Translate

Friday, April 25, 2014

ESSCOM PERLU PROAKTIF HADAPI CABARAN MUTAKHIR

Oleh SSK

BEBERAPA hari lepas, Kawasan Keselamatan Pantai Timur Sabah (Esscom) sekali lagi menjadi sebutan selepas hangat diperkatakan ketika sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah minggu lepas. Tapi kali ini, senarionya berbeza.

Kalau dalam persidangan DUN, pembangkang bertikam lidah dengan penyokong kerajaan soal relevan Esscom, tetapi kali ini ia menjadi bualan berikutan penahanan seorang lelaki yang memasang bendera "Kesultanan Sulu" menerusi satu operasi khas yang diselaras oleh Esscom.

Walaupun senarionya berbeza, namun kisahnya menjurus hal yang sama -- iaitu isu keselamatan dan kedaulatan negara.

Secara peribadi, saya mengikuti perkembangan ini secara dekat. Baik dalam akhbar tempatan dan media arus perdana, mahupun menerusi dunia siber dan alam maya.

Saya membaca banyak komen-komen pedas. Daripada desakan supaya peneraju Esscom digantikan, sehinggalah kepada saranan supaya Esscom itu sendiri dibubarkan.

Membaca perkembangan terbaru mengenai penahanan seorang lelaki yang memasang bendera "Kesultanan Sulu" di rumahnya di Kampung Long Danau, Lahad Datu, ia harus menjadi iktibar kepada semua. Lebih penting, ia harus membuka mata kepada para pengkritik yang sentiasa melihat dari sisi negatif.

Laporan mengenai penahanan lelaki tersebut, yang menghiasi semua akhbar tempatan, pasti mengingatkan kita kepada peristiwa berdarah Tanduo awal tahun lepas.

Walaupun insiden terbaru itu dilihat oleh sesetengah pihak sebagai kes terpencil, namun keberanian memasang bendera Kesultanan Sulu di bumi Sabah tercinta ini tidak harus dipandang ringan.

Tindakan seumpama itu dikhuatiri boleh mempengaruhi semangat patriotik di kalangan masyarakat Suluk yang sudah lama bermastautin di Sabah. Tambahan pula, negara Filipina sendiri secara rasmi belum menggugurkan tuntutan ke atas Sabah.

Dalam hal ini, saya melihat Esscom yang ditubuhkan pada 1 April 2013 susulan pencerobohanpengganas Sulu di Tanduo itu masih relevan meskipun berdepan dengan tanggungjawab berat untuk mengekang jenayah rentas sempadan, terutama kes penculikan.

Yang penting, Esscom perlu bersikap proakif dalam mendepani cabaran keselamatan mutakhir ini. Sebagai agensi penyelaras operasi keselamatan, Esscom memikul tanggungjawab besar. Menggalas amanah yang disandarkan rakyat. Untuk membina sebuah negara bangsa, yang aman makmur lagi sejahtera.

Insiden penculikan di Singamata Resort, Semporna pada 2 April tahun ini memberi mesej yang amat bermakna kepada Esscom bahawa masih banyak perkara yang perlu dilakukan atau ditambahbaik.

Saya mengalu-alukan tindakan pantas Esscom yang telah segera menambah kekuatan keselamatan sebanyak 30 peratus di perairan Semporna tanpa mengabaikan tanggunjawab di kawasan lain di Esszone.

Mengambil kira usia Esscom yang baharu setahun jagung, saya berpendapat tidaklah sesuai Esscom dibubarkan buat masa ini atau membuat perubahan yang drastik.

Sebaliknya Esscom perlu mengambil langkah proaktif untuk memantapkan lagi kawalan keselamatan termasuk menambah anggota dan aset bot di Esszone, khususnya di pulau-pulau resort atau peranginan di Semporna.

Saya berpendapat Esscom masih diperlukan terutama dalam memastikan Sabah terus aman, damai dan selamat. Penubuhan Esscom berkonsepkan strategi lautan biru (National Blue Ocean Strategy-NBOS) jelas sekali memberi harapan baru kepada rakyat Sabah. 

YAB Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil langkah berani mencetuskan idea ini dalam perkhidmatan awam/kerajaan dan perubahan ini boleh dianggap sebagai satu perubahan dan pendekatan yang transformational.

Sebenarnya Esscom berdepan dengan ancaman yang jauh lebih rumit. Ancaman di kawasan timur Sabah adalah bersifat "low level kind of insurgency" yang melibatkan "non state actors" seperti kumpulan yang mengaku Sultan Sulu, kumpulan serpihan MNLF dan MILF seperti Abu Sayyaf, penyeludup, lanun-lanun dan penjenayah yang lain. 

Hakikatnya, dengan gandingan kerjasama semua agensi keselamatan -- ATM, PDRM dan APMM -- saya yakin Esscom mampu memenuhi harapan yang disandarkan oleh rakyat negara ini, bagi mewujudkan keamanan secara mutlak.

No comments: