Translate

Thursday, February 20, 2014

ELOK BN JANGAN TANDING DI KAJANG


Oleh SALLEH SAID KERUAK

MAKIN hangat perbincangan mengenai PRK Kajang. Walaupun penamaan calon dan pengundian masih jauh, tapi ceritanya sungguh panas. Suasana seolah-olah seperti kempen sudah bermula.
Sebelum melihat Kajang jauh ke hadapan, kita kena tengok cerita yang melatari PRK ini.  Jelas bahawa ia adalah permainan dan sandiwara politik semata-mata. Lakonan wayang politik Pakatan Rakyat, didalangi Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan diarahkan oleh Anwar Ibrahim.
Umum mengetahui bahawa Pakatan Rakyat dan PKR adalah Anwar Ibrahim dan Anwar Ibrahim adalah Pakatan Rakyat dan PKR. Sebab itu, wakil rakyat Kajang, Lee Chin Cheh, tidak ada pilihan kecuali tunduk pada arahan untuk mengosongkan kerusinya apabila diminta oleh Anwar.
Sehari selepas Lee membuat pengumuman itu pada 27Januari lepas, Anwar Ibrahim serta-merta dinamakan sebagai calon di situ.
Secara peribadi, saya berpandangan Barisan Nasional (BN) perlu berhati-hati dalam menghadapi senario di Kajang dan jangan terperangkap dengan permainan politik Anwar.
Bagi saya, BN perlu menimbang untuk tidak meletakkan calon di Kajang.  Kerana PRK ini pada realitinya diadakan adalah untuk memenuhi nafsu politik Anwar. Jika terikut-ikut rentak pembangkang, kita khuatir ia  bukan sekadar membuang masa, sumber dan tenaga, tapi juga kita diheret dalam perang politiking yang tidak menguntungkan.
Oleh kerana Kajang dikatakan kawasan MCA, kita berpandangan bahawa MCA perlu fokus kepada usaha memperkukuhkan parti di bawah kepimpinan baru dan memberi tumpuan persediaan menghadapi PRU akan datang.
Bagi saya, Kajang bukan menjadi petunjuk kepada sokongan pengundi keseluruhannya. Rakyat yang baru saja selesai dengan PRU-13 sudah bosan dengan politiking yang berterusan.
Oleh yang demikian, adalah lebih elok dan memanfaatkan jika kita tumpukan kepada usaha membantu meringankan beban rakyat dan menyusun struktur ekonomi negara demi kepentingan rakyat.
Pada pandangan saya secara peribadi, biarlah Pakatan Rakyat terus bermain dengan politik mereka,  sementara BN terus berkhidmat pada negara dan membela nasib rakyat.
Barangkali BN boleh memikir untuk menyertai pilihan raya jika tidak dapat dielakkan dan ada keperluan dengan mengambil kira situasi dan senario politik secara menyeluruh.
Saya juga berpandangan bahawa matlamat Anwar bertanding di Kajang semata-mata untuk mengejar impian politik bagi melebarkan kuasa. Namun, perlu diingat bahawa apapun pertimbangan, keadaan akan menentukan kelak. Lagi pun, soal jawatan Menteri Besar Selangor yang diimpikannya itu adalah hak mutlak Sultan membuat pelantikan dan terserah kepada Baginda  menentukannya.
Saya rasa Anwar akan terperangkap dengan permainan politiknya sendiri kerana rakyat akan menilai kepimpinan beliau yang hanya pentingkan jawatan.
Saya juga ingin tegaskan di sini, bahawa sekiranya BN tidak bertanding di Kajang, ia bukan bererti kita gentar dan tidak yakin. Tapi ia untuk menunjukkan bahawa parti kita berprinsip, tidak gila berpolitik  tapi mahu berkhidmat kepada rakyat.
Begitupun, sekiranya BN mengambil pendirian ada keperluan untuk bertanding dalam mana-mana pilihan raya, seluruh jentera BN perlu akur dan bekerja sebagai satu pasukan  demi untuk mendapat kemenangan.
Catatan peribadi saya ini bukan mewakili parti, tetapi sekadar pandangan menyegarkan minda untuk difikirkan bersama.

No comments: