Translate

Friday, April 18, 2014

KARPAL PERGI DALAM PERJUANGAN

Oleh SALLEH SAID KERUAK

HARI terakhir persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah pada Khamis turut merasai pemergian mengejut bekas Pengerusi DAP, Karpal Singh.

Sidang bermula pada sebelah pagi dengan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang. Ucapan takziah itu dibacakan oleh timbalan saya, Datuk Jonny Mositun.

Kemudian Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Musa Hj Aman, sekali lagi merakamkan ucapan takziah sewaktu berucap menggulung perbahasan pada sebelah tengah hari.

Nyata pemergian Karpal yang terbabit dalam kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang, dirasai kehilangannya oleh banyak pihak.

Saya mengikuti pelbagai reaksi menerusi media sosial. Umumnya, ramai terkejut dan bersimpati. Rata-rata menganggap perginya mendiang sebagai satu kehilangan.

Namun tidak kurang juga yang membuat komen keterlaluan. Misalannya, Datuk Zulkifli Noordin yang dibidas oleh Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin, susulan kenyataan bekas Anggota Parlimen Kulim-Bandar Baharu itu yang   tidak sensitif berhubung kematian mendiang Karpal.

Khairy yang juga Ketua Pemuda Umno berkata kenyataan Zulkifli menerusi Twitter itu tidak menggambarkan sikap sebenar seorang Islam atau rakyat Malaysia dan beliau malu dengan perbuatan tersebut.

"Sebarang kenyataan yang mempolitikkan kematiannya (Karpal Singh) dalam bentuk sedemikian rupa yang dilakukan oleh Zulkifli Noordin langsung tidak mencerminkan sikap rakyat Malaysia dan orang Islam.

"Saya malu dengan individu ini dan saya malu beliau bertanding bagi Barisan Nasional dalam pilihan raya lepas dan kita tidak harus meletakkan beliau sebagai calon lagi," kata Khairy.

Bagi saya, kecaman Khairy itu cukup berasas. Walaupun kita berbeza pendirian dan fahaman politik,  namun jangan sampai membuat komen sedemikian rupa.

Zulkifli memenangi kerusi Kulim Bandar Baharu pada PRU-2008 atas tiket PKR, menewaskan Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir, tetapi kemudian menjadi anggota Bebas. Pada PRU-13, Zulkifli tewas di Shah Alam atas tiket BN.

Kemudian kerusi Kulim Bandar Bahar dimenangi semula Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir pada PRU-13, mengalahkan Datuk Saifudin Nasution yang diletakkan oleh PKR.

Secara peribadi, saya tidak mengenali mendiang Karpal secara dekat. Saya tidaklah begitu rapat dengannya walaupun kami sering bertemu di Dewan Rakyat ketika saya menjadi Ahli Parlimen dahulu.

Namun saya mengikuti perkembangan politik mendiang dari jauh, termasuk parti DAP di mana beliau menjadi pengerusinya untuk beberapa lama.

Selain sebagai seorang tokoh politik, saya juga mengikuti perkembangan mendiang sebagai seorang peguam, apatah lagi beliau sering terbabit mengendali kes-kes berprofil tinggi.

Berdasarkan pengamatan saya, mendiang Karpal sememangnya seorang tokoh politik dan peguam yang hebat. Tidak hairanlah, beliau disegani serta dihormati kawan dan lawan. Suara lantangnya sering kedengaran, baik di Dewan Parlimen mahupun di kamar mahkamah.

Mendiang Karpal cukup sinonim dengan parti DAP yang disertainya sejak 1970, sekali gus mencipta kemenangan pertama di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Alor Setar dalam pilihan raya umum 1974.

Biarpun mendiang telah pergi buat selamanya, nama Karpal Singh tetap terukir dalam sejarah politik negara dan dunia perundangan.

Mendiang Karpal meninggalkan isteri, Gurmit Kaur dan lima anak. Dua anak lelakinya iaitu Jagdeep Singh Deo dan Gobind Singh Deo mengikuti jejaknya menjadi peguam dan ahli politik.

Jagdeep, merupakan Adun Datuk Keramat serta menjadi anggota Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang manakala Gobind pula Anggota Parlimen Puchong.

Mendiang Karpal pergi meninggalkan kita pada usia 74 tahun -- ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang untuk menghadiri satu kes mahkamah -- bermakna  dia pergi dalam perjuangaan.

No comments: