Translate

Monday, October 28, 2013

KERAJAAN KOMITED BERI PELUANG PENDIDIKAN LUAS


KUALA LUMPUR: Universiti awam di negara ini kini memberi peluang yang terbuka luas kepada pelajar untuk mengikuti pelbagai program yang ditawarkan dan bukan lagi dianggap tempat kumpulan terpilih sahaja, kata Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.
Beliau yang mewakili graduan pada sesi 3 konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata kerajaan menyediakan kemudahan itu untuk kesenangan rakyatnya.
Sambil mengimbau sistem pembelajaran pada tahun 1970-an dan 1980-an, Salleh yang menerima PhD dalam bidang kerajaan dan politik berkata keadaan pada waktu itu daif dengan kemudahan asas yang tidak mencukupi.
"Tidak ada buku teks percuma, tiada kipas di dalam bilik-bilik darjah jauh sekali alat bantu secanggih komputer. Sekarang kesemua kemudahan ini telah disediakan oleh kerajaan untuk kesenangan rakyatnya.
"Dulu kadar keciciran pelajar cukup tinggi. Malah universiti sering dianggap sebagai tempat 'only for the choosen few'. Kini, peluang mendapatkan tempat di universiti terbuka luas," katanya ketika menyampaikan ucapan itu pada majis konvokesyen yang disempurnakan Tuanku Canselor Universiti Putra Malaysia Sultan Sharafuddin Idris Shah di kampus induk UPM di sini kelmarin.
Salleh yang juga bekas Ketua Menteri Sabah berkata pelajar kini boleh mengikuti pelbagai program universiti, termasuk program jarak jauh, program berkembar, francais dan kursus kemahiran.
"Inilah peluang pendidikan yang disediakan oleh kerajaan untuk rakyat. Kepada rakan graduan yang baru menamatkan ijazah pertama, rebutlah peluang ini, azamkanlah dalam diri untuk terus melanjutkan lagi pengajian selepas ini ke peringkat yang lebih tinggi," katanya.
Mengenai cabaran globalisasi, Salleh berkata "jika tidak kena cara menanganinya, ia akan mengakibatkan nilai budaya kita terhakis dan agama kita terpinggir."
“Globalisasi memberi kesan besar kerana anak-anak kita akan berguru kepada layar kaca yang canggih. Jika kita gagal menanganinya maka ia pasti akan menghakis malah mencabut akar budaya manusia daripada naluri alamiah yang jernih," katanya.
Salleh yang turut menerajui Persatuan Bajau Sabah Bersatu (Usbo) berkata globalisasi juga boleh mengakibatkan berlakunya 'technetronic ethnocide' atau pembunuhan keragaman budaya dan karakter secara elektronik.
"Dunia kini menuju sebuah budaya global menurut standard kapitalistik mutakhir. Lantas, bagi menangani cabaran ini, kita tiada pilihan lain kecuali agamalah yang merupakan kanopi suci untuk melindungi manusia," katanya.
Turut hadir di konvekesyen itu ialah Naib Canselor Universiti Putra Malaysia, Profesor Datuk Dr Mohd Fauzi Hj Ramlan, dif-dif jemputan dan ahli-ahli keluarga graduan.

No comments: