Translate

Friday, March 28, 2014

MENYEKAT TIDAK MENYELESAI MASALAH

Oleh SALLEH SAID KERUAK

SAYA melayari internet setiap kali ada kesempatan. Membaca portal berita, facebook, twitter dan juga Youtube. Dari hujung jari, kita dapat membaca perkembangan berlaku di seluruh dunia secara `real time'. 

Dua hari lalu, banyak cerita di dunia siber mengenai keputusan pihak berkuasa Turki mengambil langkah menyekat penggunaan laman web perkongsian video YouTube selepas tindakan yang sama dilakukan ke atas laman sosial Twitter.

Tetapi tindakan itu mendapat reaksi marah di negara berkenaan di mana media sosial diguna secara meluas di Turki. Malah, ia turut mendapat kritikan masyarakat antarabangsa.

Sebagai pengguna tegar internet, saya berpandangan bahawa sekatan atau halangan sedemikian bukanlah jalan penyelesaian masalah. Sebaliknya, ia akan menambahkan lagi masalah selain menunjukkan ketidakpekaan terhadap perkembangan teknologi dunia.

Ini kerana dalam dunia moden kini, kita tidak ada pilihan melainkan mengikuti perkembangannya. Dunia sudah terbuka dan boleh dicapai dari mana-mana penjuru benua. Macamana kita sekat pun, akan ada saja cara orang mencari dan mendapatkan maklumat.

Yang penting dalam konteks ini, kita kena `educate' masyarakat kita untuk menapis dan membezakan antara berita yang benar dan salah, antara yang sahih dan dangkal. Masyarakat perlu dididik supaya rajin membaca. Menerusi pembacaan secara meluas, kita akan menjadi masyarakat yang bijak membuat penilaian serta cekap membuat perbandingan.

Yang jelas, sekatan tidak menyelesaikan masalah. Sebaliknya, kita kena menguasai rangkaian baru ini, sebagai sumber maklumat. Apabila maklumat diperolehi, kita boleh mengetahui sesuatu perkara dari pelbagai sudut, kemudian menemui fakta sebenar. Dengan fakta itulah, kita kena jelaskan kepada masyarakat supaya akhirnya mereka memahami dan kebenaran akan muncul.

Dalam perkembangan teknologi dunia kini, internet telah menjadi sebahagian daripada kehidupan. Selain sebagai wadah maklumat, ia juga membawa bersama kemudahan dalam pelbagai urusan harian. Misalannya kini semakin ramai orang berurus-niaga secara `on-line' pelbagai barangan dan produk, daripada yang kecil hingga kepada yang besar. Maknanya, dunia kini didiami generasi IT, justeru teknologi maklumat ini tidak lagi boleh dipisahkan dalam kehidupan.

No comments: