Translate

Thursday, April 17, 2014

BAYARAN ROYALTI MENINGKAT: MUSA

KOTA KINABALU: Walaupun kadar royalti petroleum ditetapkan sebanyak 5 peratus, namun kerajaan negeri menikmati pembayaran royalti yang meningkat, misalnya daripada RM750.9 juta pada tahun 2008 kepada RM975.3 juta pada tahun 2013, iaitu peningkatan hampir 30 peratus dalam tempoh masa lima tahun.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman berkata selain itu, Petronas mula melabur di negeri ini melalui pembangunan beberapa projek mega yang dijangka menjana jumlah pelaburan kira-kira RM18 bilion bagi pembangunan Sabah Oil and Gas Terminal (SOGT) dan RM30.6 bilion untuk projek Sipitang Oil and Gas Industrial Park (SOGIP) di mana projek Sabah Ammonia Urea (SAMUR) sedang dibangunkan. 
"Pelaburan ini bukan sahaja akan merubah landskap pembangunan negeri Sabah tetapi juga menyediakan peluang pekerjaan dan perniagaan, sekali gus mampu meningkatkan kualiti  hidup rakyat," katanya ketika menggulung perbahasan Kementerian Kewangan pada persidangan DUN Sabah kelmarin.
Katanya, urusan dan pengendalian berkaitan dengan petroleum bukan perkara mudah. Cabaran teknikal, risiko kewangan yang besar dan kerangka keseluruhannya dengan sendiri menggambarkan hanya syarikat-syarikat besar yang memiliki kepakaran serta sumber kewangan kukuh sahaja yang mampu dan berani mengendalikannya.
Katanya, memandangkan operasi penggalian minyak melibatkan kerja-kerja teknikal di mana ia merangkumi aktiviti kerja-kerja menurunkan paip menggerudi sedalam 4.5km dari paras laut dalam persekitaran mukabumi yang penuh tekanan untuk menggali minyak.  
Justeru, ia memerlukan jentera atau peralatan yang melibatkan kos yang amat tinggi yang hanya mampu dilakukan oleh penggerak utama industri minyak dunia seperti Shell, Murphy Oil, ExxonMobil dan lain-lain.  
"Kos cari gali minyak boleh memakan belanja yang besar sehingga mencecah beribu juta dolar dan perbelanjaan ini pastinya tidak mendatangkan pulangan hasil jika tiada minyak ditemui di kawasan yang dicari gali," katanya.
Selain itu katanya, bagi mengurangkan beban risiko kewangan akibat ketidaktentuan penemuan minyak, pihak Petronas menyertai perjanjian kerjasama dikenali sebagai Kontrak Perkongsian Pengeluaran atau Production Sharing Contract (PSC), dan disusuli Kontrak Perkongsian Risiko atau Risk Sharing Contract (RSC) dengan syarikat multinasional seperti Shell, Murphy Oil atau ExxonMobil dan lain-lain.  
Dalam hal ini, katanya, syarikat-syarikat minyak gergasi berkenaan akan diberi peratusan keuntungan yang diperolehi sebagai balasan menanggung risiko kewangan dan perkongsian teknologi R&D bernilai berbilion ringgit.
Musa yang juga Menteri Kewangan menjelaskan bagi setiap RM100 nilai jualan yang diperolehi daripada hasil minyak Sabah, sejumlah 5 peratus disalurkan sebagai simpanan Kerajaan Negeri, manakala 5 peratus lagi bagi Kerajaan Persekutuan. 
"Sejumlah 45 peratus digunakan bagi menampung kos pemulihan, manakala 45 peratus lagi diagihkan sebagai untung kasar yang akan dikongsi bersama oleh Petronas dengan syarikat-syarikat minyak yang lain sebagai rakan kongsi dalam kerja-kerja mencari gali," katanya.  
Beberapa wakil rakyat telah membangkitkan isu mengenai cadangan untuk meningkatkan 20 peratus royalti minyak daripada Petronas semasa Persidangan DUN Sabah. 
Musa menjelaskan hasil daripada sumber petroleum yang diterima oleh Kerajaan Negeri adalah berdasarkan perjanjian yang ditandatangani di antara Kerajaan Negeri Sabah dan Petroleum Nasional Berhad (Petronas) pada 14 Jun 1976.  
"Perjanjian itu menetapkan bahawa pihak Petronas membuat pembayaran kepada negeri Sabah dalam bentuk bayaran tahunan sebanyak 5 peratus daripada nilai petroleum yang diekstrakkan dalam negeri ini," katanya.

No comments: