Translate

Wednesday, November 27, 2013

SALLEH SAMBUT BAIK PEWUJUDAN PORTAL ESSCOM TIMES


KOTA KINABALU, 27 Nov  -- Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak menyifatkan pewujudan portal berita ESSCOM TIMES sebagai langkah bijak dalam menangkis propaganda palsu dan khabar angin yang sering dimanipulasi oleh pihak tertentu bagi menimbulkan rasa takut di kalangan rakyat, khususnya di Zon Selammat Timur Sabah (Esszone).
    Beliau yakin portal  itu akan memudahkan rakyat mengikuti perkembangan terkini Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur (ESSCOM), terutama soal keselamatan di ESSZONE.
    "Selepas peristiwa berdarah di Tanduo, Lahad Datu pada Februari lepas (2013), ada pihak tertentu yang cuba menyebarkan khabar angin atau berita palsu mengenai ancaman terkini pengganas Sulu seperti yang dilaporkan secara meluas di media sosial.
    "Walaupun khabar angin ini tidak betul namun ia sedikit sebanyak menimbulkan rasa bimbang dan takut di kalangan rakyat kita. Keadaan ini juga mungkin boleh menjejaskan industri pelancongan, khususnya di kawasan Pantai Timur Sabah. Sebab itu, kita menyambut pewujudan ESSCOM Times," katanya di sini hari ini.
    ESSCOM TIMES yang boleh dilayari di www.esscom.gov.my dilancarkan Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman yang juga pengerusi Esscom di Sandakan Sabtu lepas, dan ia memuatkan maklumat sahih dan terkini berkaitan Esscom.
    Sehubungan itu, Salleh mengucapkan tahniah kepada pegawai dan kakitangaan ESSCOM pimpinan ketua pengarah Datuk Mohammad Mentek yang telah berusaha gigih bagi merealisasikan pewujudan portal ESSCOM Times.
    Beliau berharap portal berita ESSCOM TIMES juga memainkan peranan untuk menonjolkan berita kejayaan industri pelancongan dan ekonomi hasil suasana aman dan damai di kawasan ESSZONE.
    Esscom yang merupakan agensi bertanggungjawab untuk menyelaras operasi kesemua agensi penguatkuasaan, keselamatan dan pertahanan di Esszone ditubuhkan pada 1 April lepas dan dilancarkan secara rasmi oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Lahad Datu pada 13 April lepas.

No comments: