda Sabah dalam pilihan raya umum ke-13".

Beliau berkata ini terbukti daripada sokongan kuat di peringkat akar umbi dengan kehadiran sejumlah besar yang hadir bagi menyambut Najib semasa lawatannya ke Sabah baru-baru ini bagi menarik sokongan menjelang pilihan raya umum yang digelar "ibu segala pertempuran".

Salleh berkata ia adalah konsisten dengan hasil kaji selidik Merdeka Centre baru-baru ini dengan meletakkan pemeringkatan populariti Najib pada tahap yang selesa iaitu lebih daripada 70 peratus.

"Dengan sentuhan ajaib konsep 1Malaysia oleh Najib dalam mentransformasikan negara untuk masa depan yang lebih baik, saya percaya pengundi akan memilih BN untuk terus memerintah Sabah dengan majoriti selesa dalam pilihan raya umum ke-13.

"Dengan menyatakan demikian, saya tidak fikir tsunami pilihan raya akan melanda Sabah," katanya dalam syarahannya bertajuk "Malaysian 2013 General Election: Will Polls Tsunami Hit Sabah?, di S. Rajaratnam School of International Studies, Nanyang Technological University, Singapura, hari ini. Teks penuh syarahannya dikeluarkan kepada Bernama Sabah.

Salleh berkata pilihan raya umum ke-13 adalah pilihan raya yang penting bagi BN kerana ia "dianggap satu ujian kepada populariti Najib memandangkan beliau memerlukan mandat yang kuat untuk terus memerintah Malaysia".

Bekas ketua menteri itu melahirkan keyakinan bahawa walaupun parti-parti komponen BN negeri -- PBS (Parti Bersatu Sabah), LDP (Parti Demokratik Liberal, UPKO (Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu), PBRS (Parti Bersatu Rakyat Sabah) MCA dan Gerakan berkemungkinan berdepan cabaran sengit dengan pembangkang di sesetengah kawasan, BN akan memenangi pilihan raya negeri Sabah, dengan "UMNO dijangka mengekalkan kesemua 32 kerusi yang disandangnya".


Menurut Salleh, seorang saintis politik yang terkenal, keyakinannya berdasarkan beberapa faktor termasuk kegagalan pembangkang di Sabah membentuk pakatan yang kuat dan ketiadaan seorang pemimpin Cina yang kuat dalam pembangkang.

Salleh mendapati bahawa Parti Keadilan Rakyat (PKR) juga kekurangan pemimpin Kadazandusun yang berwibawa dan "tiada pemimpin Bumiputera-Islam berwibawa bagi menguatkan sokongan orang Islam dalam PKR".

Selain Pakatan Rakyat (Parti Keadilan Rakyat, Pas dan DAP), terdapat dua parti pembangkang iaitu SAPP (Parti Maju Sabah) yang berpangkalan di Sabah dan Parti Reformasi Negeri Sabah yang berpangkalan di Sarawak (Star), dan buat masa ini, ia kelihatan Pakatan Rakyat dan SAPP atau Star akan berbalah antara satu sama lain daripada satu lawan satu ke atas parti gabungan yang memerintah pada pilihan raya umum akan datang.

Katanya pada masa ini 25 kerusi Parlimen dan 60 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dipertaruhkan di Sabah, daripada 25 kerusi Parlimen itu 20 daripadanya disandang BN dengan lima lagi oleh pembangkang.

Salleh berkata daripada 25 kerusi Parlimen itu, 11 daripadanya adalah majoriti Bumiputera-Islam, lapan kerusi Kadazandusun Murut (KDM), masing-masing dua Cina dan empat kerusi bercampur manakala daripada 60 kerusi DUN itu, 31 daripadanya adalah majoriti Bumiputera-Islam, 17 majoriti KDM, lapan majoriti Cina dan empat kerusi bercampur.

Semasa pilihan raya umum 2008, BN Sabah hampir menyapu bersih dengan memenangi 59 daripada 60 DUN dan 24 daripada 25 kerusi Parlimen yang dipertandingkan. Bagaimanapun, SAPP meninggalkan BN pada 17 Sept, 2008.


Mengenai penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai pendatang tanpa izin, yang amat dinanti-nantikan itu, yang diterima baik pemimpin politik dan orang ramai di Sabah, beliau menyifatkannya sebagai satu langkah di landasan yang betul yang melambangkan betapa seriusnya kerajaan Persekutuan menangani masalah yang tidak berkesudahan itu.

Sambil melahirkan rasa optimis berhubung peluang BN pada pilihan raya umum, Salleh berkata pembangkang di Sabah nampaknya akan menjadi "organisasi dengan struktur yang lemah" seperti yang dibuktikan daripada kegagalan mereka membentuk satu pasukan yang bersatu padu untuk mengalahkan jentera gergasi BN.

“Agenda Semenanjung” menentang “Agenda Borneo” telah menambah permusuhan antara Pakatan Rakyat dan Barisan Borneo Bersatu (UBF)," katanya.


Salleh menegaskan bahawa sokongan masyarakat Kadazandusun Murut (KDM) dengan Tan Sri Joseph Pairin Kitingan yang berkarisma kekal utuh dengan begitu ramai orang menjauhi pengerusi Star cawangan Sabah Datuk Dr Jeffrey Kitingan yang melaung-laungkan perjuangan “Sabah untuk Rakyat Sabah”.

"Sikap perpaduan yang ditunjukkan Pairin, Tan Sri Joseph Kurup (PBRS) dan Bernard Dompok (UPKO) baru-baru ini adalah simbol isyarat bahawa semua pemimpin Kadazandusun bersedia untuk mengetepikan perbezaan masing-masing bagi memastikan kemenangan besar buat BN," katanya sambil menambah bahawa pembangkang gagal untuk menunjukkan bahawa ia adalah sebuah parti alternatif kepada BN di Sabah.

No comments: