Translate

Sunday, February 16, 2014

AHLI UMNO PERLU SANGGUP BERKORBAN DEMI PARTI: SALLEH


KOTA BELUD: Semua ahli Umno perlu komited kepada perjuangan termasuk sanggup berkorban demi parti, kata Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah Datuk Seri Dr Salleh Tun Said Keruak.
Sehubungan itu, katanya,  semua ahli baru Umno akan diberi orientasi mengenai perjuangan parti supaya mereka memahami matlamat dan peranan masing-masing berada dalam parti.
"Mereka kena faham perjuangan Umno agar sanggup berkorban demi parti," katanya pada majlis menerima kemasukan 400 ahli baru Umno di Bahagian Kota Belud di sini kelmarin.
Salleh yang juga Ketua Umno Bahagian Kota Belud menegaskan parti akan terus unggul dan  relevan sepanjang masa sekiranya setiap ahli memahami serta mempraktikkan prinsip perjuangan sebenar.
Katanya, Umno memerlukan ahli yang jujur dan ikhlas dalam perjuangan dan bukan sekadar untuk mencari kedudukan dan kepentingan peribadi.
"Hal ini sering ditegaskan oleh pucuk pimpinan Umno kepada setiap ahli supaya parti ini kekal menjadi wadah perjuangan sejati, sebagaimana matlamat asal penubuhannya dahulu.
"Justeru kita berharap setiap ahli perlu melihat ke dalam diri sendiri serta merenung sejenak apakah sumbangan yang sudah diberikan kepada parti dan bukan bertanya apakah yang parti telah berikan kepada mereka," katanya.
Salleh turut menasihatkan ahli parti supaya mengetepikan amalan berpuak-puak, sebaliknya bersatu sebagai sebuah pasukan.
"Marilah kita bina sebuah pasukan, dan bukannya sebuah kumpulan supaya Umno terus kuat serta disegani rakan dan lawan," katanya merujuk keunggulan Umno sebagai tulang belakang Barisan Nasional (BN) di peringkat pusat dan negeri ini.

No comments: