Translate

Wednesday, November 27, 2013

SIDANG BAJET 2014 BERJALAN LANCAR



KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman menyatakan rasa gembira kerana persidangan dan pembentangan Bajet 2014 telah berjalan dengan lancar.
    Beliau juga menyatakan penghargaan kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) atas komitmen dan penglibatan aktif dalam perbahasan.
    Katanya, pelbagai isu dan persoalan berkaitan kepentingan rakyat dan negeri dibangkitkan.
    "Saya gembira kerana banyak cadangan positif dan pandangan bernas daripada wakil-wakil rakyat telah dikemukakan dalam perbahasan.
    "Juga sokongan mereka kepada pelbagai usaha dan inisiatif kerajaan dalam Bajet ini, selain membangkitkan mengenai pembangunan dan keperluan rakyat di kawasan mereka," katanya pada sidang media selepas penangguhan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah kelmarin.
    Musa berkata antara isu yang menjadi perhatian ialah kedudukan ekonomi dan kewangan negeri, keselamatan, pendidikan, kemudahan asas, pembangunan, kesejahteraan rakyat, GST dan sebagainya.
    "Yang penting, kita dapat membangkitkan, membincangkan dan mencari penyelesaian terbaik untuk terus membela nasib rakyat," katanya.
    Musa yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan bukan sahaja membentangkan Bajet yang terbesar dalam sejarah kewangan negeri, tetapi juga komited memastikan pelaksanaannya cekap dan terbaik agar setiap lapisan rakyat mendapat manfaat dan pembelaan yang berterusan daripada belanjawan itu.
    Beliau berharap semua pihak, termasuk pemimpin, penjawat awam, sektor swasta dan segenap lapisan rakyat agar terus bekerjasama, bersatu padu dan berganding bahu untuk menjayakan segala perancangan dan program dalam Bajet 2014.
    Beliau mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada Speaker dan Timbalan-timbalan Speaker, Setiausaha Kerajaan Negeri, Setiausaha Persekutuan Sabah, Setiausaha Tetap dan pegawai Kementerian Kewangan, semua ketua jabatan negeri dan persekutuan serta para petugas dan pihak yang terlibat menjayakan persidangan dan pembentangan Bajet 2014.





No comments: