Translate

Thursday, February 13, 2014

TANGKIS DAKYAH DAN MANIPULASI PEMBANGKANG: SALLEH


KOTA KINABALU: Barisan pimpinan Pergerakan Pemuda Umno diminta menjelaskan kepada rakyat di peringkat akar-umbi mengenai hak dan kepentingan Sabah yang terkandung dalam perlembagaan bagi mengelak mereka dikelirukan pihak tidak bertanggungjawab.
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah Datuk Seri Dr Salleh Tun Said Keruak ketika memberi peringatan itu berkata, langkah itu penting memandangkan ada pihak-pihak tertentu cuba memutarbelitkan isu hak dan kepentingan Sabah untuk mencari `political mileage.'
Beliau menegaskan Pergerakan Pemuda Umno perlu bersikap proaktif dalam mempertahankan hak-hak Sabah sebagaimana termaktub ketika pembentukan Malaysia dahulu.
"Pergerakan Pemuda Umno perlu dilihat berprinsip teguh dalam menghadapi isu ini kerana banyak pihak cuba memanipulasi soal hak Sabah ini bagi kepentingan politik mereka. Bukan bermaksud bersikap konfrantasi, tapi kita kena manfaatkan Umno sebagai parti nasional untuk mempertahankannya," katanya.
Beliau berkata demikian kepada rombongan Pergerakan Pemuda Umno Sabah diketuai ketuanya, Mohd Yamani Hafiz Datuk Musa di sini kelmarin.
Sebelum ini, pelbagai pihak membangkitkan isu `Sabah for Sabahan' dan isu Perjanjian 20 Perkara untuk mempengaruhi pemikiran dan sentimen rakyat Sabah.
Salleh yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah berkata Pergerakan Pemuda Umno perlu sentiasa berada di hadapan dalam menangkis dakyah politik yang dimainkan pembangkang.
"Peranan Pergerakan Pemuda Umno amat penting dalam menghadapi cabaran serta isu-isu semasa demi kelangsungan dan survival perjuangan," katanya, sambil menyatakan Pemuda perlu menjadi jambatan antara rakyat dengan kerajaan.
Menurutnya, sebagai anak muda dan kumpulan paling ramai dalam parti, pimpinan Pemuda tentunya lebih memahami denyutan nadi rakyat di peringkat akar-umbi.
Dalam pada itu, Salleh memuji kepemimpinan Yamani Hafez mengemudi Pemuda Umno Sabah dengan mengatur pelbagai program turun padang mendekati rakyat di peringkat akar-umbi.
"Kita optimis dengan kewibawaan pimpinan Pemuda Umno dan yakin ia akan memberi manfaat kepada parti dalam mengharungi pelbagai cabaran di negeri ini," katanya, sambil mengingatkan mereka supaya mendampingi rakyat secara berterusan dan bukannya bermusim.

No comments: