Translate

Friday, February 28, 2014

EKONOMI MALAYSIA BERTAMBAH KUAT

Oleh Salleh Said Keruak

Pada suku keempat 2013, ekonomi Malaysia telah mencatat peningkatan dalam kadar pertumbuhan KDNK tahunan sebanyak 5.1%, iaitu yang terpantas dalam empat suku tahunan, melalui sokongan daripada permintaan sektor swasta dan peningkatan dalam nilai eksport. Secara perbandingan, kadar pertumbuhan KDNK Singapura bagi suku keempat 2013 adalah 0.3% sementara kadar pertumbuhan tahunannya adalah pada 6.1%.

Pertumbuhan penggunaan swasta kekal pada kadar tinggi dalam suku keempat walaupun kadar pengembangannya adalah sederhana iaitu hanya 7.3% berbanding 8.2% pada suku sebelumnya. Perbelanjaan seisi rumah juga terus disokong oleh keadaan guna tenaga yang stabil dan pertumbuhan gaji yang mapan terutamanya dalam sektor berorientasikan dalam negeri. Sementara pertumbuhan dalam penggunaan awam berada pada kadar sederhana iaitu 5.1%, mencerminkan perbelanjaan kerajaan yang lebih rendah untuk emolumen.

Pembentukan modal tetap kasar meningkat sebanyak 5.8%, didorong oleh perbelanjaan modal sektor swasta yang kukuh di tengah-tengah penguncupan dalam pertumbuhan pelaburan awam. Pertumbuhan pelaburan swasta meningkat kepada 16.5% disebabkan oleh perbelanjaan modal yang lebih tinggi dalam sektor perkhidmatan dan pembuatan. Pelaburan awam menurun sebanyak 2.7% mencerminkan kesederhanaan perbelanjaan modal oleh perusahaan awam di tengah-tengah penguncupan yang lebih kecil dalam perbelanjaan pembangunan Kerajaan Persekutuan.

Kedua-dua eksport dan import meningkat pada kadar yang lebih cepat (iaitu pada 2.9% dan 4.4%) di mana sebahagian besarnya masing-masing mencerminkan peningkatan dalam ekonomi global dan perkembangan dalam permintaan domestik yang mapan.

Bagi pelarasan bermusim mengikut suku ke suku tahunan, ekonomi telah meningkat 2.1%. Bagi tahun 2013, KDNK berkembang sebanyak 4.7 %.

Pada 2003, semasa Tun Abdullah Ahmad Badawi mengambil alih jawatan Perdana Menteri, kadar pertumbuhan KDNK Malaysia hanya lebih sedikit daripada 6%. Apabila Tun Abdullah bersara, kadar pertumbuhan KDNK adalah pada tahap negatif atau minus 6%.

Namun pada 2010, kurang daripada setahun selepas Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil alih sebagai Perdana Menteri, kadar pertumbuhan KDNK Malaysia telah melonjak kepada lebih daripada 10%. Pada tahun 2011 ia stabil pada kadar 5% , sehinggalah sekarang.

Pihak pembangkang dan peramal-peramal malapetaka tidak putus-putus menguar-uarkan kepada rakyat Malaysia bahawa negara ini akan bankrap. Statistik, bagaimanapun, membuktikan sebaliknya.

No comments: