Translate

Saturday, September 28, 2013

SOAL KUOTA PEMIMPIN DAN NEGERI TIDAK BERBANGKIT: SALLEH

KOTA KINABALU: Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah, Datuk Seri Salleh Tun Said berkata tidak ada kuota bagi mana-mana pemimpin atau negeri untuk menduduki jawatan Naib Presiden dan Majlis Tertinggi (MT) yang menyaksikan ramai bertanding pada pemilihan parti kali ini.

Menurutnya, semua pemimpin layak bertanding dan ahli parti bebas membuat pilihan berdasarkan pertimbangan mereka demi kelangsungan perjuangan.

Beliau berkata pertandingan yang berlaku pada pemilihan kali ini adalah seiring dengan semangat pindaan perlembagaan parti yang memberi kebebasan dan peluang ahli membuat pilihan secara demokratik dan terbuka.

"Oleh itu, tidak timbul soal kuota atau hak bagi mana-mana pemimpin atau negeri kerana yang perlu difikirkan dan diutamakan adalah soal kepentingan nasional," katanya ketika ditemui selepas meraikan pemimpin Umno dari Semenanjung pada jamuan makan malam di sini malam kelmarin.

Beliau diminta mengulas kenyataan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Musa Hj Aman baru-baru ini, yang menyifatkan pertandingan dalam pemilihan kali ini harus dianggap atas semangat kekeluargaan.

Sambil menyatakan pemimpin yang bertanding jawatan Naib Presiden dan MT terdiri daripada kawan-kawan dan sahabat seperjuangan, Salleh yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah optimis bahawa ahli Umno cukup matang dan bijak membuat pilihan tanpa dipengaruhi oleh sentimen kenegerian mahupun keperibadian.

Katanya, Umno Sabah berpendapat persaingan dalam pemilihan parti kali ini dapat menguji kematangan ahlinya yang sudahpun lebih 20 tahun bersama-sama dalam arus perdana politik negara.

Beliau berkata bilangan calon yang bertanding jawatan Naib Presiden dan MT memancarkan iltizam dan kesediaan ramai pemimpin untuk mencurah bakti untuk agama, bangsa dan negara.

"Ini memberi peluang kepada ahli peringkat akar-umbi memilih kalangan yang terhebat kerana semua mereka terdiri daripada kalangan terbaik," katanya.

No comments: