Translate

Sunday, March 30, 2014

KEMENANGAN BUAT YB, `ENDORSEMENT' UNTUK ADENAN

Oleh SALLEH SAID KERUAK

TAHNIAH YB. Barangkali inilah ungkapan paling singkat, mudah dan tepat kepada Yussibnosh Balo atas kemenangan besar di Balingian -- Yang Berhormat (YB) Yussibnosh Balo (YB).

Barisan Nasional (BN) menang besar dalam PRK kawasan itu. Suatu kemenangan bersejarah dengan peningkatan majoriti, hampir-hampir menghilangkan deposit parti lawan.

Yussibnosh Balo, 48, yang mengibarkan bendera BN, menang dengan majoriti 6,911 undi. Beliau memperoleh 8,194 undi, berbanding calon PKR Abdul Jalil Bujang, 55, yang mendapat 1,283 undi. Mengikut analisis, jika kurang 76 undi lagi diperolehi oleh PKR, ia akan kehilangan deposit.

Apapun, keputusan PRK DUN Balingian membawa dua makna besar dalam konteks politik kepartian di Sarawak dan faktor kepemimpinan BN.

Pertama, ia mencerminkan `endorsement' rakyat Sarawak terhadap pimpinan Ketua Menteri baru Sarawak, Tan Sri Adenan Satem, yang lantang bersuara mempertahankan hak-hak Sarawak, berkaitan isu royalti minyak, kuasa imigresen dan penggunaan kalimah Allah serta penerusan agenda politik pembangunan.

Jelas sekali, tindakan serta pendekatan Adenan ke arah mempertahankan kestabilan dan perpaduan dalam kalangan orang Sarawak diterima oleh majoriti rakyat negeri itu.

Ia juga memancarkan sokongan kepada langkah Adenan meneruskan kesinambungan perjuangan daripada legasi bekas Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Pehin Seri Abdul Taib Mahmud.

Kedua, kemenangan BN itu juga merupakan pengiktirafan kepada kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bersama gagasan 1Malaysia yang dipeloporinya untuk membawa kesejahteraan kepada rakyat.

Rakyat Sarawak, khususnya di Balingian, mengharapkan pembelaan serta penerusan rentak pembangunan untuk dinikmati generasi mendatang.

Lebih jauh dari itu, undian yang diberi penduduk Balingian adalah manifestasi penolakan terhadap politik ekstrem pembangkang yang ditakuti memecahbelahkan kesatuan rakyat Sarawak yang unik sejak sekian lama.

Sarawak dan Sabah telah menjadi simbol keakraban 1Malaysia sejak dulu, kini dan selamanya. Insya-Allah. 

Yussibnosh Balo, sebagai Yang Berhormat yang baru, adalah gambaran jelas keunikan dalam kepelbagaian politik Sarawak. Berketurunan Melanau dan beragama Kristian, beliau diterima oleh rakyat berbilang kaum di kawasan itu, termasuk majoriti pengundi Cina.

Balingian dahulu diwakili Pehin Seri Taib. Pada 2011, bekas Ketua Menteri Sarawak itu  memperoleh 6,210 undi untuk memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti 5,154 undi, dalam pertandingan tiga penjuru, menewaskan Suriati Abdullah daripada PKR yang memperoleh 871 undi, dan calon Bebas Datuk Salleh Jafaruddin 1,056 undi.

Undi yang diperoleh Yussibnosh kali ini bertambah sebanyak 1,984 berbanding jumlah undi yang diperoleh Taib, tiga tahun lalu.

PRK DUN Balingian diadakan ekoran peletakan jawatan Pehin Seri Taib sebagai Anggota Dewan Undangan Negeri Balingian, dan beliau kemudiannya dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Sarawak.

Saya sependapat dengan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa kemenangan BN di Balingian mencerminkan pengiktirafan rakyat terhadap Perdana Menteri dan Ketua Menteri Sarawak, selain memancarkan kehendak rakyat di Balingian untuk BN terus membela nasib mereka. 

Memang jelas bahawa kemenangan itu petanda cukup positif tentang pengharapan rakyat di Balingian dan tanda sokongan rakyat Sarawak kepada Barisan Nasional. Lebih signifikan kerana BN berjaya mencatat majoriti terbesar di kawasan itu berbanding dengan pencapaian dalam pilihan raya-pilihan raya sebelum ini.

Kini amanah besar menanti untuk digalas oleh YB baru, bagi menunaikan setiap yang dijanjikan sepanjang kempen berlangsung dahulu.

No comments: