Translate

Sunday, September 15, 2013

TIADA INTEGRASI TANPA INTERAKSI

 
Oleh
SALLEH SAID KERUAK
 
MALAM Jumaat lepas (13 September) saya diundang menjadi ahli panel Landskap, sebuah program bual bicara RTM, yang dihoskan oleh dua pengacara diketuai Syed Munawar.
Tetamu jemputan program itu bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, manakala seorang lagi ahli panel, rakan saya, Datuk Abang Johari Tun Openg, dari Sarawak.
Menariknya, dalam program itu, kami bukan duduk bersama dalam sebuah studio. Tapi sebaliknya berinteraksi atas talian secara video conferencing langsung dari tiga lokasi berlainan. Tun Dr Mahathir di Angkasapuri, saya dari studio RTM di Kota Kinabalu dan Abang Jo di RTM Kuching.
Mulanya saya keberatan menerima jemputan itu kerana notis masa yang singkat. Pihak RTM menghubungi saya beberapa hari selepas saya pulang dari menghadiri persidangan Commonwealth Parliamentary Association (CPA) di Johannesburg, Afrika Selatan. Tapi untuk tidak menghampakan mereka, saya menerima jemputan itu.
Topik atau isu yang diberikan ialah mengenai kemerdekaan. Skopnya agak luas. Dan tidak terbatas ulasan. Selain menjawab soalan-soalan pengacara, kami juga diberi peluang memberi komen, pandangan atau ulasan balas terhadap kenyataan dan pandangan Tun Dr Mahathir.
Saya mengambil jalan mudah. Saya memberikan pandangan secara spontan dan `straight forward' dengan bahasa mudah tanpa berlapik dan berkias-kias.
Sebab itu, dalam satu segmen program itu, saya lantang membidas pihak pembangkang yang memperlekehkan signifikan sambutan 16 September. Saya katakan, kenyataan mereka yang menganggap 16 September sebagai tarikh penjajahan bukan saja nakal, malah bersifat biadap kerana memesongkan fakta dan menutup mata, hanya untuk kepentingan politik semata-mata.
Tun Dr Mahathir dan Abang Jo juga senada dengan pandangan saya. Mereka mengatakan bahawa tanggapan pembangkang mengenai 16 September itu, menunjukkan pemikiran sempit dan kian terdesak, lalu cuba mencipta polemik bagi menarik perhatian.
Dalam konteks Sabah, saya tegaskan bahawa fasa pembangunannya boleh dibahagikan kepada dua peringkat, iaitu selepas kemerdekaan hingga tahun 1990-an, dan fasa kedua yang lebih penting dari tahun 1991 hingga sekarang.
Saya membahagikannya kepada dua fasa supaya dapat dibuat perbandingan bagaimana keadaan kita pasca merdeka dengan sistem politiknya yang berubah-ubah mengikut selera politik rakyat, dan bagaimana kestabilan serta kemakmuran dapat dibentuk oleh Umno sebagai tunjang pemerintahan negeri di bawah panji Barisan Nasional (BN).
Saya katakan dalam bual bicara itu bahawa di waktu Tun Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri dan Presiden Umnolah bermulanya detik transisi Sabah secara makro, baik dalam politik, ekonomi mahupun sosial, apabila Umno menerima pelawaan pemimpin-pemimpin Sabah untuk parti itu mengembangkan sayapnya ke negeri kami.
Umno bertapak di Sabah pada tahun 1991 dan mula menerajui pemerintahan negeri pada tahun 1994.
Saya turut menekankan bahawa penyertaan Sabah dalam pembentukan Malaysia bersama-sama Sarawak membawa banyak perubahan kepada kedua-dua negeri, dengan mengekalkan beberapa hak yang termaktub dalam perlembagaan.
Satu fakta menarik lagi suara pemimpin Sabah dan Sarawak kini sentiasa didengar oleh pemimpin-pemimpin Kerajaan Pusat, sama ada berkaitan pentadbiran mahupun dalam membuat sesuatu keputusan atau perubahan.
Kini pemimpin Sabah dan Sarawak semakin ramai menganggotai Kabinet Persekutuan, yang merupakan manifestasi bahawa kedua-dua negeri ini diakui sumbangan dan peranannya dalam konteks pembentukan tamadun bangsa Malaysia.
Begitu juga dalam konteks perkhidmatan awam, saya tegaskan bahawa daripada kira-kira 100,000 perjawatan awam kerajaan persekutuan yang ada di Sabah, kira-kira 82 peratus diisi oleh anak tempatan negeri. Sementara di peringkat Pusat pula, beberapa jawatan pegawai tinggi juga dipegang oleh mereka yang berasal dari Sabah.
Hakikatnya, saya tegaskan bahawa semua kejayaan dan kemajuan itu dicapai hasil adanya perbincangan dua hala antara kedua-dua kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan. Hasil daripada perbincangan itulah maka wujudnya integrasi yang kukuh. Saya tegaskan bahawa tiada integrasi tanpa interaksi. Interaksi memainkan peranan penting. Perhubungan antara masyarakat Sabah dan Semenanjung perlu dipertingkatkan. Ini dapat berlaku dengan kemudahan penerbangan murah antara Sabah dan Semenanjung.
Tun Dr Mahathir dalam komennya turut mengakui bahawa Sabah kini mengecapi kemajuan yang begitu pesat, termasuk dalam bidang pembangunan. Banyak sumber alamnya berpotensi untuk menjana ekonomi negeri Sabah.
Menurut Tun Dr Mahathir, beliau baru balik dari Sabah dan menyaksikan perubahan ketara kini. Ketika di Sabah, dia tinggal di Karambunai dan tempat itu yang menghadap laut luas, sungguh cantik dan menarik.
Abang Jo turut berkongsi pandangan bahawa kedua-dua negeri Sabah dan Sarawak telah mengecap nikmati hasil daripada pembentukan negara Malaysia.
Apapun, secara peribadi, saya rasa bangga dan terhormat dengan penyertaan dalam program bual bicara itu. Bukan mudah untuk diberi peluang dan kesempatan bersama negarawan kita, Tun Dr Mahathir dalam pentas perbincangan secara langsung sedemikian rupa.
Saya sengaja tidak menokok tambah atau melontarkan komen terhadap pandangan Tun Dr Mahathir kerana saya menghormati beliau. Saya menganggap Tun Dr Mahathir sebagai "Guru Politik" saya. Kebetulan pula tarikh lahir kami adalah sama.

No comments: