Translate

Sunday, February 16, 2014

GST UNTUK KEPENTINGAN MASA DEPAN RAKYAT DAN NEGARA: SALLEH



KOTA BELUD: Pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) adalah inisiatif Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memastikan penyusunan struktur ekonomi memanfaatkan rakyat dan negara pada masa depan, kata Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Seri Dr Salleh Tun Said Keruak.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan rakyat supaya sentiasa waspada dengan cubaan pihak-pihak tertentu mempolitikkan isu GST untuk kepentingan mereka.
"Perdana Menteri mahu menentukan agar penyusunan struktur ekonomi auntuk kepentingan masa depan negara. Kerajaan beliau membuat tindakan demi negara dan rakyat," katanya ketika berucap merasmikan Majlis Taklimat GST dan Isu Kenaikan Harga Barang di Dewan Masyarakat di sini kelmarin.
Hadir sama Pegawai Daerah Kota Belud, Gari Itam.
Pelaksanaan GST diumumkan ketika pembentangan Bajet 2014 pada Oktober tahun lalu, dan akan mula dikuatkuasakan pada 1 April 2015.
Salleh yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah berkata GST adalah satu keperluan ekonomi yang tidak dapat dielakkan dan sebenarnya untuk kebaikan jangka panjang.
"GST adalah kaedah penyelesaian sumber yang paling berkesan dan berdaya tahan terhadap situasi  turun naik ekonomi global. 
"Ekonomi digerakkan sendiri oleh masyarakat peniaga melalui penawaran. GST adalah saluran serta kaedah komunikasi antara pengguna, peniaga dan kerajaan akan terdorong untuk menjadi lebih efektif, telus, efisien dan mesra," katanya.
Pada masa sama, katanya kerajaan turut memberi insentif khas menghadapi rasionalisasi dan pelaksanaan GST seperti diumumkan kerajaan sebelum ini.
Menurutnya, kalaupun ada inflasi hasil pelaksanaan GST, ia hanya bersifat 'one off' atau hanya sekali pada masa awal pelaksanaannya. 
"Reaksi kejutan pasaran adalah perkara biasa, dan akan kembali selesa dan stabil apabila sudah ada penyesuaian. Ini dapat dilihat  di beberapa negara yang mengalaminya pada tempoh awal pelaksanaan," katanya.

No comments: