Translate

Sunday, March 16, 2014

PRK BALINGIAN: PANCARAN UNIKNYA POLITIK SARAWAK

Oleh SALLEH SAID KERUAK

Calon Barisan Nasional dalam PRK Balingian diumumkan pada Sabtu.  Bekas Pegawai Daerah Dalat, Yossibnosh Balo dinamakan mewakili BN dalam pilihan raya yang dijadual 29 Mac ini.

Pengumuman nama calon berkenaan dibuat Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu majlis di Dewan Suarah Mesra Mukah.

Seperti PRK Kajang, saya juga mengikuti perkembangan PRK Balingian ini melalui pelbagai wadah. Selain media sosial, saya juga mendapat maklum balas daripada rakan-rakan seperjuangan di Sarawak yang sentiasa `up-date' perkembangannya.  Maka pengumuman mengenai calon Balingian ini dapat saya ikuti secara `real time'.

Sesuatu yang menarik mengenai calon BN ini. Yossibnosh merupakan anak jati Mukah berasal dari Kampung Tellian Tengah, berbangsa Melanau, beragama Kristian dan amat dikenali masyarakat setempat.

Menurut Muhyiddin, Yossibnosh, 48, dipilih mewakili BN bertanding di kerusi yang dikosongkan oleh bekas Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud kerana beliau merupakan calon terbaik berdasarkan kepada kelayakan dimiliki.

"Beliau orang yang layak (wakili BN) dan beliau mampu mewakili rakyat di Balingian. BN percaya di atas kemampuan dan sifat beliau yang begitu baik hati, banyak pengalaman, pemurah dan peramah.

"Saya fikir inilah calon terbaik yang dipilih oleh pucuk pimpinan dan saya mendoakan beliau mencapai kejayaan cemerlang dalam pilihan raya ini," demikian kata Muhyiddin.

Kerusi DUN Balingian yang disandang Abdul Taib kosong selepas beliau secara rasmi melepaskan jawatan Ketua Menteri dan dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri pada 28 Februari lalu.

Justeru, PRK Balingian ini jelas memancarkan keunikan politik Sarawak sendiri. Lebih menarik, apabila Timbalan Perdana Menteri ceritakan mengenai persefahaman Islam Melanau dan Kristian Melanau, mengenai persefahaman mewakili kawasan tersebut. Ini jelas mempamerkan `high level of understanding' dalam soal perkongsian kuasa dan perpaduan rakyat

Bagi saya, penampilan Yossibnosh di Balingian ini amat tepat sekali. Sebagai bekas pentadbir setempat, dia sudah pasti dikenali ramai dalam kalangan penduduk yang berbagai latar kehidupan. Lebih penting, sebagai anak kampung, dia memahami denyut nadi masyarakat sekeliling yang diwakilinya.

Maka saya  yakin tiada masalah besar untuk BN menang di Balingian ini. Selain faktor calonnya popular, ditambah pula dengan kedudukan mantap BN Sarawak di bawah teraju Ketua Menteri yang baru, Tan Sri Adenan Satem, yang `berpengalaman besar, brilliant and cool.'

BN Sarawak ketika ini pada kedudukan cukup mantap. Kita melihat tahap permuafakatan cukup tinggi. Lihat saja proses peralihan kuasa baru-baru ini, cukup lancar dan teratur demi kestabilan dan manfaat ramai. Mereka melihat kepentingan Sarawak melebihi kepentingan kelompok dan diri. Inilah yang  dinamakan perjuangan Sarawak, selari dengan kehendak rakyat negeri itu.

Sebagai tanda komitmen negeri berjiran, esok saya menyertai Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Musa Hj Aman mengiringi calon BN di Balingian. Ia  tanda sokongan moral kita terhadap negeri jiran yang banyak persamaan politiknya, di mana pancaran keunikan ini tidak ada di Semenanjung.

No comments: