Translate

Saturday, July 20, 2013

PERTANDINGAN PENGISAHAN KENEGARAAN ASAH BAKAT GOLONGAN MUDA


KOTA KINABALU: Usaha Jabatan Penerangan Sabah menganjurkan Pertandingan Pengisahan Kenegaraan 1Malaysia dan Pidato 1Malaysia adalah sebagai satu usaha bagi mencungkil dan menggilap bakal-bakal pemimpin di kalangan golongan belia di negeri ini.
   Ramai di kalangan golongan belia mahupun golongan pelajar di negeri ini mempunyai bakat terpendam dalam berpidato namun mereka tidak mempunyai platform mahupun medan yang sesuai untuk menunjukkan bakat-bakat mereka dalam berpidato mahupun berceramah.
  Justeru, Pertandingan Pengisahan Kenegaraan 1Malaysia dan Pidato 1Malaysia anjuran Jabatan Penerangan Sabah ini boleh dijadikan sebagai medium untuk mengasah bakat mereka sekaligus mampu melahirkan bakal-bakal pemimpin masa hadapan.
   Pertandingan-pertandingan berkenaan yang dianjurkan setiap tahun oleh Jabatan Penerangan Malaysia di setiap negeri itu menunjukkan bahawa golongan belia di negara ini telah memberikan respon yang positif melalui sambutan yang begitu menggalakkan dari segi peningkatan penyertaan bagi setiap tahun khususnya bagi golongan belia di kalangan bukan Melayu.
   Pada 20 Jun lalu, Jabatan Penerangan Sabah telah menganjurkan Pertandingan Akhir Pertandingan Pengisahan Kenegaraan 1Malaysia dan Pidato 1Malaysia Peringkat Negeri Sabah 2013 di Dewan Semarak Wisma Dang Bandang di sini.
   Ianya telah dirasmikan oleh Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Seri Panglima Salleh Tun Said.
   Dalam pertandingan Pidato 1Malaysia, wakil Bahagian Pedalaman Atas, Lukman Alhakim Abdullah @Low Yit Kun muncul johan dan menerima wang tunai sebanyak RM1,500, komputer riba 1Malaysia serta plak kemenangan.
  Juara Pengisahan Kenegaraan 1Malaysia pula diraih oleh wakil dari Bahagian Pantai Barat Selatan yang terdiri daripada Jass Azliezan Jasili, Mohd Saqafi Jubar Khan dan Fandyi Sanizan Jurup yang membolehkan mereka membawa pulang wang tunai sebanyak RM3,000, komputer riba 1Malaysia serta plak kemenangan.
   Hadir sama di pertandingan itu, Pengarah Jabatan Penerangan Sabah, Haji Almain Ajirul; Timbalan Pengarah Jabatan Penerangan Sabah, Yunus Saprin; dan wakil Pengarah Jabatan Penyiaran Sabah (RTM), Abdul Razak Hamid. 

No comments: