Translate

Monday, August 12, 2013

Pertandingan Jawatan Peluang Bagi Ahli Memilih Yang Terbaik: Salleh

KOTA BELUD: Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah, Datuk Seri Salleh Tun Said berkata jawatan Naib Presiden dan Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Umno perlu ada pertandingan bagi membolehkan ahli-ahli parti membuat pilihan yang terbaik.
Beliau berkata dengan adanya persaingan, maka ahli parti boleh memilih pemimpin terbaik, seiring prinsip demokratik yang diamalkan oleh Umno.
"Jangan ada usaha mewujudkan `pakej' semua jawatan secara perundingan kerana ia tidak baik untuk parti kita," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Malam Aidilfitri anjuran Umno cawangan Kampung Pengkalan Abai, di sini malam tadi.
Salleh yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah berkata pihaknya bersetuju supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak perlu dicabar.
"Namun, bagi jawatan Naib Presiden dan AMT perlu ada persaingan untuk membolehkan ahli membuat pilihan yang terbaik.
"Jawatan Presiden dan Timbalan Presiden masing-masing hanya satu dan tidaklah perlu menjadi rebutan, tetapi jawatan Naib Presiden ada tiga...justeru sesuailah ada pertandingan untuk membolehkan ahli-ahli membuat pilihan bagi mengisi slot berkenaan," katanya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas reaksi pemimpin-pemimpin Umno Sabah yang menyokong saranannya sebelum ini bahawa Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Musa Hj Aman amat sesuai untuk bertanding jawatan Naib Presiden Umno.
Salleh sebelum ini dilaporkan berkata bahawa Musa merupakan calon pilihan terbaik bagi mengisi slot jawatan Naib Presiden Umno, dengan mengambil kira `track record' Musa memimpin Umno Sabah sehingga menyumbang kepada kemenangan besar dalam PRU-13 baru-baru ini.
Berikutan kenyataannya itu, beberapa Ketua Umno Bahagian di Sabah menyatakan sokongan secara terbuka kepada Musa jika Ketua Menteri memutuskan bertanding jawatan berkenaan dalam pemilihan parti hujung tahun ini.
Sementara itu, Salleh turut mengingatkan semua ahli parti supaya sentiasa mengutamakan soal perpaduan demi survival perjuangan parti.
"Sebagai parti dominan dan tunjang pemerintahan negara, Umno perlu sentiasa padu dan mantap kerana kekuatannya juga mencerminkan keutuhan kerajaan.
"Oleh itu, setiap ahli parti mesti mendahulukan kepentingan parti daripada kepentingan diri, supaya apabila parti kukuh, maka kerajaan akan menjadi kuat dan hasilnya rakyat akan mendapat manfaat," katanya.

No comments: