Translate

Wednesday, June 5, 2013

Kami Mahu Keamanan Dan Keharmonian Di Sabah: Musa


KOTA KINABALU, 1 Jun (Bernama) -- Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman berkata pintu Sabah sentiasa terbuka kepada mereka yang mahu melihat dan menghayati kepelbagaian etnik dan budaya selain menyertai perayaan di negeri itu.

Katanya Sabah juga mengalu-alukan mereka yang menghormati masyarakat sivil iaitu yang berpegang kepada undang-undang bagi mengekalkan keamanan dan keharmonian.

"Bagaimanapun, jika kami ada sebab untuk percaya kehadiran anda di sini akan menggugat suasana ideal yang dinikmati Sabah selama ini, anda tidak dialu-alukan," katanya dalam kenyataan, di sini.

Musa berkata bertentangan dengan apa yang disebar menerusi media sosial, larangan memasuki Sabah yang dikenakan terhadap Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar tidak bermotifkan politik.

"Ada pemimpin pembangkang lain yang datang dan bebas bergerak di seluruh Sabah terutama menjelang pilihan raya lalu. Mereka menyebarkan resepi lama yang sama mengandungi pembohongan, penipuan dan fitnah untuk mengaburi mata rakyat. Kami tidak halang mereka," katanya.

"Sekarang pilihan raya sudah berakhir, pemimpin mereka enggan menerima keputusan. Ini kes orang kempunan. Beliau mahu menimbulkan rasa bengang rakyat agar berarak di seluruh negara bagi menunjukkan rasa tidak puas hatinya," kata Musa.

"Kami ada sebab untuk percaya niat Nurul Izzah ke Sabah kali ini mungkin tidak sebaik seperti yang beliau dan rakannya dalam pakatan pembangkang nyatakan," katanya.

Nurul Izzah dihalang daripada memasuki negeri itu pada Khamis.

Musa berkata Sabah dan rakyatnya tidak perlukan propaganda berterusan daripada pembangkang bagi membangkitkan rasa benci dan prasangka rakyat terhadap kerajaan Barisan Nasional.

No comments: