Translate

Wednesday, March 27, 2013

SALLEH MINTA AHLI MDKB BERSIKAP PROAKTIF


KOTA BELUD: Ahli Majlis Daerah haruslah proaktif dan mereka harus mengambil peranan untuk mengemukakan permasalahan yang dihadapi oleh komuniti, kata Speakar Dewan Undangan Negeri, Datuk Seri Salleh Tun Said.
  Beliau berkata, ahli-ahli majlis daerah hendaklah menjambatani rakyat dengan kerajaan.
  “Di negara-negara besar dunia, wakil rakyat dan ahli parlimen dipilih daripada kaunselor (ahli majlis daerah) kerana mereka lebih mengetahui dan faham akan permasalahan yang melanda masyarakat,” katanya ketika menyempurnakan Majlis Angkat Sumpah Ahli-ahli Majlis Daerah Kota Belud (MDKB) di sini kelmarin.
  Turut hadir ialah Abd Gari Itam, Pengerusi MDKB merangkap Pegawai Daerah Kota Belud dan Hamsad Abd Wahab, Pegawai Eksekutif MDKB.
  Salleh turut menggesa agar semua Ahli Majlis Daerah yang dilantik peka dengan perkembangan semasa, seterusnya perlu tahu perkembangan majlis daerah di tempat lain.
  Tambahnya lagi, sudah tiba masanya keseluruhan daerah Kota Belud dijadikan kawasan perkadaran (percukaian) supaya dengan pengambilan cukai berkenaan MDKB dapat menjalankan program-program untuk kemakmuran daerah ini.
  “Di Melaka, seluruh negeri tersebut adalah kawasan perkadaran, namun kadar percukaiannya berbeza mengikut kawasan. Sistem ini boleh diaplikasikan di sini,” katanya.
 

No comments: