Translate

Tuesday, May 27, 2014

JANGAN NAFIKAN ORANG MELAYU PELUANG YANG PERNAH SENDIRI NIKMATI


Oleh SSK

Enam hari yang lepas (21 Mei), calon DAP bagi pilihan raya kecil Parlimen Teluk Intan Dyana Sofya Mohd Daud berkata ibunya, Yammy Samat, tidak pernah menyertai Perkasa. Hari ini, Yammy mengumumkan dia meletakkan jawatan sebagai anggota Perkasa, sebuah organisasi yang kononnya dia sepatutnya tidak sertai.

Soal sama ada ibu Dyana Sofya telah atau tidak menyertai (atau masih ahli) Perkasa tidak sepatutnya timbul kerana bukan ibunya yang bertanding dalam pilihan raya kecil itu. Lagipun, Shahrir Samad, abang kepada orang kuat PAS Shah Alam Khalid Samad bukan sahaja seorang anggota kanan Umno tetapi pernah menganggotai Kabinet Persekutuan.

Oleh itu, organisasi atau parti politik yang disertai oleh anggota keluarga tidak seharusnya dijadikan  isu yang hanya membuang masa membincangkannya. Lagipun, Malaysia mengamalkan sistem demokrasi yang memberikan kebebasan berpersatuan. Jadi tidak menjadi masalah untuk kita menyertai mana-mana persatuan kerana setiap individu berhak berbuat demikian (melainkan ia sebuah organisasi pengganas).

Apa yang menarik perhatian ialah suatu perkara yang disangkal enam hari yang lalu kini disahkan sebagai benar. Ia merupakan satu pembohongan yang bertujuan semata-mata untuk memesongkan pemikiran pengundi Teluk Intan. Inilah perkara yang perlu difikirkan semasak-masaknya oleh para pengundi kawasan Parlimen itu.

Apa yang jelas Dyana Sofya menyatakan tentangannya terhadap dasar UiTM, sebuah universiti yang memberikannya pendidikan. Tentu sekali, dia tidak berada di kedudukannya sekarang jika tidak kerana UiTM dan kini dia menentang institusi yang memberikannya tempat yang lebih cerah di bumi Malaysia.

Adakah ini adil kepada berjuta-juta orang Melayu lain, dalam beberapa dekad mendatang, yang memerlukan peluang sama seperti yang dinikmati oleh Dyana Sofya . Tindakan Dyana Sofya ini seumpama cuba  menutup pintu atau peluang kepada orang lain selepas memperolehi apa yang diidamkannya selama ini.

Berikutan kenyataan yang dibuat oleh Dyana Sofya, penyokong pembangkang kini mempersoalkan pula Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan dan meminta diperjelaskan sama ada peruntukan Perkara 153 itu membenarkan institusi seperti UiTM wujud. Dalam erti kata lain, adakah penubuhan UiTM melanggar Perlembagaan Malaysia?

Orang Cina nampaknya memburuk-burukkan Dr Ridhuan Tee Abdullah dan menggangapnya sebagi pengkhianat kepada bangsa mereka selain mengatakan tokoh pendidik itu sebenarnya berdepan dengan krisis identiti. Andaikata ada orang Melayu menuduh Dyana Sofya seperti itu, tuduhan akan dianggap sebagai berbau perkauman. 

Dyana Sofya kini berada di tempat yang lebih baik hasil nikmat pendidikan yang diperolehi daripada UiTM. Apa yang menyedihkan, dia mencadangkan pelajar Melayu lain yang ingin melanjutkan pelajaran ke UiTM dinafikan peluang sedangkan dia sendiri mendapat manfaat daripada universiti itu. Adakah dia akan bercakap dengan cara yang sama "jika dia terperangkap di kampung dan bekerja menjaga ayam kerana tidak berpeluang menuntut ilmu di peringkat yang lebih tinggi atau unversiti?

No comments: