Translate

Wednesday, June 12, 2013

JALANKAN TANGGUNGJAWAB MENGIKUT MANDAT RAKYAT: MUSA


KOTA KINABALU: Semua wakil rakyat Barisan Nasional (BN) yang menang dalam pilihan raya umum lalu harus menjalankan tanggungjawab mereka bagi memenuhi mandat yang diberikan oleh rakyat.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman, menegaskan sebagai wakil yang dipilih oleh rakyat mereka perlu bekerjasama dengan rakyat demi manfaat bersama.
Beliau berkata demikian selepas mesyuarat khas bersama wakil rakyat BN di Dewan Undangan Negeri di Likas kelmarin. Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Seri Salleh Tun Said Keruak.
Musa berkata ia merupakan keyakinan yang diberikan oleh rakyat, yang seterusnya menjangkakan mereka yang terpilih sentiasa turun padang membantu menyelesaikan masalah penduduk.
Pada masa sama, beliau juga mahu wakil rakyat memberikan maklumat mengenai pembangunan yang dibawa oleh BN selama ini dan menepis segala tuduhan dan tohmahan pihak pembangkang.
"Langkah ini penting supaya rakyat tidak percaya kepada maklumat yang tidak benar, terutamanya yang melibatkan pemimpin dan agenda pembangunan yang dibawa oleh kerajaan," katanya.
Pada sesi persidangan DUN ke-14 minggu depan, Musa berkata kelab penyokong kerajaan sudah bersedia menepis sebarang cubaan membangkitkan isu oleh para perwakilan pembangkang.
Beliau berharap persidangan itu akan berlangsung dengan perbahasan yang sihat dan membina, tanpa ada pihak yang membuat tuduhan tidak berasas.

No comments: