Translate

Monday, April 28, 2014

BERGANDING BAHU TINGKATKAN BUDAYA MEMBACA: SALLEH

KOTA KINABALU: Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah Datuk Seri Panglima Dr Salleh Tun Said Keruak menyarankan supaya semua pihak berganding bahu meningkatkan budaya membaca di kalangan generasi pelapis.

Beliau berkata selain ibu bapa dan pendidik, agensi berkaitan juga perlu mengambil inisiatif bagi memupuk budaya membaca kerana ia penting dalam perjalanan Malaysia menuju status negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.

Katanya, kajian Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) menunjukkan  budaya membaca rakyat negara ini berada pada tahap memberangsangkan, namun masih belum mencapai sasaran 20 buku seorang setiap tahun.

"Menurut kajian tersebut, seorang rakyat negara ini hanya membaca 11 buku sahaja setahun dan ini adalah normal untuk sebuah negara membangun. Namun berbanding negara maju, kita masih jauh ketinggalan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan buku "Dilema Sabah" yang ditulis oleh Musli Oli, di sini pada Ahad.

Sehubungan itu, Salleh berharap lebih ramai penulis menghasilkan buku untuk dijadikan bahan bacaan umum.
"Bagi saya, adalah amat bagus sekali kalau kita mempunyai ramai penulis, kerana ia akan menambahkan bahan bacaan kita.

"Tidak kira apa bentuk buku dan tulisan, baik akademik mahu pun politik, dongeng ataupun fiskyen, semuanya akan menambahkan ilmu kepada pembacanya," katanya.

Salleh yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah mengingatkan orang ramai supaya sentiasa membuka minda apabila membaca sesuatu buku atau tulisan.

Katanya, membaca sesuatu buku atau bahan tulisan itu, tidak semestinya seseorang itu bersetuju dengannya.
"Tidak salah jika kita membaca buku siapa pun, kerana ia untuk menambahkan ilmu pengetahuan kita.

"Yang penting, kita mesti mempertajamkan minda, untuk bijak menilai dan menganalisa sesuatu tulisan, supaya tidak mudah terpengaruh dengan sentimen ungkapan yang ditulis, kerana ada kebarangkalian sesuatu tulisan itu ada yang tersirat di sebalik yang tersurat," katanya.

No comments: