Translate

Sunday, April 6, 2014

PULAU LABUAN BERUBAH WAJAH

Oleh SALLEH SAID KERUAK

PADA 3 April lepas, saya berkesempatan berkunjung ke Pulau Labuan. Programnya menghadiri Mesyuarat Tindakan Daerah Kota Belud, yang buat pertama kali diadakan di luar kawasan pada tahun ini. Labuan dipilih dengan tujuan untuk melihat pembangunan dan prasarana serta landskap di pulau tersebut, yang juga dikenali  sebagai `Mutiara Laut China Selatan'  itu.

Terus-terang, saya agak sudah lama tidak ke Labuan.  Sudah lebih 10 tahun rasanya.  Terakhir saya berkunjung ke Labuan semasa saya menjadi Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Umno dan dipertanggungjawabkan untuk menjaga Umno Labuan ketika itu.

Pada sebelah petang hari pertama, sekitar jam 4 petang, kami diberi jamuan minum petang oleh Ketua Pemuda Umno Labuan, En Mohd Rafi Alli Hassan yang juga Setiausaha Politik Kepada Menteri Wilayah Persekutuan.

Sementara pada malam pula, Ahli Parlimen Labuan, YB Rozman Isli, meraikan kami dengan makan malam di sebuah restoran `seafood' ala kampung. Jamuan sungguh istimewa, apalagi dengan kehadiran dan layanan Ahli Parlimennya sendiri.

MP baru ini seorang yang cepat mesra, maka tidak hairanlah beliau disayangi oleh masyarakat setempat. Beliau memberi taklimat kepada saya mengenai pembangunan Labuan dan  perancangan masa depan.

Keesokan harinya, 4 April, kami mengadakan mesyuarat di Majlis Perbandaran Labuan. Bilik mesyuaratnya bertaraf `first class'. Rombongan kami berangkat pulang pada sebelah petangnya.

Hasil daripada kunjungan singkat dan taklimat ringkas yang diberikan, saya boleh merumuskan bahawa Labuan kini sudah berubah wajah. Kemajuannya begitu ketara berbanding dahulu. Malah, dalam tempoh kira-kira 10 tahun daripada kunjungan terakhir saya itu, saya dapat melihat begitu banyak perubahannya.

Inilah rahmat dan kebaikan hubungan langsung dengan Kerajaan Persekutuan. Banyak peruntukan telah disediakan oleh kerajaan. Anjakan pembangunannya begitu pesat setelah diisytiharkan sebagai Wilayah Persekutuan pada 1 Februari 1984, kemudian diikitiraf sebagai Pusat Kewangan Pesisir Antarabangsa atau IOFC pada Oktober 1990.

Hari ini, Labuan yang merangkumi keluasan 98 km persegi, dikenali sebagai Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa dengan dilengkap pelbagai kemudahan untuk rakyat termasuk dalam bidang pendidikan, telekomunikasi, kesihatan dan banyak lagi.

Popular dengan status sebagai pulau bebas cukai, Labuan antara lain mempunyai pusat matrikulasi, kampus UMS-KAL dan hospital nukleus.

Daripada pengamatan saya, dengan melihat pembangunan di pusat bandar Labuan, sememangnya pulau ini berpotensi untuk berkembang pesat. Antara potensinya yang amat besar termasuk dalam sektor minyak dan gas.Sektor pelancungan juga diberi tumpuan.

Sebab itu saya katakan kepada MP Labuan, segala-galanya ada di Labuan dan cabaran masa depan ialah untuk menyediakan peluang pekerjaan dan ekonomi kepada anak-anak tempatan. Potensi perlu diterokai, kelebihan harus dimanfaatkan. Kerana yang penting pembangunan Labuan dapat dimanfaatkan oleh anak-anak tempatan.

Saya yakin lagi optimis, YB Rozman sebagai orang muda, dengan karismatik pimpinannya, mampu memenuhi aspirasi warga Labuan.

No comments: