Translate

Sunday, March 2, 2014

PRK KAJANG: GUNA PENDEKATAN PROFESIONAL, BUKAN PERSONAL; BERSIKAP RASIONAL DAN JANGAN EMOSIONAL

Oleh SALLEH SAID KERUAK

BARISAN Nasional (BN) telah membuat keputusan untuk bertanding dalam PRK Kajang. MCA mewakili BN, mengetengahkan Naib Presidennya, Datin Paduka Chew Mei Fun.

Tidak seperti beberapa PRK sebelum ini, PRK Kajang mempunyai kelainan tersendiri. Ia diadakan untuk memenuhi agenda dan kepentingan politik, ciptaan Anwar Ibrahim.

Bagi BN, keputusan untuk bertanding sudah dibuat. Maka tugas kini, tentunya menyediakan jentera sebaik mungkin menjelang hari penamaan calon pada 11 Mac ini, disusuli kempen sebelum pengundian pada 23 Mac depan. Ia bagi mencapai matlamat, menentukan kemenangan.

Dan bagi mencapai kemenangan ini, kita kena susun strategi dengan tepat. Sasaran mestilah berdasarkan data yang ada. Penyokong-penyokong tegar kedua-dua parti, samada tua atau muda, lelaki atau wanita, tidak akan berubah sokongan hanya kerana calon. Mereka mengundi kerana parti.

Yang boleh menentukan kemenangan ialah mereka yang boleh terpengaruh dan diyakinkan dengan isu-isu terkini. 

Oleh yang demikian, BN kena meyakinkan pengundi-pengundi berkenaan tentang ketidakmampuan kerajaan Pakatan Rakyat mentadbir negeri, justeru kawasan Kajang perlu diwakili oleh BN bagi menyuarakan masalah mereka di Dewan Undangan Negeri (DUN) dan juga memohon Kerajaan Pusat membantu dalam hal pembangunan.

Kita jangan terlibat dalam pergolakan Parti Keadilan Rakyat (PKR). Pada kita, sama ada Anwar Ibrahim atau Azmin Ali atau Khalid Ibrahim, adalah musuh politik kita yang mahu menjatuhkan BN.

Dalam menghadapi persaingan di Kajang ini, kita harus menghadapinya dengan pendekatan profesional dan bukan personal. Maknanya, tidak perlu memberi peruntukan hanya untuk pilihan raya kecil seperti disebutkan oleh Naib PresidenUmno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Apa yang perlu dilakukan, kita kena kerja bersungguh-sungguh menyakinkan pengundi yang dianggap atas pagar untuk bersama-samakita. Itulah caranya.

Dalam mendepani cabaran ini juga, kita mesti bersikap rasional dan tidak emosional. Tidak boleh terbawa-bawa dengan sentimen bersifat personal kerana ia bukan cara dan budaya BN.

No comments: