Translate

Wednesday, January 29, 2014

PRK DUN KAJANG, SATU LAGI WAYANG PEMBANGKANG: SALLEH

KOTA KINABALU: Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah, Datuk Seri Dr Salleh Tun Said Keruak membidas Pakatan Pembangkang yang memperkotak-katikkan rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang dan menyifatkan peletakan jawatan wakil rakyat di kawasan tersebut sebagai satu lagi `wayang pembangkang'.
Ketika diminta mengulas mengenai peletakan jawatan Lee Chin Cheh sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kajang, beliau berkata apa yang berlaku itu sebenarnya adalah atas kehendak Anwar dan tindak-tanduk mereka dalam beberapa hari ini adalah lakonan semata-mata berdasarkan `skrip wayang' yang diarahkan oleh kepemimpinan Pakatan Pembangkang.
"Kita dapat melihat dengan jelas rentetan peristiwa ini sebagai satu wayang yang disusun skripnya... bermula dengan peletakan jawatan wakil rakyat, sehari kemudian segera diumumkan penamaan Anwar sebagai calon pilihan raya kecil (PRK) untuk mengisi kekosongan, kemudian sekutu pembangkang lain PAS dan DAP berpura-pura menghentam untuk menarik perhatian dan simpati," katanya.
Salleh berkata matlamat sebenar `wayang pembangkang' ini sebenarnya untuk kepentingan politik Anwar semata-mata yang mahukan kuasa.
"Setelah gagal dalam percubaannya ke Putrajaya, Anwar kini menuju ke kerusi Menteri Besar Selangor, setidak-tidaknya dia boleh menggunakan kuasa dan kedudukan di sana untuk survival politiknya," katanya, sambil menyatakan bahawa pertikaian mengenai isu pemecatan Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali sebagai ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) mempunyai pertalian dengan agenda Anwar menuju ke singgahsana kuasa di Selangor.
Beliau berkata yang menjadi mangsa adalah pengundi DUN Kajang sendiri di mana mandat mereka diperkotak-katikkan hanya semata-mata untuk memenuhi agenda dan selera politik seseorang.
Pada masa yang sama, katanya, tindakan itu juga bertujuan menutup kelemahan serta mengalihkan pelbagai isu yang dihadapi pembangkang, termasuk isu Anwar tidak dibenarkan memasuki Jepun baru-baru ini.
Menurutnya, perkembangan politik yang berlaku dalam pakatan pembangkang ini cukup jelas menunjukkan bahawa `Anwar itu adalah PKR, dan PKR itu adalah Anwar'.
Beliau berkata Anwar memperalatkan PKR sebagai batu loncatan mencapai cita-cita politik peribadinya.
Sehubungan itu, katanya, rakyat perlu diberi kefahaman mengenai cerita sebenar yang berlaku dalam pakatan pembangkang supaya mereka tidak mudah terjebak dengan permainan politik mereka.

No comments: