Translate

Tuesday, March 11, 2014

PRK KAJANG: KEMPEN MESTI BIJAK DAN SASARAN TEPAT

Oleh SALLEH SAID KERUAK

PERANG di Kajang sudah bermula. Dua wanita bersaing. Datin Paduka Chew Mei Fun mewakili Barisan Nasional (BN), ditentang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dari Parti Keadilan Rakyat (PKR).
  Persaingan satu lawan satu ini amat menarik dan pasti menjadi tumpuan. Menariknya kerana dua wanita yang bersaing ini mempunyai kapasiti dan personaliti tersendiri. Chew, 50, merupakan Naib Presiden MCA, manakala Wan Azizah, 61, pula Presiden PKR.
  Selain menarik kerana menyaksikan pertembungan dua wanita, Kajang juga merupakan pilihan raya kecil pertama (PRK) selepas PRU-13. Sudah pasti, ia dianggap penting bagi kedua-dua BN dan PKR. Dan penentunya terletak di hujung jari 39,278 pemilih berdaftar di situ.
  Saya mengikuti perkembangan di Kajang dari semasa ke semasa. Melalui pelbagai wadah alam maya, termasuk twitter dan warga netizen selain wadah konvensional seperti media arus perdana dan televisyen.
  Kerana kepelbagaian wadah ini, maka saya dapat menganalisa dan melihat Kajang dari pelbagai dimensi. Saya melihatnya dari kacamata hadapan. Saya juga melihatnya dari sisi lain.
  Chew yang diketengahkan BN dilihat sebagai `underdog' berbanding calon PKR. Kawasan tersebut dikatakan kubu pembangkang di negeri yang juga dikuasai pembangkang. Maknanya, PKR memiliki kelebihan berbanding BN.
  Begitu pun, ia tidak harus melemahkan jentera kempen BN. Sebaliknya, ia mesti dijadikan motivasi untuk mencapai kejayaan, atau setidak-tidaknya prestasi lebih baik daripada PRU-13 lepas.
  Kita melihat pemilihan Chew amat bertepatan, calon terbaik untuk mewakili rakyat Kajang. Bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu bukan saja berpengalaman luas dalam membantu dan menyelesaikan masalah rakyat, tetapi juga tegas berpegang pada prinsip perjuangannya.
  Chew mempunyai banyak kelebihan dari segi integriti dan pengalaman yang dimilikinya
  Tidak syak lagi, pemilihan beliau adalah satu keputusan tepat kerana beliau seorang yang ada kredibiliti, integriti dan pengalaman yang cukup luas.
  Justeru yang penting dalam kempen ini, gerakan mesti bijak dan sasaran tepat. Kerana BN juga mempunyai penyokong tegar di situ selain semakin ramai dikatakan berstatus atas pagar.
  Kalau dianalisa keputusan Kajang dalam PRU-13 pada 5 Mei tahun lalu, pembangkang memperolehi majoriti 6,824
undi dalam pertandingan enam penjuru, melibatkan calon BN, Berjasa dan tiga calon bebas.
  Dalam berhadapan PRK Kajang kali ini, BN harus menumpukan kepada pengundi atas pagar ini tanpa melupakan penyokong tegar. Pengundi atas pagar ini boleh menjadi faktor penentu kemenangan, apatah lagi dikatakan ramai yang dulu tegar bersama pembangkang sudah mulai jauh hati akibat pelbagai isu dalaman melanda PKR dan kemelut kepemimpinan kerajaan Selangor.
  Bagi jentera BN, usaha yang perlu dilakukan termasuk meyakinkan pengundi Kajang mengenai kebaikan BN serta komitmen membela nasib rakyat. Kita juga kena jelaskan serta terangkan perkara benar, termasuk perbalahan dan kepincangan kerajaan pembangkang, khususnya di Selangor.
  BN perlu berhati-hati dalam menghadapi pembangkang di Kajang supaya kita tidak terperangkap dalam jerat yang mereka pasang. Kita maklum, Kajang sinonim dengan sate. Dan peniaga sate ini menarik kerjanya -- ada tukang cucuk dan ada tukang kipas. Jika kita tidak hati-hati, takut nanti cucukan dan kipasan mereka terkena kita!
  PRK Kajang diadakan susulan peletakan jawatan secara mengejut penyandangnya, Lee Chin Cheh, daripada PKR pada 27 Jan. Sehari selepas itu, Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dinamakan akan bertanding bagi pilihan raya kecil itu, dikatakan langkah pertama menuju ke kerusi Menteri Besar Selangor.
  Namun rancangan Anwar terpaksa dibatalkan berikutan keputusan Mahkamah Rayuan pada Jumaat lepas yang menjatuhkan hukuman lima tahun penjara terhadapnya kerana didapati bersalah meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, kira-kira enam tahun lepas.
   Kempen bermula sejurus penamaan calon selesai pada Selasa, dan berlarutan sehingga pengundian pada 23 Mac depan.
  Jumlah keseluruhan pengundi Kajang terdiri daripada Melayu (48 peratus), Cina (40 peratus) dan India (10 peratus). Mengikut perangkaan, sebanyak 50 peratus daripada jumlah pengundi adalah wanita.
  Dalam kempen ini, gerakan BN seharusnya lebih fokus dan mesti bersifat ofensif.
  Saya sependapat dengan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, bahawa kempen BN perlu menonjolkan kemelut yang dihadapi pembangkang.
  Ini kerana pakatan pembangkang fikir mereka gabungan yang mantap sedangkan jelas berlaku perbalahan besar, sama ada dari segi dasar mahupun antara kepimpinan.
  Justeru, kempen ini perlu dijadikan sebagai peluang untuk melaksana gerakan lebih ofensif bagi menjelaskan perkara yang dibangkitkan pembangkang mengenai BN, selain isu yang membelenggu pakatan itu sendiri.
  Bagi Badan Perhubungan Umno Sabah, gerakan kempen yang diketuai Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Musa Hj Aman sudah pun turun padang di Kajang bersama-sama jentera BN mengempur pembangkang dan kita yakin ia mampu membuahkan sesuatu yang bukan mustahil.

No comments: