Translate

Friday, February 21, 2014

PRK KAJANG: BERPADU USAHA JAYAKAN KEMENANGAN BN


Oleh SALLEH SAID KERUAK

HARI ini Barisan Nasional (BN) menamakan Naib Presiden MCA Datin Paduka Chew Mei Fun sebagai calon bagi pilihan raya kecil (PRK) Dewan
Undangan Negeri (DUN) Kajang pada 23 Mac depan. Ia menamatkan spekulasi, andaian dan ketidaktentuan sama ada perlu atau tidak bertanding dalam di Kajang.
Seperti pandangan saya sebelum ini, sekiranya BN mengambil pendirian dan memutuskan untuk bertanding, maka seluruh jentera BN perlu akur dan bekerja sebagai satu pasukan  demi untuk mendapat kemenangan.
Inilah juga yang diharapkan oleh Timbalan  Pengerusi BN Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan nama Chew sebagai calon di Kajang, dalam satu sidang media di Menara Dato Onn, Kuala Lumpur petang kelmarin.
Beliau menjelaskan bahawa keputusan bertanding di Kajang merupakan satu ruang dan peluang BN menawarkan khidmat kepada pengundi untuk membuat pemilihan yang bijak.
"BN berjanji sekiranya (Chew) Mei Fun dipilih sebagai Ahli DUN di Kajang, dia akan memberi tumpuan sepenuh masa untuk bela rakyat di Kajang, tidak kira kaum
dan bangsa. Ini adalah tradisi BN untuk membela rakyat dan perkhidmatan sepanjang masa. Saya berharap dengan pengumuman hari ini, pengundi yang ada di Kajang akan memberikan sokongan sepenuhnya," kata Timbalan Perdana Menteri.
Bagi saya, penyertaan dalam PRK Kajang membawa signifikan politik, apatah lagi dengan mengambil kira kemelut yang dihadapi oleh Pakatan Rakyat mutakhir ini.
Banyak isu tempatan di Selangor, khususnya Kajang lantang disuarakan, yang membayangkan ada suara kebangkitan rakyat untuk melakukan perubahan dalam iklim politik negeri tersebut.
Begitu pun, cabaran dan laluan BN di Kajang sememangnya tidak semudah yang dibayangkan, apatah lagi ia berada di negeri dikuasai pembangkang.
Namun kemenangan bukanlah sesuatu yang mustahil bagi BN kerana keupayaan dan kemampuan menerajui pentadbiran dan pemerintahan sudah terbukti selama ini.
Hakikat ini diperkuatkan lagi dengan ketokohan calon BN, sebagaimana disebut oleh Tan Sri Muhyiddin, yang menyifatkannya sebagai calon tepat untuk memberikan saingan kepada pembangkang.
"Calon BN yang dipilih ini, saya kira berwibawa, berpengalaman, (dan) pernah berada dalam kerajaan, (serta) menjawat jawatan sebagai naib presiden MCA,"
demikian kata Timbalan Perdana Menteri.
Dengan pengumuman itu, kini adalah masa bagi semua parti komponen BN mengatur gerak kerja untuk menghadapi persaingan politik di Kajang yang akan bermula dalam tempoh terdekat ini.
Khususnya bagi MCA, PRK Kajang adalah cabaran penting pasca PRU-13. Oleh yang demikian, jika ingin mencapai kemenangan seperti yang diharapkan oleh kepemimpinan BN, maka MCA kena memastikan kemampuan meraih undi daripada pengundi Cina.

No comments: