Translate

Sunday, February 16, 2014

SALLEH BIDAS PEMBANGKANG DAKWA KONON MALAYSIA AKAN MUFLIS



KOTA BELUD: Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah Datuk Seri Dr Salleh Tun Said Keruak membidas pembangkang yang menuduh kononnya Malaysia sedang menuju kebankrapan hanya semata-mata untuk cuba meraih simpati politik.
Beliau menegaskan kempen Pakatan Rakyat memburuk-burukkan kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak adalah retorik politik semata-mata.
Justeru, katanya, kempen pembangkang kononnya Najib perlu digulingkan demi menyelamatkan Malaysia adalah sesuatu yang tidak berasas.
"Semua kempen pembangkang ini adalah retorik politik semata-mata dan retorik tidak disokong oleh data. Malah jika diamati statistik sebenar, anda akan dapati bahawa apa yang berlaku adalah sebaliknya daripada apa yang diberitahu oleh pembangkang kepada kita," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas meraikan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Shafie Apdal dan Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Datuk Amar Mohd Asfia pada jamuan tengah hari, di Rumah Rehat di sini hari ini.
Salleh yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah menegaskan semua negara mempunyai hutang, waima negara yang paling kaya di dunia sekalipun. 
Bagaimanapun, katanya, apa yang lebih penting adalah nisbah hutang kepada KDNK, dan nisbah tersebut bagi Malaysia adalah lebih rendah berbanding Singapura.
"Eksport Malaysia kian meningkat sejak 2009 malahan kini masih lebih tinggi daripada import. Sementara itu, hutang luar negara pula adalah separuh daripada nilainya jika dibandingkan sepuluh tahun yang lalu.
 "Kita diberitahu bahawa nilai ringgit telah menurun berbanding mata wang lain. Mungkin itu benar, tetapi penurunan kadar pertukaran tidak semestinya disebabkan ekonomi yang lemah kerana ia tertakluk kepada spekulator yang melakukan dagangan (atau istilah lebih tepat, perjudian) mata wang persis seperti yang dilakukan dalam pasaran saham dan kasino," katanya.
Beliau berkata pada realitinya, banyak negara telah mengalami penurunan dari segi eksport kerana nilai mata wang mereka terlalu tinggi. 
Katanya, negara-negara berkenaan lebih rela nilai mata wang mereka turun supaya mereka dapat melihat nilai eksport mereka meningkat.
"Kita memerlukan setahun lagi untuk menyaksikan kesan positif daripada penurunan nilai ringgit ini. Bagaimanapun, kebanyakan ahli ekonomi akan memberitahu anda bahawa nilai ringgit yang lebih rendah hanya akan memanfaatkan nilai eksport Malaysia kerana barangan Malaysia kini akan lebih berdaya saing.
"Negara-negara Eropah telah memindahkan sektor pembuatan mereka ke negara-negara yang lebih murah kerana faktor ini dan juga kerana kos pembuatan yang tinggi di tempat sendiri. 
"Sedangkan Australia juga akan menghentikan operasi kilang pembuatan keretanya dan tidak akan ada lagi sebarang kereta yang dikilangkan di Australia dalam beberapa tahun akan datang. Dan negara-negara yang akan mendapat manfaat adalah negara-negara yang menawarkan kos lebih rendah," katanya.
Salleh yang juga Ketua Umno Bahagian Kota Belud berkata terdapat segelintir rakyat Malaysia yang tidak memahami bagaimana ekonomi berfungsi lantas mereka percaya dengan propaganda pembangkang. 
Katanya, banyak negara akan sangat berpuas hati jika mereka dapat menikmati pertumbuhan 1% atau 2% berbanding pertumbuhan negatif. 
Namun, katanya, di sebalik segala kesuraman dan musibah, Malaysia masih akan menyaksikan pertumbuhan 5% tahun ini.
"Malaysia akan dicemburui banyak negara-negara industri lain yang rata-rata sedang menghadapi kesukaran walaupun sekadar untuk menyediakan pekerjaan buat rakyat mereka," katanya.

No comments: