Translate

Wednesday, April 23, 2014

LAKONAN DAN HELAH POLITIK SUAMI-ISTERI

Oleh SSK

SEPERTI pernah saya bayangkan dalam tulisan sebelum ini, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim akhirnya mengumumkan penarikan diri bertanding jawatan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR).
  Dengan keputusan itu, bermakna isterinya, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, mengekalkan jawatan itu tanpa bertanding. Wan Azizah menyandang jawatan tersebut sejak penubuhan PKR pada 1999.
  Tindakan Anwar menarik diri sememangnya diduga. Ini kerana sejak awal lagi, ramai sangsi dan curiga terhadap hasratnya bertanding jawatan Nombor 1 itu. Mana mungkin berlaku pertandingan suami-isteri bagi jawatan tersebut.
  Pengumuman awal Anwar sebelum ini untuk menentang isterinya hanyalah helah politiknya saja. Pertama, untuk memberi isyarat bahawa jangan ada sesiapa dalam parti menentang isterinya. Kedua, untuk mengalihkan perhatian kepada isu politik berbanding kes yang dihadapinya di mahkamah. Ketiga, untuk menutup kecewa dengan prestasi parti -- penurunan majoriti di Kajang serta kekalahan di Balingian.
  Sebenarnya, seperti saya tulis sebelum ini, kepemimpinan tertinggi dalam PKR sudah diatur oleh suami-isteri. Anwar dan Wan Azizah merencanakannya mengikut citarasa dan kemahuan politik mereka. Survival politik mendahului prinsip perjuangan. Kepentingan diri dan keluarga mengatasi kepentingan parti dan ahli.
  Maka itu, kita melihat pertandingan jawatan Timbalan Presiden PKR ini akan juga ditentukan oleh pasangan suami-isteri ini. Dalam persaingan enam penjuru ini, sudah pasti mereka akan memilih dan memihak kepada Azmin Ali. Pelbagai kisah dan cerita yang didendang sebelum ini hanyalah lakonan mereka semata.
  Sementara dalam kes Setiausaha Agung, Datuk Saifuddin Nasution mencuba nasib jawatan Timbalan Presiden, ia tidak lebih daripada mengimbangi atau mengurangkan undi Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim.
  Pemilihan PKR menjadi lebih dramatik apabila tiga calon jawatan tertinggi PKR membentuk kumpulan bagi menghadapi persaingan.
  Walaupun tidak jelas siapa dalang sebenar, namun pasangan suami-isteri yang mengemudi PKR pasti ada peranannya.
  Trio berkenaan termasuk Datuk Saifuddin Nasution; Naib Presiden, Nurul Izzah Anwar dan Pengarah Strategik, Rafizi Ramli. Mereka sepakat membentuk gabungan bagi menghadapi pemilihan parti kali ini, sekali gus sebagai satu pakej alternatif.
  Saifuddin merupakan salah seorang daripada enam calon Timbalan Presiden yang antaranya membabitkan Abdul Khalid, penyandang jawatan itu, Azmin Ali serta Naib Presiden, Tian Chua.
  Nurul Izzah pula mempertahankan jawatannya, manakala Rafizi mencuba nasib untuk jawatan Naib Presiden.
  Apapun, pemilihan dalam kepemimpinan yang bermula Jumaat ini sesuatu yang menarik untuk diperhatikan, kerana ia memperlihat halatuju parti tersebut.
  Pemilihan PKR dijalankan secara berperingkat mengikut negeri bermula Jumaat ini di Lawas, Sarawak, diikuti keesokan harinya di kawasan lain di Sarawak serta Kelantan, Terengganu dan Pahang.
  Seterusnya, ia diadakan di Johor dan Melaka pada 27 April; Kedah, Perlis dan Sabah pada 3 Mei; Pulau Pinang, Perak dan Sabah pada 4 Mei; Negeri Sembilan dan Wilayah Persekutuan pada 10 Mei dan Selangor pada 11 Mei.
  Sekitar 10,000 calon bertanding pelbagai jawatan sama ada di peringkat cabang dan pusat dengan 496,923 anggota parti itu layak mengundi.

No comments: