Translate

Wednesday, June 5, 2013

HAYATI SEMANGAT PINDAAN PERLEMBAGAAN UMNO


Oleh
SALLEH SAID KERUAK

KEBELAKANGAN ini, saya membaca banyak komen dan tulisan mengenai pemilihan pucuk pimpinan parti Umno. Sebagai ahli Umno, komen dan tulisan-tulisan itu turut menarik perhatian saya. Media arus perdana dan media alternatif membuat laporan dari pelbagai sudut mengikut perspektif masing-masing.

Saya mengikuti perbahasan mengenainya, terutama berhubung saranan pelbagai pihak supaya dua jawatan tertinggi dalam parti, iaitu merujuk kepada jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan dalam pemilihan parti tahun ini.

Berbagai hujah dan alasan diberikan. Masing-masing ada pro dan kontranya.

Secara peribadi, saya melihat perbahasan ini sesuatu yang sihat dalam perjuangan parti mengharungi cabaran. Ini kerana ia dapat menzahirkan suara hati, daripada peringkat akar-umbi sehingga kepada kepemimpinan atasan.

Bagi saya, kedudukan Umno kini lebih demokratik setelah perlembagaannya dipinda tidak lama dulu, yang memberi peluang lebih ramai pemimpin parti di peringkat akar-umbi menentukan kepemimpinan parti.

Dan sebagai sebuah parti yang demokratik, sudah tentu halatuju dan masa depannya wajar diserahkan kepada ahli parti sendiri, seiring dengan matlamat dan prinsip pindaan perlembagaan yang telah dibuat sebelum ini.

Untuk itu, saya berpandangan bahawa semangat pindaan ini mesti dipertahankan dan syor agar jawatan-jawatan penting tidak dipertandingkan adalah bertentangan dengan semangat pindaan tersebut.

Saya masih ingat lagi bahawa Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak, sendiri sebelum ini ada menyatakan hakikat bahawa Umno sebagai parti demokratik, dan terserah kepada ahli-ahli parti menentukan halatuju perjuangannya.

Saya sependapat dengan pendirian seperti itu di mana ia harus disanjungi, dengan mengambil kira senario politik keseluruhannya pasca pilihan raya umum ke-13 lalu.

Dalam PRU-13 lepas, rakyat telah menghantar mesej yang jelas kepada kita dan kita harus menganalisanya dalam konteks kepartian, dan agenda penyatuan demi menentukan Umno terus unggul dan kekal relevan.

Dalam hal ini, pemimpin dan ahli parti di semua peringkat harus sentiasa bersikap terbuka menerima cadangan, pandangan atau kritikan demi kelangsungan dan survival perjuangan politik.

No comments: