Translate

Thursday, March 13, 2014

PRK KAJANG: ISU PEMBANGKANG JAUH MENYIMPANG

Oleh SALLEH SAID KERUAK

KEMPEN pembangkang dalam PRK Kajang sudah menyimpang. Isu yang dijaja bukan soal nasib rakyat, tapi masalah personal.
  Dalam ceramah kempennya, Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, lebih banyak bercerita mengenai kes mahkamah suaminya daripada memperkatakan masalah rakyat Kajang. 
   Dia bercerita tentang suaminya yang telah dihukum oleh mahkamah dan betapa mereka sekeluarga menjadi apa yang dianggapnya sebagai `mangsa politik' sehinggakan dia terlupa perjuangan politiknya untuk rakyat Kajang.
  Nyata Wan Azizah mendendangkan lagu lama yang pernah didendangkannya di Permatang Pauh. Isunya tidak relevan kepada pengundi setempat.
  Anwar Ibrahim telah didapati bersalah oleh mahkamah dan berhak  merayu. Ini sistem kehakiman kita. Kenapa pula pengundi Kajang diheret untuk menyelesaikan masalah dia. 
  PRK Kajang ini pun diadakan untuk memenuhi nafsu politik Anwar dan malangnya tidak kesampaian. 
Wan Azizah sepatutnya menerangkan perjuangan sebenarnya, bukan asyik meraih simpati. Tapi ini tidak dilakukannya. Kerana dia sendiri pun bertanding di situ hanya semata-mata memenuhi agenda yang ditetapkan suaminya. Dia hanyalah calon proksi, bukan calon pilihan pakatan pembangkang.
  Kajang perlukan seorang wakil yang ada pengalaman menyelesaikan masalah rakyat, sanggup mendekati rakyat, cergas berkhidmat, dedikasi dan punya integriti. Dan ini hanya boleh dilakukan oleh calon BN, Datin Paduka Chew Mei Fun.
  Kita yakin pengundi Kajang bijaksana membuat pilihan. Tahu menilai yang benar dan palsu. Pandai membezakan antara perjuangan sejati dan peribadi.
  Kes mahkamah itu bukan soal antara kerajaan dengan Anwar. Tapi ia antara Anwar dengan bekas pembantunya sendiri, Mohd. Saiful Bukhari Azlan. Sedangkan di Kajang, isunya adalah antara perjuangan BN dan pakatan pembangkang. Dua hal yang berbeza.
  PRK Kajang ini lebih kepada memenuhi nafsu dan cita-cita politik Anwar. Sebab itu, apabila dia tidak menjadi calon, dia meletakkan isterinya pula. Satu lagi bukti amalan nepotisme.
  Hakikatnya, pengundi Kajang kena hati-hati. Jangan tersilap dengan `Langkah Kajang' tapi perlu melihat jauh ke hadapan, saujana mata memandang.

No comments: