Translate

Monday, March 24, 2014

`LANGKAH KAJANG' UNTUK MENGANGKAT WAN AZIZAH?

Oleh SALLEH SAID KERUAK

Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang telahpun diketahui. Masing-masing membuat teori dan andaian, analisa dan intepretasi -- tentang faktor kemenangan dan punca kekalahan.

Pada saya, walau apapun rumusan yang diperolehi, hakikatnya yang menang tetap menang dan yang kalah tetap kalah. Itulah sistem demokrasi pengundian yang kita pilih di negara ini. Soal majoriti dan peratusan mengundi bukan soal pokok. Yang dapat lebih undi dalam persaingan adalah menang.

Dalam PRK itu, Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengekalkan kerusi berkenaan apabila calonnya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, 62, menang dengan majoriti 5,379 undi. Presiden PKR itu memperoleh 16,741 undi, manakala calon Barisan Nasional (BN) Datin Paduka Chew Mei Fun, 50, mendapat 11,362 undi.

Sebenarnya, PRK Kajang adalah untuk memenuhi nafsu politik Anwar Ibrahim semata-mata. Jalan ceritanya cukup jelas. PRK diadakan selepas penyandangnya, Lee Chin Cheh daripada PKR meletakkan jawatan secara mengejut pada 27 Jan lepas, bagi memberi peluang kepada Anwar bertanding.

Namun, Anwar terpaksa digantikan oleh Dr Wan Azizah selepas tidak layak bertanding susulan keputusan Mahkamah Rayuan menjatuhi hukuman penjara lima tahun atas kesalahan meliwat.

Susulan kegagalannya bertanding, dia mengetengah isterinya menjadi `next leader of the nation'.

Anwar sedar masalah peribadinya amat rumit dan kemungkinan untuk dipenjara bukan lagi andaian. Kajang bukan lagi soal penganti Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor, tapi sebagai platform untuk `promote' Azizah sebagai `next' PM.

Soal isteri jadi `leader' berlaku di banyak tempat. Contoh terdekat, negara jiran Filipina, Corazon Aquino yang diangkat selepas pemergian suami dalam situasi yang berkait politik.

Lim Kit Siang awal-awal lagi mempelopori agenda ini. Pakatan sedar, Anwar mungkin tidak akan memimpin mereka menghadapi pilihan raya akan datang dan kena siap sedia mengetengahkan calon yang sesuai.

Sudah tentu kedudukan Wan Azizah sebagai Presiden PKR dan sekarang Adun adalah calon yang `favourite' untuk diketengahkan. Strategi mereka ialah apabila Anwar dipenjarakan, mereka mahu guna isu simpati. Sebenarnya strategi ini pernah mereka guna semasa Azizah jadi Ahli Parlimen Permatang Pauh, cuma tidak berkesan ketika itu. Kali ini mereka tiada pilihan dan cuba lagi mengambil kira senario politik baru dengan cabaran ekonomi yang hebat dan kehadiran ramai pengundi muda yang majoriti masih dianggap atas pagar.

Bagi PKR, kejayaan Wan Azizah menempatkan diri dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor dikatakan petanda kemampuannya meneruskan agenda 'Langkah Kajang' yang dirancang parti itu.

Sebab itu, Azmin Ali sendiri beriya-iya menyatakan bahawa dengan kemenangan itu, maka agenda menerusi rancangan 'langkah Kajang' akan diteruskan seperti yang dirancang sebelum ini.

Dalam pada itu, BN perlu melihat suasana politik seperti ini dan terus menyusun strategi dengan pendekatan baru untuk meningkatkan sokongan. BN kena bijak mengatur langkah dan masyarakat umum harus melihat tidak ada alternatif kepada BN untuk menjadi parti pemerintah.

BN tidak boleh lagi mengikut rentak pembangkang. Tindakan untuk menjawab `umpan pembangkang' tidak sesuai kerana ia hanya akan menjerat kita. Sebaliknya, apa yang perlu bagi BN adalah menetapkan agenda dan visi yang jelas dan difahami serta diterima majoriti masyarakat. BN juga bertanggungjawab mendedahkan kelemahan dan kepincangan gabungan pakatan. Umum juga harus melihat BN tidak terlalu personal dalam pendekatan politiknya.

BN kena buktikan ia parti yang releven dan pemimpin-pemimpinnya ada kredibiliti serta tidak dilihat sebagai `tin kosong' dan berlagak. Saya yakin Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah membaca suasana ini dan mampu untuk menanganinya demi kelangsungan kestabilan negara.

Saya optimis bahawa BN masih menjadi pilihan majoriti rakyat. Apa yang penting dilakukan, kita kena atasi permainan politik dalaman, dan pada masa sama meningkatkan usaha mengurus ekonomi rakyat. Itu lebih penting daripada pertimbangan menyerang lawan dari hadapan.

No comments: