Translate

Wednesday, March 19, 2014

JANGAN POLITIKKAN MISTERI KEHILANGAN MH370, UTAMAKAN KEPENTINGAN NEGARA

Oleh SALLEH SAID KERUAK

Berat mata memandang berat lagi bahu memikul.  Dan bahu yang memikul tugas ini adalah kerajaan, sedangkan mata yang hanya memandang itu adalah barisan pembangkang.

Di pihak kerajaan, kita telah melakukan segala yang termampu dan sekiranya ada maklumat yang tidak didedahkan atau disebarkan kepada umum, pasti ada alasan yang kukuh untuk kerajaan berbuat demikian.

 Sejak dari hari pertama MH370 gagal dikesan, kerajaan telah sedaya upaya menggunakan segala teknologi dan kepakaran yang ada untuk mencari petunjuk bagi mengetahui apa sebenarnya yang berlaku. 

Kerajaan juga dengan tangan terbuka menerima serta berkongsi sebanyak mungkin maklumat yang perlu dengan negera-negara yang tampil untuk membantu dalam usaha mencari pesawat milik Penerbangan Malaysia ini.

Meski pun ada yang mempersoal kedudukan keselamatan negara dengan keterbukaan yang sebegitu, keperluan untuk menjejaki MH370 serta semua krew dan penumpang dalam penerbangan tersebut adalah lebih penting.

Walau dengan yang demikian, segala usaha yang diambil oleh pihak kerajaan terus dikritik dan setiap langkah diperlekeh oleh pembangkang. Pelbagai teori, spekulasi dan fitnah dihebahkan melalui  media elektronik dan laman sesawang tanpa memikirkan kesan atau natijahnya.

Seperti sewaktu insiden Lahad Datu, pihak pembangkang tidak mahu tertinggal sesaat pun untuk menghentam kerajaan dan tatkala seluruh negara berdoa dan berharap agar mereka yang terlibat selamat kembali, pembangkang melihat insiden MH370 ini sebagai sesuatu yang perlu diraikan dan merebut peluang ini untuk menyelar kerajaan.

Pujian yang diberikan oleh negara-negara luar yang ikut serta dalam misi pencarian MH370 atas sikap professional dan juga dedikasi kerajaan dalam menangani krisis ini ditenggelamkan oleh kritikan demi kritikan yang disebarkan oleh pembangkang.

Portal-portal berita pro-Pakatan seperti Malaysiakini memilih untuk terus menjadi pencerna spekulasi tanpa mengambil kira kedukaan yang dihadapi oleh mereka yang terlibat secara langsung dengan kehilangan MH370.

 Dari satu penipuan ke satu penipuan yang lain, portal-portal ini melaporkan apa yang pada mereka adalah kepincangan dari pihak kerajaan dalam menangani krisis ini.

Tidakkah pembangkang sedar akan kenyataan bahawa negara tidak berseorangan dalam misi mencari ini, 15 buah negara telah turut serta bagi memastikan ianya berjalan lancar.

Kehilangan MH370 bukan sahaja memberi kesan terhadap Malaysia, malah seluruh dunia. Tindakan portal-portal pro-Pakatan yang berterusan mengkritik kerajaan hanya membuktikan kurangnya semangat patriotisme serta sikap tidak ambil peduli mereka bukan sahaja kepada mangsa yang terlibat, malah kepada imej negara.

Sekali pun ada agenda yang perlu disampaikan, ini bukanlah masanya. Adakah perlu bagi menyemai benih kebencian serta memburuk-burukkan kerajaan ketika sepatutnya semua bersama mendoakan yang terbaik untuk MH370. 

Adakah agenda portal-portal ini adalah untuk memecah-belahkan Malaysia serta mencipta rakyat yang tidak punya rasa simpati dan semangat patriotisme? Adakah ini sumbangan yang mereka mahu beri pada negara?
Lucu apabila memikirkan bahawa portal-portal ini diselenggara oleh individu-individu sama yang melaung slogan tiada kebebasan media di Malaysia. Sekiranya melihat pada laporan-laporan yang dimuatnaik dalam portal mereka, nyata kebebasan ini telah disalah gunakan.

Berhentilah mempolitikkan semua isu yang tidak langsung berkait dengan politik. Berhentilah sebelum ada jiwa-jiwa muda yang akan menjadi taksub dengan semua pembohongan dan penipuan yang hanya akan menjadikan negara porak peranda. Berhentilah.

No comments: