Translate

Wednesday, April 2, 2014

PENGURANGAN SUBSIDI LANGKAH BETUL: SALLEH

KOTA BELUD, 2 April (Bernama) -- Timbalan Ketua Perhubungan Umno Sabah, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak, mempertahankan keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, untuk mengurangkan program subsidi Malaysia, sambil berkata "ia merupakan langkah ke arah yang betul dan harus dipuji".

Beliau menyuarakan keyakinan bahawa pengurangan subsidi akhirnya akan memberi manfaat kepada rakyat, bukan mereka yang memperalatkan skim itu.

"Ini sememangnya satu langkah ke arah yang betul, tetapi merupakan langkah yang berkemungkinan besar ditentang oleh pembangkang.

"Pembangkang sentiasa menentang kerajaan hanya semata-mata untuk membangkang, meskipun kerajaan melakukan perkara yang betul.

"Inilah tugas pembangkang yang disangka oleh rakyat Malaysia, iaitu menentang kerajaan dalam setiap langkah," katanya kepada Bernama apabila dihubungi hari ini.

Salleh, yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri, berkata demikian ketika mengulas pengumuman Najib di Parlimen semalam bahawa penjimatan daripada pengurangan subsidi akan disalurkan kepada pembangunan negara untuk meningkatkan kesejahteraan dan kualiti hidup rakyat.

Perdana Menteri juga disebut sebagai berkata bahawa pendapatan itu akan juga digunakan bagi projek-projek tambahan, khususnya di Sabah dan Sarawak.

Najib selanjutnya menjelaskan: "Apabila 'revenue base' (asas hasil) bertambah, banyak projek termasuk pembangunan infrastruktur dapat dilaksanakan. Kerajaan komited meneruskan rasionalisasi subsidi bagi membantu melonjak ekonomi negara.

"Peruntukan pembangunan setahun sekarang dalam lingkungan RM46 bilion, dan subsidi dan insentif sudah cecah RM43 bilion tahun lepas. Sudah tentu ini satu belanja yang berat sebelah, oleh itu, adalah wajar kerajaan laksanakan rasionalisasi subsidi secara mampan."

Salleh berkata mereka yang mempertahankan subsidi sering kali menonjolkan barangan atau perkhidmatan yang telah dihasilkan atau pekerjaan baharu yang diwujudkan.

"Apa yang biasanya mereka tidak akui ialah faedah kepada masyarakat jika wang itu dibelanjakan bagi perkara yang lain. Unggulnya, kerajaan akan berusaha untuk mengatur perbelanjaannya untuk mencapai pulangan bagi masyarakat, yang kira-kira bersamaan dengan setiap ringgit yang dibelanjakan," tegasnya.

Sambil menyebut subsidi beras sebagai contoh, Salleh berkata pakar-pakar ekonomi berhujah bahawa subsidi beras memberi faedah kepada orang tengah, pengeluar atau pengguna.

"Justeru itu, meskipun ada sedikit faedah bagi pengeluar atau pengguna, yang meraih lebih faedah ialah orang tengah.

"Apa yang masuk ke dalam saku kumpulan sasaran dan apa yang sebenarnya dibelanjakan oleh kerajaan amat tidak seimbang. Subsidi bagi pembelian hasil keluaran, dengan mengurangkan kos pengeluar, boleh memberi manfaat, tetapi hanya jika bekalan terhad.

"Jika penjual barangan bersubsidi mempunyai monopoli, atau jika bekalan produk itu terhad, maka subsidi itu akan hanya memperkaya orang tengah," kata bekas Ketua Menteri Sabah itu, sambil menambah bahawa subsidi boleh merosakkan keseimbangan ini.

No comments: