Translate

Friday, June 7, 2013

PENEMPATAN POS KAWALAN DI PANTAI TIMUR SABAH AKAN DIKAJI SEMULA


SEMPORNA, 7 Jun (Bernama) -- Penempatan pos kawalan pasukan keselamatan di pantai timur negeri ini akan dikaji semula bagi meningkatkan kawalan keselamatan di kawasan itu.
    Ketua Pengarah Kawasan Khas Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSCOM) Datuk Mohammad Mentek berkata kajian itu bagi mengenal pasti lokasi strategik penempatan pos kawalan dan mengikut kesesuaian.
    "Setiap pos kawalan ini perlu kita lihat dan kaji semula selari dengan perkembangan semasa," katanya ketika ditemui selepas mengetuai lawatan pegawai ESSCOM di pos kawalan pasukan keselamatan di sekitar perairan Tawau dan Semporna hari ini.
    Antara pos kawalan yang dilawati ialah di Wallace Bay, Tawau, manakala di perairan Semporna meliputi Pulau Buhey Dulang, Pandanan, Mataking, Danawan, Mabul dan Sipadan.
    Beliau turut menyertai rondaan keselamatan Tentera Laut Diraja Malaysia menggunakan kapal KD Kelantan di perairan Sulu hingga di sempadan perairan Malaysia dan Indonesia.
    Mohammad berkata cadangan kajian semula penempatan pos kawalan itu dibuat hasil tinjauan dan lawatan beliau ke pos kawalan tersebut.
    Menurutnya hasil lawatan itu mendapati pos kawalan tersebut juga perlu dinaik taraf dari segi prasarana dan kemudahan asas khususnya air bersih untuk kegunaan anggota.
    Beliau berkata sebagai contoh pos kawalan di Wallace Bay, Tawau dikendalikan oleh Pasukan Gerakan Am yang hanya bergantung air hujan dan tempat tinggal yang tidak selesa.
    Katanya ESSCOM juga akan melihat bantuan yang sesuai diberikan kepada Angkatan Tentera Bersama untuk meningkatkan lagi  kemampuan kawalan sempadan di perairan negara.
    Beliau berkata ada beberapa perkara perlu dilihat bukan sahaja keupayaan aset sedia ada tetapi juga  kebajikan pegawai tentera dan polis yg bertugas di pos kawalan.
    Mohammad menyifatkan lawatan itu memberi gambaran yang lebih mendalam dari aspek penting komponen kawalan sempadan itu sendiri.

No comments: